Thursday, October 8, 2009

APALAH SANGAT KESAN 1 SEN KEPADA PEROKOK
1.Pengumuman kenaikan cukai eksais yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan mulai minggu lalu menyebabkan harga sebatang rokok terpaksa dinaikkan 1 sen. Akibatnya harga sekotak rokok dinaikkan antara RM 5 hingga RM 10 sekotak mengikut kuantiti dan jenama masing-masing.

2.Hampir setiap tahun dalam pengumuman bajet tahunan, kerajaan akan mengumumkan kenaikan harga rokok. Ini dilihat sebagai salah satu usaha berterusan pihak kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok di Negara kita di samping pelbagai kempen dan ceramah kesihatan.

3.Namun boleh dikatakan kita tetap gagal untuk mengurangkan jumlah perokok malah sebaliknya jumlah mereka semakin bertambah walaupun terpaksa menghabiskan belanja yang besar. Dilaporkan rakyat kita belanjakan hampir RM 28 juta sehari untuk membeli rokok. Alangkah baiknya jika jumlah ini disimpan ataupun digunakan untuk tujuan yang lebih berfaedah terutamanya di ketika ekonomi yang tidak menentu sebegini.

4. Kita dapat lihat kesungguhan pihak kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok di Negara ini melalui pelbagai cara dan kaedah yang berterusan. Misalnya kempen antimerokok seperti kempen ‘TAK NAK’, hebahan dalam media massa tentang kesan dan pelbagai penyakit yang boleh dialami oleh perokok serta cetakan gambar pelbagai penyakit yang menakutkan ataupun amaran kesihatan bergambar dan maklumat bahaya rokok pada setiap kotak rokok.

5.Tidak cukup dengan kempen, kerajaan juga telah mewartakan beberapa kawasan awam sebagai kawasan larangan merokok seperti di kompleks membeli-belah, jabatan-jabatan kerajaan dan premis makanan. Mereka yang didapati merokok di kawasan-kawasan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang. Misalnya bagi kesalahan merokok di kompleks membeli-belah, jika didapati bersalah boleh didenda sehingga RM 10,000 atau dipenjara sehingga 2 tahun.

6.Tindakan sebegini memang wajar dipuji dan disokong kerana dipercayai boleh membantu mengurangkan perokok di Negara kita atau sekurang-kurangnya mewujudkan sedikit rasa keinsafan di hati mereka terutamanya apabila melihat iklan di televisyen yang menonjolkan penderitaan yang dialami oleh perokok.

7. Walaupun begitu segala usaha yang dilaksanakan ini seolah-olah masih tidak cukup untuk mengurangkan jumlah perokok di Negara ini. Bilangan mereka saban tahun semakin meningkat. Semakin kita melipatgandakan pelbagai kempen dan undang-undang, semakin ramai yang terjerumus ke kancah ketagihan merokok ini.

8.Hari ini kita masih boleh lihat remaja berumur bawah 18 tahun dengan mudahnya dapat membeli rokok di merata tempat dan setiap hari juga kita dapat melihat begitu ramai pelanggan kedai makan merokok di premis berkenaan tanpa mengendahkan peraturan larangan merokok. Itu belum lagi kejadian merokok di tempat-tempat awam yang lain yang lebih mendatangkan mudarat kepada orang lain.

9.Oleh itu, antara aspek yang perlu diberi penekanan di sini ialah penguatkuasaan undang-undang yang telah ditetapkan. Pihak yang berkuasa perlu lebih proaktif dalam menguatkuasakan undang-undang larangan menjual rokok kepada remaja bawah umur dan larangan merokok di kawasan awam yang telah diwartakan. Kepincangan dalam penguatkuasaan undang-undang ini dilihat sedikit sebanyak menyumbang kepada penularan gejala merokok secara berleluasa di semua kawasan larangan yang telah ditetapkan.

10.Kita perlu akui bahawa bukan mudah untuk mengubah tabiat orang apatah lagi orang yang sudah ketagih dengan tembakau, justeru tindakan undang-undang yang lebih serius dan berkesan sahaja dilihat antara cara terbaik yang boleh membantu menegur perbuatan dan kesalahan perokok ini.

11.Kita juga perlu akui yang tidak boleh memaksa seseorang itu dari berhenti merokok tetapi kita boleh berusaha untuk menyelamatkan orang lain daripada menjadi mangsa. Adakalanya kita terpaksa membiarkan perokok yang tegar ini dengan kedegilan mereka yang sukar untuk berhenti dan sebaliknya perlu menukar strategi, sasaran dan matlamat iaitu membantu menyelamatkan orang yang berada di sekeliling perokok tersebut.

12.Strategi baharu ini dilihat lebih relevan setelah mengambil kira keadaan semasa yang mencerminkan kegagalan pelbagai kempen dan program dalam mengurangkan jumlah perokok ataupun mendidik serta menginsafkan mereka. Naiklah setinggi mana sekalipun harga rokok, perokok tegar tetap tidak mempedulikannya.

13.Yang merokok pasti akan tetap merokok walaupun harga rokok dinaikkan setiap tahun apatah lagi kenaikan 1 sen sebatang ini yang dilihat tidak akan memberi kesan yang mendalam ataupun masalah yang besar kepada mereka untuk meneruskan aktiviti mereka. Maka wajarlah kita berusaha untuk menukar strategi dengan harapan sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan orang lain yang tidak merokok yang sering menjadi mangsa keadaan.

No comments: