Thursday, October 28, 2010

KESEDIAAN RTM SIAR BERITA PEMBANGKANG BUKTI KETELUSAN KERAJAAN

1. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mengambil langkah berani untuk menyiarkan aktiviti dan kempen pembangkang dalam sesuatu pilihan raya.

2. Rais yang mengumumkan perkara ini menyatakan bahawa bermula daripada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, kempen dan aktiviti pembangkang akan diberi liputan dan disiarkan di saluran RTM setelah mengambil kira pemikiran yang baik dari pihak pembangkang.

3. Keputusan ini dilihat membuka satu lagi lembaran baru dalam dunia politik dan penyiaran di negara kita. Ianya pasti akan membantu mengikis segala tuduhan dan tohmahan pihak pembangkang yang selama ini menuduh bahawa pihak kerajaan berat sebelah dari segi penyebaran maklumat dan mengawal sepenuhnya semua media di negara ini serta tidak memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk mendekati rakyat melalui media perdana.

4. Tindakan Rais dan RTM yang mengiktiraf sumbangan pemikiran pembangkang terutamanya berkaitan isu-isu nasional seperti perpaduan dan kemajmukan masyarakat wajar diberi pujian dan dilihat dari sudut positif kepada perkembagan dunia penyiaran di negara kita.

5. Ia juga membuktikan sikap keterbukaan dan ketelusan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak dan pihak kerajaan dalam menyediakan saluran maklumat yang lebih telus, adil dan menyeluruh kepada rakyat. Pendekatan ini bakal memberi peluang kepada rakyat untuk melihat dan menilai secara langsung kelebihan mahupun kekurangan yang ada pada kedua-dua pihak iaitu pihak kerajaan dan juga pihak pembangkang. Melalui cara ini rakyat boleh membuat perbandingan yang adil dan saksama.

6. Kita berharap agar pihak pembangkang akan menyambut baik langkah kerajaan ini dengan hati yang terbuka sekaligus menggunakan peluang dan ruang yang disediakan ini sebaik yang mungkin untuk membantu memperkasakan perpaduan nasional serta membahaskan isu-isu berkepentingan nasional secara lebih profesional dan pro aktif demi kemajuan percambahan pemikiran masyarakat.

7. Misalnya isu-isu nasional yang melibatkan beberapa dasar dan program baru kerajaan seperti gagasan 1Malaysia, NKRA, ETP, GTP dan Model Ekonomi Baru wajar dibahaskan dan diperjelaskan secara terperinci dari kaca mata kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang. Hal ini sangat penting kerana rakyat terutamanya masyarakat luar bandar dikatakan masih kurang jelas dengan beberapa dasar baru tersebut.

8. Oleh yang demikian kita meminta agar pihak pembangkang tidak memanipulasi keputusan ini dengan melemparkan pelbagai tuduhan yang lain seperti ianya dibuat untuk meraih sokongan dan undi rakyat ataupun dituduh sebagai tindakan terdesak pihak kerajaan untuk memenangi hati rakyat. Kebenaran dan kesediaan pihak kerajaan ini wajar dilihat dari perspektif yang lebih harmoni dan sihat demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

9. Pada masa yang sama, semoga keputusan ini juga akan mengembalikan semula keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap saluran media konvensional terutamanya generasi muda yang dilihat mula menjauhi media konvensional dan lebih mendampingi media baru seperti blog dan laman web.

10. Hal ini penting kerana kebanyakkan daripada maklumat yang disalurkan dalam media baru boleh dikategorikan sebagai tidak berasas, fitnah, gosip, dan khabar angin semata-mata di mana ianya dilihat memberi kesan yang kurang baik kepada persekitaran politik dan sosial negara terutamanya dari segi perpaduan nasional dan kestabilan politik. Untuk itu, salah satu cara yang terbaik untuk menyekat unsur tidak sihat ini dari terus menular ke dalam masyarakat kita ialah melalui penyediaan maklumat yang lebih profesional seperti ini.

11. Justeru diharapkan agar tindakan ini akan menyuburkan dan memperkasakan semula elemen kebebasan dalam dunia penyiaran negara dengan memberi lebih banyak peluang dan pilihan kepada rakyat untuk membuat penilaian yang sewajarnya seterusnya akan memberi impak yang lebih positif kepada dunia politik, ekonomi dan sosial tanah air.

No comments: