Sunday, October 24, 2010

KECUAIAN MELAMPAU

1. Seluruh negara tergamam dengan berita kejadian nahas ngeri yang membabitkan dua bas, tiga kereta dan sebuah van yang menyebabkan 12 kematian di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Pedas, Negeri Sembilan.

2. Sinar kegembiraan yang diharapkan pada tarikh keramat 10 Oktober 2010 ataupun lebih glamour dengan ringkasan 10.10.10 akhirnya menjadi mimpi ngeri dan tragedi Oktober yang paling dasyat dalam sejarah kemalangan maut di negara kita.

3. Kecuaian melampau pemandu yang dilaporkan memandu dengan terlalu laju dikatakan punca utama kepada tragedi terbabit. Natijahnya 12 nyawa melayang dan bergelimpangan dalam keadaan yang cukup tragis dan menyayat hati. Ada yang putus kepala dan ada pula yang terputus tangan. Itulah antara kisah duka mangsa kemalangan maut tersebut.

4. Untuk rekod ini bukanlah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku dalam negara kita. Sebelum inipun beberapa kemalangan maut melibatkan bas ekspres telahpun berlaku dan meragut sebilangan besar nyawa penumpang yang tidak berdosa dan kebanyakkannya berpunca daripada kecuaian dan sikap pemandu bas yang tidak bertanggungjawab.

5. Keadaan ini menunjukkan bahawa nasihat, kempen, saman dan juga penguatkuasaan undang-undang yang lain masih belum mampu mengubah sikap dan perangai para pemandu bas kita yang memandu umpama raja lumba di atas lebuhraya.

6. Sikap tidak boleh diubah dalam sekelip mata. Ianya melibatkan proses yang panjang dan bergantung kepada personaliti seseorang individu. Justeru apa yang boleh kita cadangkan ialah pihak yang berkuasa perlu melipatgandakan proses penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan di lebuhraya.

7. Kita memohon agar pihak PDRM dan JPJ menambah bilangan anggota yang bertugas supaya dapat meronda di lebuhraya sepanjang masa iaitu 24 jam sehari dengan melakukan rondaan yang lebih kerap. Ini membolehkan mereka terus menahan dan mengambil tindakan yang sewajaranya ke atas pemandu yang dilihat memandu dengan laju dan cuai atau membahayakan kenderaan lain. Kehadiran anggota pasukan penguatkuasa ini dilihat mampu menakutkan dan menggerunkan para pemandu agar lebih takut, berhati-hati dan berhemah apabila berada di atas lebuhraya.

8. Malah jika perlu kehadiran anggota penguatkuasa ini perlu dirasakan di setiap 100 hingga 200 kilometer di sepanjang lebuhraya di samping menempatkan anggota di beberapa plaza tol yang terpilih bagi memantau keadaan.

9. Cadangan seperti ini mungkin dilihat tidak begitu praktikal ataupun melampau tetapi percayalah bahawa hanya tindakan melampau sebegini sahaja yang mampu mengajar sikap, tindakan dan kecuaian melampau para pemandu kita.


No comments: