Monday, October 12, 2009

JANGAN SIA-SIAKAN HARAPAN RAKYAT
(RUANGAN FORUM UTUSAN MALAYSIA 13 OKTOBER 2009)

Akhirnya Barisan Nasional berjaya memperolehi kemenangan moral yang dicari-cari selama ini. Kemenangan besar Tan Sri Mohd. Isa Samad di Bagan Pinang menterjemahkan sokongan rakyat pelbagai kaum kepada Barisan Nasional.

Ianya sekaligus sedikit sebanyak dapat membantu memulihkan semula reputasi BN yang agak tercalar dalam beberapa siri Pilihanraya Kecil yang telah diadakan sejak berakhirnya PRU12.

Kemenangan besar yang tidak diduga ini mencerminkan sokongan rakyat kepada pelbagai program dan tindakan pihak kerajaan yang menunjukkan kesungguhana untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat selaras dengan hasrat Perdana Menteri kita iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Justeru BN perlu melihat ini sebagai peluang terbaik mereka untuk meraih kembali sokongan rakyat yang agak terpesong dalam PRU12 yang lalu. Semua parti komponen perlu berusaha lebih gigih untuk meyakinkan rakyat bahawa BN masih relevan dan kekal menjadi parti pemerintah Negara ini.

Kekalutan MIC yang belum nampak kesudahannya dan ditambah pula dengan kemunculan parti Makkal Sakhti serta kepincangan kepimpinan MCA yang sedang menghadapi krisis kepimpinan perlu ditangani dengan segera secara bijak dan berhemah.

Jangan lupa bahawa rakyat sedang memerhatikan dan menantikan tindakan selanjutnya yang bakal dilaksanakan oleh semua parti komponen tersebut dalam memulihkan parti masing-masing.

Sejarah politik Negara ini menunjukkan kita hanya diperintah oleh satu parti ataupun pakatan politik iaitu bermula dengan Parti Perikatan hinggalah ke sekarang ini dikenali sebagai Barisan Nasional (BN).

Generasi pasca Merdeka hanya mengenali Barisan Nasional sahaja sebagai pemerintah tunggal tanpa tolok bandingan selama ini. Perpaduan dan kesefahaman serta tolak ansur dan kerjasama yang telah wujud dalam Barisan Nasional memang dikagumi dan boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum. Malah masyarakat antarabangsa juga mengiktiraf pakatan unik ini.


Kekuatan BN selama ini banyak bergantung kepada resipi hebat mereka yang mengadunkan unsur-unsur kerjasama, tolak ansur, perpaduan dan persefahaman di kalangan parti-parti komponen, justeru ianya wajar dipelihara dan dipertahankan malah perlu dimantapkan lagi.

Oleh itu, kita harap semua parti komponen BN sedar akan tanggungjawab dan peranan masing-masing kerana tindak tanduk mereka akan secara langsung memberi kesan yang tidak baik kepada BN secara keseluruhannya. Mereka seharusnya elak perpecahan dalam parti dan perlu memulihkan segera segala masalah dan kemelut dalaman yang sedang melanda parti masing-masing jika mahu melihat BN kembali berdiri teguh dan kuat sebagai satu parti untuk menjayakan gagasan 1Malaysia. Jika tidak gagasan yang dicitakan ini hanya akan menjadi angan-angan mat jenin.

Sesungguhnya Malaysia memerlukan sebuah parti BN yang kuat, kukuh dan meyakinkan bagi terus memacu kegemilangan dan mencapai wawasan yang telah direncanakan.

Apa yang lebih dikhuatiri adalah jika proses pemulihan ini tidak disegerakan dan tidak meyakinkan para pengundi maka tidak mustahil dan juga tidak keterlaluan untuk dirumuskan bahawa BN mungkin akan menjadi pembangkang dalam PRU 13 kelak. Justeru pulihkanlah segera reputasi dan nama baik BN supaya terus kekal relevan dalam kancah politik tanahair dan jangan sekali-kali mensia-siakan harapan dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.

No comments: