Thursday, October 22, 2009

NICOL IKON 1MALAYSIA
1.Dunia sukan tanahair menempa satu lagi sejarah baharu apabila gelanggang utama di Pusat Skuasy Nasional di Bukti Jalil telah diabadikan sebagai Arena Nicol David. Dalam usia yang baru mencecah 26 tahun Datuk Nicol berjaya memahat nama dalam sejarah sukan Negara ini.

2.Perkara sebegini boleh dikatakan jarang berlaku di Negara kita. Ini mungkin kerana prestasi atlet negara dewasa ini cukup terumbang ambing dan tidak menentu. Tidak seorangpun yang betul-betul konsisten dengan prestasi mereka sepanjang masa.

3.Dahulunya kita memang kaya dengan beberapa nama besar dalam acara sukan berprestij seperti Bola Sepak, Badminton dan Olahraga. Kita pernah bangga kerana melahirkan jaguh sukan seperti Allahyarham Mokthar Dahari, Datuk Dr. M. Jegathesan, Datuk Punch Gunalan dan rakan-rakan mereka yang seangkatan dengan mereka dahulu. Namun semua itu seolah-olah hanya boleh dikenang dan disimpan dalam lipatan sejarah semata-mata kerana masih sukar untuk kita mencari pengganti mereka.

4.Walaupun dunia sukan tanahair bagaikan menuju zaman kemalapan namun kita sering diceriakan oleh kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Datuk Nicol David di persada antarabangsa. Sekurang-kurangnya kita masih boleh berbangga dapat melahirkan seorang atlet bertaraf profesional dan antarabangsa yang berada dalam kelasnya tersendiri. Kita berjaya melahirkan seorang juara dunia yang satu-satunya atlet yang masih kita boleh anggap mampu mengekalkan prestasi hebatnya dalam kebanyakkan kejohanan yang disertainya.

5.Maka pemasyuran Arena Nicol David hadir tepat pada masanya dan sememangnya beliau layak untuk diberi penghormatan yang besar ini. Tidak ramai atlet yang mampu mencapai dan sampai ke tahap seperti Datuk Nicol dalam usia yang begitu muda.

6.Datuk Nicol memang unik orangnya. Beliau bukan sahaja hebat di arena suka malah beliau juga sungguh cemerlang dalam bidang akademik. Kejayaan hebat beliau dalam peperiksaan PMR dan SPM adalah bukti kepada kehebatan beliau dalam memberi tumpuan, fokus dan komitmen dalam dua perkara pada satu-satu masa tertentu.

7.Sekali lagi dibuktikan bahawa tidak ramai atlet negara kita yang berjaya dalam dua bidang yang agak kontra dan kritikal ini. Selalunya kita lebih dipertontonkan kehebatan seseorang individu itu dalam satu bidang sahaja sama ada dalam bidang sukan ataupun akademik. Jarang sekali yang boleh mencapai kemuncak prestasi yang hebat dalam kedua-dua bidang ini seperti Datuk Nicol.

8.Di kala anak-anak muda yang sebaya dengan beliau begitu asyik dengan aktiviti merempit, menghabiskan masa di kafe siber dan terlibat dengan pelbagai gejala sosial, Datuk Nicol muncul sebagai sebutir permata yang menyinari dunia remaja negara ini.

9.Maka wajarlah beliau diiktiraf dan dimasyurkan sebagai ikon remaja negara ini atau lebih tepat lagi ikon 1Malaysia yang boleh memainkan peranan sebagai duta dalam membantu menyuntik semangat dan motivasi di kalangan anak-anak muda kita yang semain leka dan hanyut dengan pelbagai masalah sosial yang merisaukan semua pihak.

10.Kita percaya dengan rekod peribadi yang bersih dan hebat, Datuk Nicol boleh menjadi contoh yang terbaik kepada anak muda kita. Beliau juga dilihat mampu memikul tanggungjawab ini bagi merealisasikan semangat 1Malaysia di mana kita harap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat mengambil peluang ini untuk membantu membentuk belia kita.

11.Belia negara ini masih tercari-cari identiti dan ikon yang boleh dijadikan contoh teladan mengikut peredaran zaman. Justeru Datuk Nicol yang mewakili angkatan belia dan muda ini adalah calon terbaik yang perlu ditonjolkan oleh KBS bagi menyatupadukan remaja negara ini dalam usaha membawa kembali mereka ke landasan yang betul seterusnya membentuk mereka menjadi tulang belakang bagi mencapai misi dan visi gagasan 1Malaysia.

12.Ini penting kerana belia adalah tonggak kejayaan sesebuah negara. Maka mereka perlu dididik, diasuh dan dibentuk mengikut acuan yang kita kehendaki. Dalam melaksanakan tugas itu kita juga perlu mengambil kira kehendak dan naluri anak-anak muda ini. Dalam erti kata lain kita perlu mengikut rentak mereka dalam usaha untuk memujuk dan membentuk mereka supaya mereka lebih selesa dan mudah untuk didekati.

13.Atas dasar itulah Datuk Nicol dilihat mampu memainkan peranan yang penting kerana beliau sendiri boleh dikatakan telahpun mempunyai peminat dan pengikutnya sendiri maka agak mudahlah untuk beliau mendekati golongan sasaran ini bagi mencapai matlamat kita.

14.Kita harap semua pihak terutamanya KBS tidak mensia-siakan permata baru Negara ini lantaran segeralah bertindak dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi mengiktiraf Datuk Nicol sebagai ikon 1Malaysia terutamanya khas untuk golongan belia negara ini.

No comments: