Thursday, October 8, 2009

PERTIMBANG SEMULA BANTUAN KE INDONESIA
1.Seperti biasa Malaysia merupakan antara Negara pertama yang menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana alam di Sumatera barat. Dari aspek bantuan kewangan hinggalah ke bantuan perubatan dan kepakaran pasukan penyelamat dihantar bersilih ganti dengan hati yang penuh ikhlas dan rasa simpati.

2.Terkini Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar sebanyak 53 lagi anggota perubatannya untuk membantu mangsa tersebut dan ini ditambah pula dengan pasukan ketiga dari Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia). Pelbagai tabung untuk mengumpul dana juga diwujudkan serta merta bagi meringankan beban mangsa gempa ini.

3.Namun di sebalik keterujaan kita dalam menghulurkan bantuan kepada mereka atas dasar kemanusiaan serta jiwa serumpun dan jiran, kita dikejutkan dengan pelbagai insiden dan perkhabaran yang kurang menyenangkan.

4.Antara isu yang menjadi perbualan hangat ialah insiden pesawat pengangkut C-130 Hercules dibaling dengan batu oleh penduduk Padang ketika pasukan kita melaksanakan misi menyelamat dan menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah gempa tersebut. Ini menunjukkan seolah-olah kehadiran pasukan Malaysia kurang disenangi oleh segelintir masyarakat di kawasan terbabit.

5.Kejadian yang paling terbaru adalah kita juga dituduh menghantar makanan yang luput tarikh pada hal ianya tidak benar sama sekali. Kita juga masih segar dengan perisytiharan perang ke atas Malaysia oleh Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) tempoh hari yang bersiap sedia untuk mengepung kedutaan kita di Jakarta seterusnya menyerang Malaysia.

6. Apa yang pelik ialah perisytiharan ini dibuat pada masa rakyatnya sendiri sedang menderita akibat gempa bumi tersebut dan sedang dibantu oleh pasukan Malaysia. Alangkah baiknya jika pasukan BENDERA ini menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan mereka di Padang yang sedang mengharapkan ihsan seluruh dunia.

7.Mungkin ini hanya melibatkan tindakan segelintir penduduk mereka dan bukan pendirian kerajaan mahupun majoriti rakyat Indonesia namun sebagai manusia yang waras agak sukar untuk diterima oleh akal fikiran kita yang kononya perisytiharan ini hanya diperbesar-besarkankan oleh media Indonesia.

8. Manusia mempunyai had dan tahap kesabaran tertentu. Insiden sebegini semakin mengurangkan tahap kesabaran rakyat Malaysia apatah lagi kita tidak boleh menerima tindakan kumpulan ini yang membakar dan menghina Jalur Gemilang yang kita muliakan. Ianya benar-benar menguji dan mencabar mencabar had kesabaran kita.

9.Kejadian demi kejadian yang berlaku ini sedikit sebanyak mula menimbulkan satu persoalan yang penting kepada kita apakah masih wajar, rasional dan perlu diteruskan segala bantuan yang kita hulurkan kepada mereka.

10.Ini kerana mereka seolah-olah tidak menghargai apa yang kita lakukan selama ini. Kita tidaklah mengharapkan balasan kepada sumbangan dan bantuan ikhlas yang telah dan sedang disampaikan namun janglah sampai kita diaibkan dan dipandang serong.

11.Memang kita tidak sampai hati melihat penderitaan mereka. Kita juga tidaklah kejam dan zalim sehingga hanya berpeluk tubuh melihat kesusahan yang mereka lalui namun tindak tanduk segelintir rakyat mereka ini sudah cukup untuk merobek hati dan perasaan setiap rakyat Negara ini.

12.Sehinggakan ada pendapat yang mengatakan lebih baik kita menggunakan segala dana yang diperolehi itu untuk membantu rakyat kita sendiri yang masih serba kekurangan dan memerlukan pelbagai bantuan baik dari segi kewangan mahupun kemudahan asas dan awam terutamanya di kawasan pedalaman dan juga di Sabah dan Sarawak.

13.Di samping itu ramai juga rakyat Negara ini yang memerlukan bantuan kewangan yang segera untuk menampung kos pembedahan mahupun rawatan perubatan untuk penyakit mereka. Rasanya lebih berbaloi jika membantu mereka daripada menghulurkan bantuan kepada orang yang tidak tahu menghargainya.

14.Mungkin ini akan dilihat sebagai tindakan yang dipengaruhi rasa marah dan emosi namun kita juga tidak boleh membiarkan perkara ini berterusan sebegini. Dikhuatiri kumpulan ini akan bertindak dengan lebih berani kelak.

15.Kita tidak menafikan hakikat bahawa bantuan kepada Negara jiran adalah tanggungjawab sosial sesebuah Negara kerana hari ini musibah berlaku kepada Negara mereka, esok lusa Negara kita juga boleh mengalami nasib yang sama dan mungkin akan memerlukan bantuan Negara lain. Justeru bantuan sebegini boleh diteruskan tetapi biarlah berpada dan juga perlulah mengambil kira pelbagai faktor yang boleh menjejaskan usaha murni kita tersebut. Tambahan pula kitapun tidaklah berniat untuk membalas dendam ataupun membalas kejahatan dengan kejahatan juga. Rakyat kita masih waras dan boleh berfikir secara rasional.

16.Maka dalam hal ini setelah mengambil kira senario semasa, mungkin sudah tiba masanya untuk kita benar-benar memperhalusi, menilai semula dan mempertimbangkan sedalam-dalamnya apakah kita masih wajar untuk meneruskan bantuan kepada mereka.

No comments: