Friday, September 11, 2009

IBU BAPA BERTANGGUNGJAWAB BENDUNG MERCUN

Kudung sudah, buta pun sudah, yang putus jari usah dibilang lagi, itulah fenomena setiap kali menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Malah sebelum Ramadanpun kita disajikan dengar berita kecelakaan yang menimpa anak-anak kita akibat daripada bermain mercun.


Mercun dan Ramadan seolah-olah sudah tidak dapat dipisahkan lagi. Baik yang dibeli mahupun yang dibuat sendiri fungsinya tetap sama dan yang lebih penting padahnya juga tetap sama dan boleh jadi lebih parah mengikut daya kreativiti anak-anak kita yang memainkannya.


Memang sedih dan pilu bila setiap hari terpapar di dada akhbar kes kecederaan akibat bermain mercun bagaikan tidak ada noktah dan tiada jalan penyelesaiannya. Pihak berkuasa baik Polis, Kastam dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) telahpun memainkan peranan mereka di tahap yang paling maksima, walaupun masih ada sedikit kelonggaran kawalan dan penguatkuasaan di sana sini namun mereka bukanlah orang utama yang perlu dipersalahkan.
Jika kita mengkaji secara mendalam, Ibu Bapa boleh dikatakan berada di tempat pertama dalam senarai pihak yang perlu dipersalahkan dalam hal musibah yang menimpa anak-anak mereka ini.


Walaupun peranan pihak berkuasa penting dalam memastikan bahan ini tidak dijual atau ada di pasaran namun cuba kita renungkan sejenak siapa yang memberi wang saku kepada kanak-kanak ini, siapa yang perlu memantau penggunaan wang saku tersebut dan siapa pula yang perlu sentiasa memantau dan mengikuti gerak geri dan perbuatan kanak-kanak ini setiap hari. Jawapannya jelas menjurus kepada satu pihak sahaja iaitu para Ibu Bapa kanak-kanak tersebut.


Ibu Bapa perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam menjaga dan memelihara keselamatan anak-anak mereka. Mereka perlu ambil tahu dengan siapa anak-anak mereka bergaul dan apa aktiviti mereka bila keluar atau lepak bersama rakan-rakan mereka.


Memang mudah untuk menuding jari kepada pihak lain, namun jangan kita lupa dan alpa tentang empat lagi jari yang menuding terus kepada kita. Kita hanya tahu untuk marah dan melenting bila anak-anak kita terlibat dan mendapat kecederaan tetapi kita tidak pernah berusaha untuk mencegah ataupun membendung penglibatan anak-anak kita dari awal lagi. Lebih mendukacitakan apabila ada pula Ibu Bapa yang sanggup membelikan sendiri mercun untuk anak-anak mereka.


Waima mercun, bunga api ataupun bahan lain yang diperbuat sendiri semuanya memberikan natijah yang sama dan mengundang kecelakaan kepada penggunanya. Jika tidak dapat membelinya di kedai maka mereka ada banyak pilihan dan alternatif lain untuk menghasilkannya sendiri malah buatan sendiri dilihat lebih menyeronokkan dan memberi kepuasan kepada anak-anak muda ini.


Justeru hanya orang yang paling dekat dan rapat dengan mereka sahaja yang boleh memainkan peranan untuk mengawal anak-anak ini dari menempa masa depan yang gelap. Kita tidak dapat membayangkan masa depan anak-anak kita yang kudung, putus jari tangan dan kaki serta buta. Hanya Ibu bapa yang boleh menyedarkan mereka tentang bahaya mercun ini dan apa akibatnya jika berlaku sebarang musibah yang akan menghancurkan seluruh masa depan mereka.


Dalam hal ini Ibu Bapa perlu memainkan peranan sebagai seorang sahabat dan bukannya bertindak sebagai pegawai penguatkuasa yang menjatuhkan hukuman. Mereka perlu bijak menggunakan kaedah psikologi seperti memberi nasihat dan memujuk agar suara mereka itu didengari oleh anak-anak remaja ini. Jiwa remaja memang cepat memberontak apatah lagi kalau kita guna cara kekerasan ataupun hukuman. Kaedah kekerasan bukan sahaja tidak dapat mengatasi masalah ini malah boleh menyebabkan anak-anak ini bertindak lebih agresif dan liar.

Justeru cara yang terbaik ialah memberi nasihat dan pujukan secara halus dan perlahan mengikut rentak mereka. Kita perlu menjadi rakan karib mereka supaya mereka dengar nasihat dan pujukan kita itu. Kaedah ini didapati lebih mudah untuk diamalkan dan membolehkan kita mengawal anak-anakini dari terus terjebak ke dalam aktiviti yang tidak sihat seperti ini.


Pada masa yang sama, Ibu Bapa juga perlu berusaha untuk mengalihkan perhatian dan tumpuan anak-anak mereka dari bermain mercun kepada menjalankan aktiviti lain yang lebih berfaedah. Sepanjang bulan Ramadan misalnya, Ibu bapa boleh memujuk dan membawa bersama anak-anak mereka ke masjid untuk solat tarawih berjemaah di samping menyertai program-program lain yang dianjurkan oleh pihak masjid.


Pokok pangkalnya jangan kita biarkan anak-anak kita mempunyai masa yang lapang tanpa sebarang pengisian yang bermanfaat, pastikan sama ada kita dapat menemani mereka pada waktu lapang atau paling tidakpun menyediakan ruang dan peluang kepada mereka untuk melaksanakan atau ikuti sebarang aktiviti yang berfaedah sebagai mengisi masa lapang mereka tersebut.


Dengan cara ini, kita dapat mengawal dan memantau semua gerak geri mereka dan aktiviti harian mereka sepanjang masa yang sekaligus boleh elakkan mereka dari terlibat dengan gejala bermain mercun ini.


Sampai bila kita mahu lihat mercun dan bunga api terus mencemari Ramadan dan Aidilfitri. Sudah tiba masanya untuk kita terokai kaedah dan cara baharu yang lebih berkesan bagi mengatasi masalah ini. Marah dan menghukum perlu ditukar kepada pujuk, sayang dan nasihat. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, anak-anak kita masih belum terlambat untuk dilentur atau dibentuk. Jangan sampai kita menyesal dikemudian hari.

2 comments:

MAHAGURU58 said...

Assalamualaikum tuan.

Segalanya bermula bila rotan dipinggirkan.

'Spare the rod ; spoil the child!'

Ingat perumpamaan itu?

NOOR MOHAMAD said...

Wasalam mamu,

Ingat lagi perumpaan itu namun apakan daya tangan para guru sudah diikat dengan pelbagai peraturan/undang-undang dan juga ugutan laporan polis. So siapa lagi berani gunakan rotan terhadap anak2 kalau bukan ibu bapa kan?