Sunday, October 24, 2010


UJIAN 1MALAYSIA WADAH UKURAN TAHAP PERPADUAN NASIONAL
1. Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd. Najib Razak sekali lagi tampil dengan satu lagi cadangan baru untuk mempertingkatkan tahap perpaduan nasional dengan memperkenalkan ‘Ujian 1Malaysia’.
2. Menurut Najib, ujian ini boleh memastikan setiap seorang daripada kita bebas daripada sikap perkauman. Untuk itu, Najib mencadangkan agar ujian ini dijalani oleh setiap individu, kumpulan dan institusi berpengaruh di mana ujian ini memerlukan kita bertanya diri sendiri bagaimana pendirian masing-masing dalam isu etnik tertentu yang memberi impak kepada kaum atau agama lain.

3. Cadangan ini dilihat hadir tepat pada masanya tatkala semua pihak begitu merisaukan tahap perpaduan antara kaum mutakhir ini. Sikap prsasangka dan prejudis mula menular ke dalam masyarakat yang sekaligus menjejaskan tahap dan mutu perpaduan yang sedia ada.

4. Ujian ini juga dilihat boleh menjadi satu alat pengukuran yang penting di mana selama ini kita tidak mempunyai sebarang kaedah yang spesifik untuk mengukur dan menilai pandangan dan pendirian kita tentang sesuatu isu antara kaum dan sejauhmana pendirian itu mampu mempengaruhi tahap perpaduan nasional di kalangan masyarakat.

5. Untuk itu, kita berharap agar para pensyarah dan penyelidik institusi pengajian tinggi akan menyahut cabaran ini dengan berusaha untuk mencipta satu alat pengukuruan ataupun ujian yang boleh dikenali sebagai ‘Ujian 1Malaysia’ bagi menjayakan hasrat murni ini.

6. Ianya bukanlah sesuatu yang mustahil kerana penulis masih segar dengan kejayaan sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berjaya mencipta perisian yang dikenali sebagai ‘HB Melayu – Sejauh Mana Anda Melayu?’ bagi mengenalpasti seseorang yang mempunyai hati budi Melayu di mana responden yang terlibat dikehendaki menjawab satu set soalan bagi mengukur teras hati budi Melayu berdasarkan komponen didikan, ilmu, nilai dan agama yang menerapkan 26 teras hati budi kaum Melayu.

7. Mengikut ketua penyelidiknya, Prof. Dr. Hashim Musa, sebanyak 200 soalan perlu dijawab untuk menentukan seseorang itu mempunyai ciri-ciri unggul bangsa Melayu di mana perisian ini secara automatik akan memberikan markah dan menjumlahkan skor keseluruhan.

8. Ini jelas membuktikan bahawa alat pengukuran berbentuk ujian boleh digunapakai untuk menguji parameter-parameter yang subjektif seperti pandangan tentang sesuatu kaum mahupun persefahaman di antara kaum di mana hasil ujian seperti ini mampu memberikan input dan maklumat yang penting yang kita kehendaki bagi menilai tahap perpaduan di kalangan masyarakat kita.

9. Soalan untuk menghasilkan instrumen ataupun perisian seperti ini boleh meliputi perkara-perkara yang melibatkan isu-isu sensitif yang tidak begitu sesuai untuk diperdebatkan di khalayak dan perlulah di reka khas supaya ianya ringkas serta mudah untuk dijawab dan paling penting ialah ianya boleh dijawab oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira tahap pendidikan masing-masing.

10. Dalam pada itu, jika cadangan ini dapat direalisasikan, kita mencadangkan agar setiap seorang daripada kita yang bergelar warganegara Malaysia diwajibkan untuk mengambil ujian ini tanpa sebarang pengecualian dan tanpa ianya dikhususkan hanya kepada sesetengah kelompok sahaja seperti ahli politik mahupun pemimpin masyarakat. Ujian ini waib dijalani oleh seluruh rakyat Malaysia.

11. Hal ini penting kerana setiap seorang daripada kita perlu menguji dan menilai diri sendiri terlebih dahulu sebelum melemparkan tuduhan kepada pihak lain dalam isu yang menyentuh hak dan kepentingan sesuatu kaum.

12. Jika masing-masing dapat mengetahui skor yang diperolehi misalnya sama ada tidak memuaskan, memuaskan, baik ataupun cemerlang maka kita dapat mencari penawar dan jalan penyelesaian untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada diri sendiri terutamanya apabila memperoleh skor tidak memuaskan.

13. Akhirnya apabila semua pihak dapat memperbaiki kelemahan diri ianya mampu memperbaiki kelemahan dan ketirisan dalam perpaduan nasional secara holistik dan menyeluruh yang sekaligus boleh melahirkan sebuah masyarakat majmuk yang harmoni dan bersatu padu. Semoga cadangan ini dapat direalisasikan dengan segera demi memperkukuhkan jambatan perpaduan di antara kaum di negara kita.

No comments: