Sunday, October 24, 2010

TERIMA KASIH NAJIB, BN

1. Akhirnya segala teka teki berkaitan intipati Bajet 2011 telahpun terjawab. Empat strategi penting menuju sebuah negara berpendapatan tinggi telah digariskan secara terperinci oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2011 pada Jumaat yang lepas.

2. Empat strategi yang telah disenarikan ialah mendaya kembali pelaburan swasta, membangunkan modal insan, mensejahterakan hidup rakyat dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam. Setiap satu strategi tersebut telah diperhalusi dan diperincikan secara mendalam melalui peruntukan yang mencukupi dalam bajet terbabit. Buktinya RM212 bilion telah diperuntukkan bagi Bajet 2011 iaitu 2.8 peratus lebih tinggi dari tahun 2010.

3. Sememangnya bajet kali ini dinantikan oleh semua pihak bagi melihat dan menilai tahap persediaan dan kesungguhan Najib dan juga kerajaan pimpinannya dalam menentukan hala tuju kelangsungan pembangunan negara ini.

4. Hal ini penting dan signifikan kerana seperti yang kita sedia maklum ianya merupakan bajet permulaan Rancangan Malaysia Kesepuluh serta menuju sembilan tahun yang terakhir bagi mencapai Wawasan 2020.

5. Selama ini rakyat sedia maklum segala usaha transformasi kerajaan melalui konsep 1Malaysia, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Enam NKRA serta Model Baru Ekonomi. Namun segala pelan transformasi dan perancangan tersebut tidak akan mencapai kejayaan yang dihasratkan jika ianya tidak diberi peruntukan yang sewajarnya agar dapat memberikan hasil yang diidamkan.

6. Justeru peruntukan RM212 bilion ini dilihat sebagai peletakkan batu asas ke arah mencetuskan transformasi yang lebih menyeluruh dan holistik dalam pelbagai sektor. Untuk itu, segala peruntukan yang telah ditetapkan ini perlu diagihkan dan disalurkan dengan segera agar kerancakkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dioptimumkan secepat yang mungkin.

7. Bagi pihak kerajaan mereka dilihat berada di landasan yang betul dan cukup yakin bahawa mampu memacu kegemilangan negara ini ke arah mencapai Wawasan 2020 serta menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. Tetapi apa yang dikesali ialah masih terdapat segelintir rakyat kita yang masih berprasangka buruk dan prejudis dengan segala rancangan yang telah dicadangkan oleh Najib dan kerajaan melalui bajet tersebut.

8. Bagi golongan ini apa saja yang dikemukakan oleh pihak kerajaan pasti dilihat dari sudut yang negatif dan cuba untuk mencari kelemahannya. Tidak pernah mereka menilai kelebihan, kebaikan mahupun kentungan yang bakal dinikmati bersama.

9. Lantas segala fakta dan cadangan yang dikemukakan diputarbelitkan dan dimanupulasi untuk mengaburi dan mengelirukan segenap lapisan rakyat. Misalnya penurunan harga beberapa barangan import yang sewajarnya dilihat dari aspek kerancakkan ekonomi melalui sector pelancongan ditafsir sebagai tidak bermanfaat dan tidak mengambilkira kebajikan rakyat bawahan.

10. Begitu juga halnya dengan isu cuti bersalin penjawat awam 90 hari secara pilihan di mana ia juga dimanupulasi kononnya ianya akan menghadkan bilangan anak ataupun bilangan kelahiran. Persoalannya di sini bukankah ianya satu pilihan? Kenapa perkara sebegini dijadikan sebagai satu isu yang boleh mengelirukan rakyat.

11. Tuduhan bahawa ianya merupakan bajet pilihanraya atau untuk meraih undi juga dilihat cukup tidak bertanggungjawab dan tidak adil bagi kerajaan pimpinan Najib.

12. Justeru kita berharap agar golongan seperti ini akan sedar dan insaf seterusnya menggunakan akal pemikiran yang matang dan waras untuk melihat secara menyeluruh segala cadangan bajet tersebut. Apakah hanya jika kita memperoleh manfaat secara langsung barulah ianya dikatakan baik dan bermanfaat? Adalah tidak adil untuk menghakimi Najib dan kerajaannya tanpa diberi peluang dan ruang untuk membuktikan keikhlasan mereka dalam menjamin kesejahteraan rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

13. Seperti kata Najib, ‘Kita bukannya saudagar mimpi yang memperdagang dongengan. Kita adalah parti pembina harapan yang berpijak di bumi nyata. Apa yang kita capai bukanlah secara tidak sengaja, ibarat bulan jatuh ke riba, tetapi ia hasil dari perencanaan yang jelas, ketegasan pelaksanaan, perancangan yang rapi serta pengorbanan yang tinggi’. Maka adalah wajar untuk kita menaruh harapan dan keyakinan yang tinggi kepada Najib dan kerajaannya dalam menelusuri kecemerlangan negara ini.

14. Untuk itu, penulis ingin berpesan kepada golongan seperti ini agar belajarlah untuk bermuhasabah diri dan berterima kasih. Jangan asyik mencari kesalahan dan kelemahan orang lain. Bagi bajet kali ini kita wajar ucapkan terima kasih kepada Najib dan juga kerajaan Barisan Nasional di atas kesungguhan dan keprihatinan mereka.

No comments: