Wednesday, December 17, 2008

MUSIBAH DI BUMI BERTUAH

{Artikel ini ditulis pada 6hb Disember 2008 (pada hari kejadian) namun hanya sempat dimuat turun pada hari ini kerana cuti Hari Raya Haji yang lama}

1. Bermula dengan beberapa buah bas yang terbalik, banjir di beberapa buah negeri dan yang terkini insiden tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.

2. Kesemua malapetaka ini telahpun meragut sejumlah nyawa mengikut suratan takdirnya.

3. Memang tidak dapat dinafikan ini adalah suratan yang telahpun tertulis sejak azali namun apakah kita berani menyalahkan takdir semata-mata?

4. Siapa di antara kita yang berani menafikan bahawa kesemua insiden ini tidak melibatkan kecuaian manusia langsung?

5. Suratan atau kebetulan kadang-kadang kita rasa amat pelik dan hairan kerana seolah-olah sudah menjadi satu kelaziman di negara kita di mana sesuatu insiden akan disusuli dengan insiden yang sama untuk suatu tempoh masa tertentu.

6. Rempuhan di plaza tol misalnya, apabila dilaporkan satu kes rempuhan maka tidak lama selepas itu kita akan lihat akan ada lagi insiden sedemikian berulang dan ulang untuk suatu tempoh tertentu.

7. Adakah ini semua satu suratan atau kebetulan?

8. Memang kita tidak boleh melawan takdir, tetapi saya pasti ramai yang akan bersetuju dengan pandangan saya bahawasanya segala musibah ini tetap ada sumbangan daripada kelalaian manusia itu sendiri.

9. Pada masa yang sama apakah ini semua suatu peringatan dan wake up call daripada Yang Maha Esa kepada kita yang semakin lupa dan lalai? Apakah kiamat semakin hampir? Apakah bumi mula melaknat kita?

10. Kita sudah muak mendengar pelbagai tuduhan sesama sendiri, menuding jari menyalahkan orang lain sebagi punca segala musibah yang berlaku.

11. Menyalahkan pemandu dan syarikat bas, Jabatan Pengangkutan Jalan, PUSPAKOM, menyalahkan pemaju projek, Jabatan Alam Sekitar, Pihak Berkuasa Tempatan, kerajaan negeri dan sebagainya. Sampai bila tuduhan ini akan berterusan? Apakah kita lupa empat jari lagi masih menghala pada kita?

12. Tuduhan semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah. Kita seolah-olah sudah terbiasa dengan tindakan pembetulan di mana cuba betulkan/perbaiki sesuatu hanya selepas ianya berlaku. Kenapa kita tidak memikirkan tindakan pencegahan? Cegah dan beringat sebelum sesuatu kejadian itu berlaku? Bukankah mencegah lebih baik daripada mengubatinya?

13. Walau apapun, natijahnya nyawa demi nyawa semakin melayang tanpa mengira bangsa, agama dan umur.

14. Tidak cukup dengan nyawa, bumi bertuah kita ini juga semakin dinodai dengan pelbagai masalah alam sekitar atas nama harga yang perlu dibayar untuk pembangunan.

15. Sama-samalah kita renung-renungkan. Bumi bertuah bernama Malaysia ini semakin dinodai dan dilukai malah semakin cedera parah, rakyatnya pula semakin hari semakin ramai yang terkorban. Mampukah kita untuk menyelamatkannya dan ppakah jalan penyelesaiannya?

No comments: