Monday, October 25, 2010

MISI PERTAHAN PUTRAJAYA

1. ‘Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!’. Itulah kata-kata azimat yang diungkapkan oleh Presiden UMNO Datuk Sri Najib Tun Razak sebagai mengakhiri ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO kali ke-61 Khamis yang lepas.

2. Dalam begitu banyak madah, kata-kata semangat, teguran, penerangan, harapan, nasihat dan juga puisi yang termaktub dalam 95 perenggan teks ucapan perasmian tersebut, penulis cukup tertarik dengan perenggan terakhir yang memperlihatkan keazaman, ketegasan, kesungguhan dan komitmen Najib untuk mempertahankan Putrajaya.

3. Persoalannya ialah kenapa Putrajaya? Ada apa dengan Putrajaya? Apa yang menarik dengan Putrajaya? Itu adalah antara beberapa persoalan yang perlu diperhalusi kerana ianya cukup signifikan dengan kenyataan Najib terbabit.

4. Putrajaya atau nama penuhnya Wilayah Persekutuan Putrajaya ialah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia yang menggantikan Kuala Lumpur mulai tahun 1999. Ia juga dikenali sebagai bandar raya pintar dalam taman yang terletak 25 kilometer di selatan Kuala Lumpur.

5. Dari segi kuasa dan politik, Putrajaya adalah simbol kuasa kerajaan yang memerintah. Di sini juga terletak Kompleks Pejabat Perdana Menteri Malaysia. Parti yang menang dan ditabalkan sebagai pemerintah akan menghuni Putrajaya sehingga ke pilihan raya yang seterusnya. Pembinaan Putrajaya yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad juga merupakan satu lagi simbol kecemerlangan dan kejayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dikepalai oleh UMNO.

6. Maka jika tergadai Putrajaya bermaksud tergadai juga lah kuasa memerintah yang dimiliki oleh UMNO, orang Melayu dan BN selama ini. Perkara ini tidak mustahil untuk berlaku setelah kita mengambil kira apa yang telah berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12) pada tahun 2008 di mana buat pertama kalinya dalam sejarah pilihan raya negara ini BN gagal untuk memperoleh majoriti dua pertiga.

7. Akibatnya muncul pelbagai cerita saudagar dongengan seperti kata Najib yang memasang impian palsu untuk menawan Putrajaya dan kerusi Perdana Menteri. Apakah kita lupa dengan ceritera dongengan tarikh keramat 16 September yang pernah digembar gemburkan sebelum ini sebagai tarikh pembentukan kerajaan baru di Malaysia.

8. Pelbagai janji manis dan taktik kotor cuba digunakan untuk menawan Putrajaya yang satu ketika dahulu dikecam dan ditentang hebat pembinaannya kerana dikatakan membazir dan akan menjadi satu lagi projek gajah putih kerajaan BN.

9. Justeru komitmen Najib untuk terus mempertahankan Putrajaya amat besar nilai signifikannya kepada persoalan betapa perlunya UMNO yang menunjangi BN terus mempertahankan kuasa politik dan kuasa memerintah yang sedia ada. Semoga mesej yang disampaikan oleh Najib ini dapat meresapi jiwa seluruh perwakilan dan juga rakyat Malaysia yang mahu melihat kelangsungan kecemerlangan pembangunan negara tercinta ini.

10. Namun apa yang menjadi persoalan utama di sini ialah apakah komitmen Najib dan UMNO sahaja memadai untuk mencapai misi mempertahankan Putrajaya? Jawapannya sudah pasti tidak boleh dan sukar kerana atas dasar muafakat dan kontrak sosial, UMNO telahpun bersetuju untuk berkongsi kuasa dengan rakan-rakan parti komponen lain dalam BN.

11. Justeru bagi mencapai misi dan sasaran tersebut semua parti komponen BN perlu bersatu padu, bersatu hati, bersatu misi dan bersatu matlamat bersama-sama dengan UMNO agar dapat terus pertahankan Putrajaya untuk selama-lamanya bagi meneruskan legasi pemerintahan Parti Perikatan dan BN di bumi bertuah ini.

12. Mengambil kira senario semasa, parti-parti komponen BN masih dilihat bergelut dengan pelbagai masalah dalaman yang sedikit sebanyak menjejaskan nama baik BN di mata rakyat.

13. Malah perasaan prasangka dan prejudis sesama anggota parti komponen juga dilihat mula menular terutamanya apabila menyentuh soal kontrak sosial dan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

14. Natijahnya keadaan ini dilihat sudah mula membuka ruang dan peluang kepada parti pembangkang untuk mengambil kesempatan dengan mengelirukan dan meracuni pemikiran rakyat.

15. Pihak pembangkang yang sentiasa menunggu peluang mula bertindak bak oportunis yang berjaya dengan menjadikan isu seperti ini sebagai modal dan taktik politik kotor mereka.

16. Maka apa yang perlu dilakukan oleh BN ialah merapatkan semula keakraban di antara semua parti komponen yang sedia ada dengan kembali kepada roh dan semangat muafakat yang terpateri selama ini atas nama kontrak sosial yang telah diilhamkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan kita.

17. Misi meraih kembali majoriti dua pertiga wajar dijadikan sebagai sasaran utama kesemua parti komponen BN. Ingat, hanya kemenangan yang selesa dan besar sahaja mampu membolehkan BN terus mempertahankan Putrajaya dalam genggaman.

18. Dalam hal ini wajar juga untuk semua parti komponen BN atas semangat muafakat menilai semula pembahagian dan peruntukan kuota kerusi masing-masing. Seperti yang dicadangkan oleh salah seorang pembahas dalam Perhimpunan Agung ini adalah elok untuk mengutamakan aspek kemenangan BN di sesuatu kawasan dan untuk itu wajar pengagihan kerusi ditentukan berdasarkan populariti dan peluang kemenangan seseorang calon dari sesuatu parti yang berkenaan.

19. Misalnya jika di sesuatu kawasan itu kerusinya diperuntukkan kepada MCA ataupun MIC tetapi peluang kemenangan lebih berpihak kepada UMNO maka adalah lebih wajar ianya diperuntukkan kepada UMNO demi memastikan kemenangan calon BN dan begitu juga sebaliknya. Semangat setiakawan perlu dijadikan sebagai kunci kepada kejayaan BN.

20. Dalam hal ini, seperti yang dicadangkan oleh perwakilan, jawatan Senator boleh dipertimbangkan dan diperuntukkan kepada MCA mahupun MIC yang tidak bertanding di kawasan terbabit. Malah mereka juga boleh dilantik ke pelbagai jawatan penting dan juga diberi peranan besar dalam konteks semangat muafakat yang tulen. Situasi menang-menang seperti ini pasti akan menghadiahkan kemenangan yang besar, selesa dan mutlak kepada BN.

21. Kita perlu ingat bahawa zaman sudah berubah. Kita tidak boleh lagi terikat dengan formula pengagihan kerusi berdasarkan kuota semata-mata yang sudah tidak begitu relevan dan rasional lagi. Apa yang penting ialah kemenangan BN dan misi untuk mempertahankan Putrajaya.

22. Berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO kali ini menandakan bermulalah satu misi besar kepada BN yang bukan sahaja dipikul dan digalas oleh perwakilan dan akar umbi ahli UMNO tetapi oleh seluruh anggota parti komponen BN iaitu misi untuk pertahankan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

23. Cakap-cakap mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 sudahpun mula kedengaran. Lantas parti-parti komponen BN perlu segera buktikan bahawa mereka masih sepakat dan BN masih teguh sebagai sebuah parti yang mewakili segenap lapisan rakyat negara ini. Maka ini adalah masa terbaik untuk semua parti komponen BN bermuhasabah diri dan bersedia melakukan sedikit pengorbanan demi survival kuasa politik BN di negara ini agar Putrajaya dapat terus dipertahankan.

No comments: