Sunday, October 24, 2010

PEMANSUHAN PTK CERIAKAN PENJAWAT AWAM

1. Isu amalan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dalam perkhidmatan awam akhirnya dimuktamadkan dalam pembentangan Bajet 2011 yang lepas. Pengumuman Perdana Menteri bahawa kerajaan bersetuju agar PTK dimansuhkan dan digantikan dengan satu sistem penilaian yang lain yang lebih sesuai mulai Jun 2011 cukup melegakan segenap penjawat awam di negara ini.

2. Antara pihak yang paling gembira mendengar berita pemansuhan ini ialah CUEPACS yang selama ini begitu berkeras dan berjuang berhabis-habisan dengan mendesak pihak kerajaan dan JPA agar memansuhkan PTK yang sedang dilaksanakan. Ini adalah ekoran daripada pelbagai reaksi dan maklum balas yang diberikan oleh penjawat awam dari pelbagai sektor berkaitan kelemahan dan beberapa kepincangan dalam pelaksanaan PTK di peringkat jabatan masing-masing.

3. Ada yang mengadu bahawa PTK yang dilaksanakan tidak adil, tidak telus, tidak objektif dan gagal memberikan impak yang diharapkan dalam menilai prestasi sebenar seseorang individu penjawat awam.

4. PTK yang telah dilaksanakan sejak lapan tahun yang dahulu oleh JPA adalah satu kaedah yang telah diperkenalkan untuk menilai seseorang pegawai sama ada mencapai tahap kecemerlangan yang ditetapkan dari segi pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri peribadi atau sebaliknya.

5. Dari segi kelayakan pula, semua pegawai dalam perkhidmatan awam, termasuk di Badan-badan Berkanun Persekutuan, Badan-badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan yang telah memilih Sistem Saraan Malaysia (SSM) layak mengambil PTK dan perlu mendapat keputusan melepasi Tahap Kecekapan (TK) sekurang-kurangnya pada Aras III sebagai salah satu syarat untuk tujuan kenaikan pangkat. Manakala pegawai yang mendapat keputusan melepasi TK pada Aras IV layak dipertimbangkan untuk mendapat anjakan gaji.

6. Oleh kerana keputusannya mempengaruhi kelayakan seseorang anggota perkhidmatan awam untuk menikmati anjakan gaji serta peluang kenaikan pangkat, maka iannya seringkali ditafsirkan sebagai salah satu kaedah yang cuba memerangkap penjawat awam dengan soalan dan penilaian yang agak susah dan membebankan.

7. Oleh kerana itu, langkah pemansuhan ini dikira hadir tepat pada masanya bagi mengembalikan semula moral dan motivasi para penjawat awam yang dilihat agak terjejas akibat daripada pelaksanaan PTK yang disifatkan tidak begitu mesra penjawat awam.

8. Hal ini penting kerana seperti yang dibentangkan dalam bajet salah satu strategi utama kerajaan ialah memantapkan penyampaian perkhidmatan awam. Untuk itu, pihak yang berkenaan iaitu penjawat awam yang bakal menggalas tugas dan amanah tersebut wajar diberi suntikan motivasi yang tinggi terutamanya dari segi proses penilaian prestasi yang lebih bersistematik, telus dan objektif.

9. Ini kerana ianya bakal menyuntik semangat dan mutu kerja penjawat awam agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih profesional, mantap, berkesan dan mesra pelanggan.

10. Justeru kita berharap agar sistem penilaian baru yang bakal diperkenalkan mulai Jun tahun depan di rekabentuk dengan mengambil kira segala pandangan dan maklum balas para penjawat awam terutamanya berkaitan kelemahan-kelemahan yang ada dalam pelaksanaan PTK agar pisang tidak berbuah dua kali.

11. Apa yang diharapkan oleh penjawat awam ialah mereka dinilai dengan lebih adil dan telus melalui satu sistem yang lebih objektif dan berkesan. Perkara ini boleh dilaksanakan jika sistem penilaian yang baru itu boleh digabungkan dengan KPI yang sedia ada supaya ianya lebih mudah untuk diukur malah penjawat awam itu sendiri boleh mengukur tahap prestasi masing-masing melalui penilaian kendiri (self evaluation) pada sepanjang masa tanpa menunggu musim penilaian yang telah ditetapkan. Ini juga akan membantu proses penambahbaikan secara berterusan dalam prestasi setiap penjawat awam.

12. Semasa berucap dalam Majlis Perhimpunan Penjawat Awam 2010 pada Mei yang lepas, Najib telah memberi penekanan kepada perlunya kita mengiktiraf prestasi luar biasa penjawat awam dan juga jabatan kerajaan.

13. Maka kita berharap agar inilah masa yang sesuai untuk menitikberatkan aspek pengiktirafan ke atas sumbangan para penjawat awam terutamanya yang luar biasa dan melebihi keperluan asas untuk jawatan masing-masing.

14. Perkhidmatan awam kita pada ketika ini dilihat masih susah, sukar dan ‘liat’ untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan besar para penjawat awam. Dari soal gaji yang rendah hinggalah ke peluang kenaikan pangkat, penjawat awam masih tidak berpuas hati kerana tidak mendapat ganjaran yang setimpal. Ini ditambah pula dengan pelaksanaan PTK yang dilabel sebagai kurang berkesan.

15. Fenomena ini jugalah dikatakan antara punca kenapa para profesional negara seperti Doktor lebih cenderung untuk bekerja di sektor swasta mahupun berhijrah ke luar negara yang menjanjikan ganjaran yang lebih setimpal dan cukup menarik.

16. Jika kita berhasrat untuk menjadikan perkhidmatan awam sebagai suatu perkhidmatan yang menarik dan eksklusif serta menjadi rebutan dalam kalangan para profesional negara maka kita perlu melakukan transformasi yang lebih rasional dan drastik mengikut peredaran zaman selaras dengan tuntutan keperluan semasa.

17. Semoga pihak JPA akan mengambil kira segala isu seperti ini dalam memperkenalkan sistem baru kelak yang sewajarnya juga digunakan sebagai wadah yang terbaik untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam PTK selama ini demi mewujudkan satu sistem penilaian yang lebih objektif yang memberi penekanan kepada penilaian dan pengukuran prestasi sebenar setiap individu penjawat awam.

No comments: