Tuesday, October 6, 2009

MARTABATKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA 1MALAYSIA
(TELAH DISIARKAN DALAM UTUSAN MALAYSIA 6 OKTOBER 2009)
1.Perjuangan untuk mermatabatkan kedudukan bahasa Melayu di negara ini tidak pernah berhenti mahupun diabaikan. Pelbagai pihak sentiasa dilihat menyuarakan kebimbangan terhadap pengikisan ‘kerhormatan’ terhadap bahasa yang sepatutnya menjadi tunjang penduduk Malaysia.

2.Sinonimnya kita seolah-olah semakin lupa apa yang tercatat dalam Perlembagaan negara ini walaupun jelas bahasa Melayu sudahpun diiktiraf dan diletakkan di suatu kedudukan yang tinggi martabatnya apabila ianya diisytihar sebagai bahasa kebangsaan.

3.Kita juga perlu ingat bahawa bukan mudah status bahasa kebangsaan ini diberikan. Ianya telah dibincang, dibahas dan akhirnya telahpun dipersetujui oleh semua pihak terutamanya semua pemimpin politik yang mewakili semua kaum utama di negara ini semasa perlembagaan itu digubal dan diluluskan.

4.Maka sewajarnya tidak patut timbul soal bahasa Melayu dipinggirkan ataupun dikesampingkan dalam semua urusan baik yang rasmi mahupun tidak rasmi. Sepatutnya juga tidak perlu timbul isu keperlaun untuk memperjuangkan bahasa ini kerana secara hakikinya dan juga secara automatiknya bahasa ini wajib didaulatkan dan dimuliakan oleh semua pihak terutamanya setiap warga negara ini.

5.Namun kelekaan sesetengah pihak dalam menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan menyebabkan kita semakin terjerumus ke kancah ‘keperluan’ untuk memperjuangkan sesuatu yang sepatutnya tidak perlu diperjuangkan lagi secara paksa.

6.Rasanya tidak perlu lagilah kita menuding jari menyalahkan orang politik mahupun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kesedaran perlu berputik dengan sendirinya di jiwa setiap seorang dari kita jika mahu bahasa ini terus mekar dan subur.

7.Bahasa kebangsaan ini besar peranannya jika kita mahu merealisasikan misi 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri kita. Malah boleh dikatakan inilah jambatan penghubung utama antara kaum yang boleh menjayakan misi tersebut.

8.Kita perlu bersatu dalam satu bahasa supaya komunikasi dan perhubungan antara kaum dapat dipereratkan serta dimantapkan dan seterusnya boleh mengelakkan segala prasangka buruk sesama kita.

9.Ini kerana masyarakat kita sememangya sudahpun terpisah di antara satu sama lain dengan pelbagai budaya yang diamalkan oleh kaum masing-masing. Budaya ini adalah tradisi dan adat masing-masing yang telah menjadi amalan turun temurun yang tidak boleh dipadamkan begitu sahaja, maka dalam aspek apa lagi kita boleh bersatu jiak bukan melalui bahasa perantaraan yang satu iaitu bahasa Melayu.

10.Walaupun sudah 52 tahun kita merdeka namun masih terdapat rakyat kita yang tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Ini adalah sesuatu yang cukup menyedihkan. Keadaan ini dapat dielakkan jika kita memberi penekanan yang sewajarnya dalam aspek pemahaman dan pembelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah.

11.Ternyata pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di Sekolah Tamil dan Cina tidak begitu membantu anak-anak ini untuk berkomunikasi dan bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu. Bahasa rojak terus menjadi amalan harian mereka. Jika ini dibiarkan maka seluruh generasi mereka juga akan terbawa-bawa dengan bahasa rojak tersebut.

12.Dalam hal ini orang Melayu juga perlu memainkan peranan yang sewajarnya. Misalnya apabila mereka berkomunikasi dengan orang Cina ataupun India maka mereka sepatutnya menggunakan bahasa yang betul dan bukannya bahasa rojak dengan mengikut rentak pertuturan orang Cina atuapun India. Ini banyak berlaku di kalangan masyarakat kita dalam perbualan dan urusan seharian. Perkara ini perlu dihentikan dan dibendung dengan segera kerana ini menunjukkan seolah-olah orang Melayu sendiri menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul ataupun bahasa rojak.

13.Sepatutnya orang Melayu menjadi contoh dan tauladan kepada orang lain dengan bertutur dalam bahasa Melayu yang betul di samping membantu mendidik ataupun memperbetulkan bahasa rojak yang digunakan oleh orang lain. Ini jelas tidak berlaku malah lebih merumitkan keadaan yang sedia ada.

14.Justeru cuma satulah permintaan dan harapan kita kepada semua pihak yang berkenaan terutamanya orang Melayu itu sendiri serta pihak yang mempunyai kuasa iaitu mematuhi dan menguatkuasakan apa yang tertera dalam Perlembagaan kita supaya bahasa ini didaulatkan dan digunakan dengan betul.

15.Sempena pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan marilah kita bersama-sama bertekad untuk menghayati dan seterusnya membudayakan penggunaan bahasa Melayu di kalangan seluruh rakyat negara ini. Percayalah bahawa hanya melalui penyatuan bahasa sahaja kita boleh menjayakan misi 1Malaysia.

No comments: