Wednesday, May 25, 2011

INTEGRITI JABATAN KASTAM PERLU DIPULIHKAN SEGERA


1.      Statistik yang dibentangkan oleh Pengarah Bahagian Siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali cukup menggerunkan, menakutkan, memalukan serta mengecewakan seluruh rakyat Malaysia.

2.      Operasi 3b yang membawa kepada pembongkaran pelbagai kes salah laku, penyelewengan dan rasuah dalam kalangan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di seluruh negara ini mendedahkan penangkapan 62 orang pegawai kastam pelbagai peringkat serta SPRM juga menganggarkan RM108 bilion hasil negara lesap setiap tahun akibat perbuatan segelintir pegawai kastam yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa.

3.      Ternyata pendedahan ini membawa satu malapetaka yang besar serta menjejaskan imej dan nama baik JKDM. Rata-rata masyarakat seolah-olah tidak boleh percaya dengan pendedahan ini kerana selama ini kita begitu yakin bahawa sebagai salah sebuah agensi penguatkuasa yang penting, semua anggota kastam akan mengutamakan elemen disiplin dan integriti yang tinggi  dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah dan ikhlas.

4.      Pendedahan ini sama sekali bukan sahaja melenyapkan tanggapan baik masyarakat tersebut tetapi turut mencalar imej JKDM secara menyeluruh. Memang tidak adil untuk kita menghukum seluruh jabatan dan anggota kastam disebabkan tingkah laku segelintir anggota mereka namun kita tidak boleh lari dari kenyataan di mana masyarakat kita sudah terbiasa dengan perumpamaan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

5.      Bagi penulis dua (2) perkara yang sangat serius dan menarik perhatian ialah kerugian yang dialami oleh negara serta bilangan anggota yang telah ditangkap sehingga kini. Kedua-dua perkara ini perlu ditanagni dengan segera kerana melibatkan isu nasional dan kepentingan awam.

6.      Bilangan 62 orang yang telah ditangkap sehingga kini dari pelbagai peringkat dari staf yang baru masuk kerja hingga ke pegawai kanan perlu dipandang serius. Ianya bukanlah satu jumlah yang kecil dan kita percaya melalui operasi ini SPRM bakal menangkap lebih ramai lagi pegawai yang terlibat di samping bakal mendedahkan penglibatan lebih ramai anggota kastam apabila siasatan ke atas 62 orang bakal mendedahkan semua pihak yang bersekongkol dengan mereka selama ini.

7.      Justeru JKDM perlu bertindak dengan segera untuk membersihkan nama jabatan secara menyeluruh selain memulihkan kembali imej yang semakin tercalar. JKDM juga perlu berusaha untuk meraih kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat yang dilihat terus jatuh merudum selepas pendedahan ini.

8.      Untuk itu, seluruh anggota dan pegawai kastam perlu melalui proses ‘pembersihan’ dan ‘pencucian’ secara menyeluruh di semua peringkat demi memupuk semula nilai-nilai integriti, amanah, tanggungjawab serta keikhlasan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

9.      Perkara kedua yang cukup penting ialah kerugian yang dianggarkan akibat daripada penyelewengan ini kepada negara dalam bentuk hasil pendapatan iaitu RM108 bilion. Jumlah ini sekali lagi bukanlah suatu jumlah yang kecil dan boleh dipandang enteng atau dilupakan begitu sahaja.

10.  Kita perlu sedar bahawa dengan jumlah ini kerajaan mampu melaksanakan pelbagai program pembangunan dan kebajikan untuk kesejahteraan rakyat. Sayangnya RM108 bilion lesap begitu sahaja angkara sifat tamak dan mementingkan diri segelintir pegawai yang membelakangkan amanah dan tanggungjawab rakyat dan negara ke atas bahu mereka.

11.  Mereka lupa bahawa negara dan rakyat meletakkan harapan yang besar kepada mereka untuk menjaga pintu masuk negara seterusnya akan membantu menambah  pendapatan negara melalui kutipan pelbagai cukai yang terlibat.

12.  Ternyata rakyat begitu marah dan tidak berpuas hati, malah hanya mampu termenung dan menggeleng kepala apabila perkara ini didedahkan oleh SPRM. Justeru sekali lagi kita berharap agar JKDM akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mendapatkan semula semua pendapatan yang hilang dan lesap selama ini angkara kecuaian anggotanya dan memastikan agar perkara ini tidak berulang lagi.

13.  Ironinya, apa yang mengecewakan kita ialah, di kala pihak kerajaan begitu komited untuk memartabatkan sektor awam sebagai nadi pentadbiran kerajaan dan harapan rakyat, pendedahan ini sedikit sebanyak dilihat mencemarkan nama baik kerajaan dan membuka peluang kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan ini bagi menghentam dan memburukkan nama kerajaan di mata masyarakat.

14.  Justeru secara keseluruhannya kerajaan perlu bertindak dengan segera bagi menangani isu ini di mana JKDM perlu ‘disucikan’ dan ‘dibersihkan’ semula serta diberi nafas baru untuk kembali memainkan peranan asalnya.

15.  Dalam pada itu, kita juga berharap agar pendedahan ini akan dijadikan sebagai iktibar oleh agensi kerajaan yang lain  terutamanya agensi penguatkuasa yang turut berpotensi untuk terlibat dalam aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa seperti ini agar segera berubah dan menghentikan aktiviti mereka.

16.  Pada masa yang sama, kita juga wajar merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada SPRM yang melaksnakan tugas dengan penuh berani, telus dan dedikasi. Semoga operasi seperti ini dilipatgandakan dari semasa ke semasa demi membanteras rasuah dan penyelewengan secara menyeluruh di negara kita.

No comments: