Wednesday, October 28, 2009

HENTIKAN BUDAYA MEMINTA, SUBURKAN KEMBALI BUDAYA BERSYUKUR
1.Semakin kita maju ke hadapan semakin kita lupa nila-nila murni dan budaya yang menjadi kebangaan selama ini. Masyarakat kita seolah-olah semakin hanyut dek pembangunan fizikal dan material yang jelas membelakangkan aspek kerohanian dan kesyukuran terhadap nikamat yang kita rasai selama ini.

2.Sedar atau tidak sekarang kita lebih banyak meminta dan mengharap sesuatu balasan ataupun penghargaan daripada memberi dan bersyukur dengan apa yang ada. Keadaan ini jelas memperlihatkan betapa tamaknya masyarakat kita yang dikatakan semakin intelek dan moden. Budaya mementingkan diri makin berleluasa ke dalam norma kehidupan kita seharian.

3.Salah satu contoh yang paling jelas adalah rentetan daripada pembentangan Bajet 2010 tempoh hari. Rata-rata apabila kita memperhalusi intipati bajet tersebut mendapati ianya suatu bajet yang mesra rakyat, telus, komprehensif dan menyeluruh. Ianya juga disifatkan telah mengambilkira segala aspek dan keperluan rakyat sejajar dengan konsep ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’.

4.Namun apa yang terjadi ialah kita masih kedengaran rasa ketidakpuasan hati beberapa pihak yang masih mahu menuntut itu dan ini dari pihak kerajaan. Golongan ini seolah-olah tidak peduli apa yang berlaku di sekitar mereka di mana yang penting hasrat mereka perlu dipenuhi oleh pihak kerajaan. Mereka tidak kisah tentang scenario ekonomi semasa yang belum pulih malah mereka juga tidak hiraukan defisit yang diunjurkan oleh pihak kerajaan.

5.Apakah masyakat begini yang kita harapkan untuk memajukan negara ini? Golongan ini ternyata tidak pernah mensyukuri apa yang pernah diberikan oleh pihak kerajaan. Malah sebaliknnya mereka secara terus menerus ingin mendesak kerajaan memenuhi segala kehendak dan kemahuan mereka kononya atas nama untuk menjaga kebajikan ahli yang mereka wakili. Ternyata mereka tidak pernah puas dengan apa yang telah diberikan oleh pihak kerajaan.

6.Kumpulan sebegini perlu sedar bahawa langit tidak selalunya cerah di mana kerajaan tidak selalunya dapat memenuhi segala tuntutan mereka. Kita yakin bahawa kerajaan akan memberi apa saja yang mereka pinta jika keadaan mengizinkan. Buktinya sebelum ini pihak kerajaan telahpun menunaikan pelbagai tuntutan yang pernah mereka kemukakan. Justeru dalam keadaan yang gawat ini, berilah peluang kepada kerajaan untuk memenuhi terlebih dahulu beberapa tanggungjawab sosial kepada rakyat seperti menyediakan keperluan dan kemudahan asas terutamanya kepada penduduk luar bandar dan golongan yang berpendapatan rendah.

7.Di samping itu, budaya meminta ini jugalah dilihat menjadi salah satu punca kecelaruan perpaduan yang sedang kita alami sekarang. Masing-masing ingin menonjolkan diri sebagai jaguh kaum masing-masing dengan menuntut pelbagai perkara yang ada kalanya tidak munasabah dan sukar untuk diterima akal.

8.Apabila pihak kerajaan tidak memenuhi tuntutan liar mereka ini maka terus dilemparkan bermacam-macam tuduhan dan propaganda serta fitnah terhadap pihak kerajaan kononya kerajaan bertindak zalim, menindas kaum dan golonagn tertentu serta tidak mahu mendengar rintihan rakyat.

9.Tuduhan-tuduhan sebegini jelas menghuru-harakan peerpaduan di kalangan masyarakat kita yang mendambakan kehidupan yang lebih harmoni, aman dan damai. Akibatnya jambatan perpaduan yang kita banggakan selama ini dilihat sudah mula retak dan semakin merisaukan semua pihak.

10.Ternyata golongan ini juga tidak pernah mensyukuri segala nikmat dan pemberian oleh kerajaan selama ini kepada kaum atau golongan yang mereka wakili. Dalam sekelip mata segala pemberian tersebut dilupakan hanya kerana ingin menjadi popular dan tamakkan kuasa dan kedudukan.

11.Jangan kita lupa sejarah kemerdekaan negara ini. Sikap bertolak ansur, bekerjasama dan sanggup berkorban telah menjadi asas kepada pencapaian kemerdekaan negara kita. Nenek moyang kita sanggup melupakan segala persengketaan dan bersedia untuk berganding bahu dan berkorban apa saja semata-mata untuk mencapai kemerdekaan yang kita nikmati sekarang.

12.Tindakan tidak bertanggungjawab golongan sebegini semakin hari semakin menjadi-jadi dan juga didapati semakin menyusahkan semua pihak. Akibatnya juga pihak kerajaan tidak dapat memberi fokus dan tumpuan sepenuhnya kepada usaha penambahbaikan yang lain kerana dipaksa melayan karenah mereka sepanjang masa. Jelas ini merugikan masa dan tenaga semua pihak yang sepatutnya digunakan untuk melaksanakan pelbagai program pemulihan ekonomi dengan segera.

13.Justeru amatlah wajar untuk kita bermuhasabah diri, merenung kembali dan seterusnya mensyukuri segala nikmat yang ada ini dan hindarilah budaya asyik meminta supaya semua pihak dapat menikmati rezeki di bumi bertuah ini secara adil, saksama dan seimbang. Budayakanlah pengorbanan sebagai nilai hidup kita agar kita terus maju dan mara ke hadapan. Rakyat dan kerajaan perlu berganding bahu dan bergerak seiringan jika kita mahu lihat negara ini terus maju dan mencapai misi dan wawasan yang telah kita tetapkan.

No comments: