Wednesday, October 21, 2009

ERTI SEBUAH PERPADUAN
1.Akhirnya kerajaan mengumumkan 16 September sebagai hari cuti umum atas nama Hari Malaysia dan kita akan sambut dua hari kebangsaan secara berkembar mulai tahun 2010. Perisytiharaan ini adalah satu lagi bukti usaha pihak kerajaan untuk mewujudkan semangat sayangkan negara seterusnya merapatkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai keturunan di negara ini.

2.Semangat patriotik dan perpaduan kaum adalah dua perkara yang perlu bergerak seiringan dan merupakan ramuan penting pemangkin kejayaan negara kita. Ianya telahpun menjadi teras kejayaan kita selama ini. Namun dewasa ini isu perpaduan kaum mula kembali mendapat perhatian yang meluas semua pihak baik pihak media, orang politik mahupun rakyat jelata. Rata-rata semua pihak seolah-olah disedarkan dari sebuah mimpi yang indah yang telah kita alami selama ini.

3.Mana mungkin kita lupa bahawa perkara asas yang merintis kepada pencapaian kemerdekaan dan penubuhan Malaysia adalah perpaduan kaum yang telah wujud sekian lama. Kemerdekaan yang dicapai pada tahun 1957 adalah bukti agung kepada perpaduan kaum di negara ini. Negara ini juga dianggap unik kerana rakyat pelbagi keturunan dapat hidup bersama di sebalik pelbagai latarbelakang agama, adat dan budaya.

4.Walaupun dalam masa 52 tahun ini semua pihak terutamanya pihak kerajaan telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan program untuk merapatkan dan memantapkan perpaduan kaum di negara ini namun erti sebenar perpaduan yang kita cari dan kehendaki masih menjadi tanda tanya dan kekal menjadi persoalan yang belum dapat dirungkai.

5.Sejarah negara ini menceritakan bahawa kita memperoleh kemerdekaan melalui semangat perpaduan yang jitu di kalangan penduduk Tanah Melayu. Pada masa itu perpaduan telah dijadikan agenda utama yang mengatasi semua aspek lain yang menjadi perjuangan kaum masing-masing.

6.Mulai tahun 1990-an kita dapat melihat perubahan yang agak ketara dalam kita memberi makna sebenar kepada erti dan nilai perpaduan yang kita agungkan selama ini. Pelbagai insiden yang berlaku mula meninggalkan titik hitam kepada perpaduan kaum di negara ini.

7.Kebanyakkan daripada insiden yang berlaku dilihat berpunca dari orang politik yang mempunyai agenda tersendiri. Insiden pergolakan politik pada tahun 1998, kesan Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008 dan hinggalah kepada munculnya kumpulan Hindraf serta isu perarakan kepala lembu.

8.Kesemuanya jelas merentap jambatan perpaduan yang telah kita bina selama ini. Akibatnya jambatan ini dilihat sudah mula retak dan semakin merisaukan semua pihak. Tiada siapa boleh menafikan bahawa kemajuan dan kejayaan kita selama ini adalah hasil sumbangan semua kaum yang ada dalam negara ini. Sikap tolak ansur dan kerjasama telah menjadi asas kejayaan kita sekian lama.

9.Namun apabila kita merenung kembali semua insiden yang berlaku maka kita mula rasa khuatir dan risau memikirkan masa depan negara ini. Apakah kemerdekaan dan perpaduan yang kita kecapi selama ini akan berkekalan ataupun sedang menuju zaman kegelapan.

10.Sesungguhnnya apa yang sedang kita nikmati sekarang adalah suatu yang telah dipinjamkan kepada kita oleh anak cucu kita di mana ianya perlu dipulangkan kembali kepada mereka bila tiba masanya dengan sekurang-kurangnya dalam keadaan yang sedia ada ataupun lebih baik daripada sekarang dan tidak sama sekali dalam keadaan yang lebih teruk. Ini kerana kita telah diwariskan oleh nenek moyang kita sebuah jambatan perpaduan yang kukuh dan kuat justeru adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga dan memeliharanya dengan sebaik yang mungkin.

11.Apakah kita rela dimaki hamun oleh generasi yang akan datang dek kegagalan kita menjaga amanah yang telah diwariskan kepada kita selama ini. Setiap individu rakyat negara ini perlu sedar dan menghayati erti perpaduan yang telah dan sedang kita nikmati ini. Hanya kesedaran mampu memperbetulkan situasi yang agak tidak menentu ini.

12.Perkara ini penting kerana secara hakikinya kita masih terpisah di antara satu sama lain. Orang Melayu, Cina dan India misalnya masih mementingkan hal masing-masing dengan agenda tersendiri. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menyuburkan kembali unsur pengorbanan yang telah menjadi pegangan kuat generasi terdahulu. Unsur ini perlu dipupuk dan dijadikan budaya jika kita mahu memperkukuhkan kembali jambatan perpaduan yang mula retak dan juga jika mahu melihat kita terus bersatu padu seterusnya maju ke hadapan.

13.Gagasan 1Malaysia perlu dijadikan pegangan dan panduan semua kaum di negara ini. Hanya gagasan ini dilihat mampu mengembalikan erti perpaduan sebenar yang semakin terhakis di kalangan penduduk negara ini.

14.Pihak kerajaan telah memainkan peranan mereka dari segi memperkenalkan pelbagi dasar, pearturan serta melaksanakan bermacam-macam program dan aktiviti untuk merapatkan hubungan kaum namun semua ini tidak akan memberi sebarang kesan dan impak jika rakyat itu sendiri tidak mahu menghargai erti perpaduan yang kita banggakan selama ini.

15.Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama berganding bahu bangun membuktikan bahawa nilai perpaduan masih subur di negara ini dan seterusnya mempertahankan apa yang telah diwariskan kepada kita oleh nenek moyang kita. Budayakanlah pengorbanan sebagai nilai hidup kita supaya kita terus maju dan mara ke hadapan.

No comments: