Friday, October 2, 2009

APA KESUDAHAN SEMUA KEMPEN KESEDARAN DI MALAYSIA
1.Malaysia semakin kaya dengan pelbagai kempen kesedaran. Semua agensi kerajaan seolah-olah berlumba-lumba mengadakan bermacam-macam kempen untuk mendidik dan menyedarkan rakyat Negara ini.

2.Antara kempen yang cukup sinonim dan popular ialah kempen keselamatan jalan raya atau lebih dikenali sebagai Ops Sikap, kempen budi bahasa budaya kita serta kempen-kempen kesihatan seperti kempen ‘Tak Nak Merokok’ dan juga berkaitan pelbagai wabak penyakit. Kempen-kempen ini dilaksanakan dengan pelbagai kaedah seperti dalam bentuk ceramah, perjumpaan bersemuka mahupun melalui media-media cetak dan elektronik.

3.Syabas dan tahniah kita ucapkan kepada semua agensi dan jabatan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan yang begitu komited dan kreatif dalam menganjurkan dan menjayakan program sebegini. Kita percaya niat mereka cukup ikhlas iaitu membantu menyedarkan dan menginsafkan golongan sasaran mereka.

4.Walau bagaimanapun timbul berbagai persoalan yang sering berlegar dalam pemikiran kita antaranya, sejauhmanakah keberkesanan kesemua kempen tersebut dan adakah ianya berjaya mencapai matlamat dan sasaran yang telah ditetapkan?

5.Ini kerana, apa yang pasti kesemua program yang dilaksanakan menelan sejumlah perbelanjaan yang sangat tinggi dan rakyat begitu kempunan untuk mendapatkan jawapan kepada kesemua persoalan tersebut.

6.Perkara ini timbul kerana rata-rata kita dapat lihat secara kasarnya beberapa daripada kempen yang dijalankan tidak menampakkan impak dan hasil yang diidamkan oleh semua pihak.

7.Antara yang sangat ketara ialah kempen Ops Sikap dan kempen ‘Tak Nak Merokok’. Ops Sikap misalnya yang baru berakhir masih gagal untuk mengubah sikap pemandu kita di atas jalan raya malah sebaliknya statistik kemalangan maut semakin meningkat.

8.Begitu juga halnya dengan kempen ‘Tak Nak Merokok’, walaupun pelbagai iklan yang cukup menakutkan ditayangkan dalam televisyen, memaparkan gambar pelbagai penyakit di kulit kotak rokok dan menaikkan harga rokok namun jumlah perokok tetap tidak pernah berkurangan.


9.Satu fenomena yang pelik di kalangan masyarakat kita ialah, semakin kita menghalang daripada melakukan sesuatu perkara maka semakin ramailah yang membuatnya dan semakin kita berkempen semakin ramai yang tidak mempedulikannya. Ini menunjukkan seolah-olah mereka sudah tepu dan lali dengan perkara sebegini.

10.Kenapa masyarakat kita begitu sukar untuk dididik, disedarkan dan diinsafkan? Salah kaedah dan strategi kempen yang dijalankan ataupun rakyat itu sendiri yang sememangnya sukar untuk diubah sikapnya?

11.Memang sukar untuk kita menilai dan mengkaji sikap dan naluri manusia namun pada masa yang sama kita juga tidak mahu sewenang-wenangnya membazir wang rakyat ataupun hanya syok sendiri dengan pelbagai kempen dan program yang jelas masih boleh dikatakan gagal memberikan kesan yang mendalam.

12.Justeru sudah tiba masanya untuk kita merenung, melihat kembali dan menilai semula semua program yang dilaksanakan. Perlu dibuat post mortem ataupun bedah siasat secara besar-besaran dan drastik ke atas semua program yang telah dan sedang dilaksanakan untuk melihat kesan, progres pencapaian dan hasilnya.

13.Kempen yang kurang mendapat sambutan dan gagal memberi impak yang munasabah dalam mempengaruhi kumpulan sasaran wajar kita pertimbangkan untuk menghentikannya atau menggantikannya dengan program lain ataupun sekurag-kurangnya cari jalan untuk membuat penambahbaikan dan memantapkannya dari semasa ke semasa.

14.Kita perlu berani bertindak dengan mengambilkira semua kos perbelanjaan dan sumber yang telah kita gunakan selama ini sama ada ianya berbaloi ataupun tidak. Masih belum terlambat untuk kita bertindak supaya semua program tersebut kekal relevan untuk dilaksanakan.

15.Bak kata Perdana Menteri, pencapaian perlu diutamakan maka eloklah kita menilai semula semua program tersebut untuk melihat pencapaiannya dan mungkin salah satu caranya ialah dengan mewujudkan KPI bagi setiap kempen atau program yang dilaksanakan. Pastinya kewujudan KPI akan dapat membantu kita menilai prestasi pencapaian program yang dilaksanakan dari semasa ke semasa. Ia juga akan membantu kita untuk membuat keputusan yang tepat sama ada sesuatu program itu perlu diteruskan ataupun wajar untuk dihentikan.

16.Janganlah kita hanya gah pada kuantiti ataupun bilangan program dan kempen yang dilaksanakan namun hasilnya tidak seberapa apatah lagi jika ada yang secara terang-terangan gagal mencapai matlamatnya. Semuga semua pihak yang berkenaan dapat bertindak dengan segera dalam memberi nafas baharu kepada program dan kempen kesedaran yang dilaksanakan.

No comments: