Wednesday, May 25, 2011

BERJUANG UNTUK AGAMA, BANGSA DAN TANAH AIR

1.      Dalam temu bual eksklusif bersama sebuah akhbar tempatan baru-baru ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pasal perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air.

2.      Apabila bertanya tentang harapan beliau terhadap ahli UMNO mengenai perjuangan mereka seterusnya, Tun berpesan ahli UMNO perlu balik pada asal iaitu berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air dan bukannya berjuang untuk diri sendiri.

3.      Mengikut Dr. Mahathir lagi, kalau kita berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air, insya-Allah kita akan mendapat kemudahan, tidak ada orang yang boleh katakan dia tidak dapat apa pun daripada perjuangan UMNO.

4.      Ianya merupakan satu pesanan malah boleh dikatakan sebagai satu amanat yang cukup ringkas dan padat tetapi memberikan maksud yang cukup mendalam yang datangnya dari seorang bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO serta seorang negarawan ulung.

5.      Penulis cukup tertarik dengan pesanan ini yang boleh dikatakan hadir tepat pada masanya mengambilkira persekitaran politik dan sosial semasa di mana penulis lebih berminat untuk mengupas isu ini dalam konteks yang lebih meluas iaitu di peringkat nasional tanpa hanya memberi fokus kepada perjuangan UMNO semata-mata.

6.      Walaupun pesanan ini ditujukan khas kepada ahli UMNO namun ianya perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar kerana boleh diadaptasikan untuk penghayatan seluruh rakyat Malaysia dalam  aspek kehidupan bersosial iaitu perpaduan nasional.

7.      Hal ini adalah kerana mutakhir ini terlalu banyak insiden mengambil tempat yang dilihat mula mengeruhkan hubungan kaum dan perpaduan rakyat dalam negara kita. Isu berkaitan sensitiviti agama dan kaum serta isu berkaitan perlembagaan mula mencetuskan pelbagai polemik yang membawa kepada rasa kebimbangan dalam kalangan khalayak.

8.      Ini kerana, kejadian-kejadian seperti mempertikaikan agama Islam sebagai agama rasmi di samping isu mengenai hak-hak sesuatu kaum serta perdebatan terbuka mengenai perlembagaan boleh mendorong kepada rasa ketidakpuasan hati seterusnya membawa kepada konflik dan persengketaan antara kaum yang serius.

9.      Akibatnya kita khuatir kontrak sosial yang kita banggakan dan pertahankan selama ini boleh tergugat ataupun lebih teruk lagi musnah sama sekali. Kita tidak mahu kontrak sosial satu hari nanti hanya menjadi sejarah sahaja. Bagi mengelak ianya berlaku, kita perlu insaf, sedar dan ingat sentiasa bahawa sejarah negara ini membuktikan persengkataan dan konflik antara kaum boleh mencetuskan perbalahan yang sungguh dasyat seperti peristiwa 13 Mei 1969. Apakah kita mahu membiarkan insiden seumpama itu berulang kembali?

10.  Justeru apabila kita meneliti semula punca dan sebab kejadian seperti ini ianya tidak lain tidak bukan tercetus angkara pihak-pihak yang mempunyai kepentingan peribadi dan agenda tersendiri yang tersembunyi yang meletakkan perjuangan peribadi mereka mengatasi perjuangan dan agenda nasional.

11.  Maka disinilah munculnya kerelevanan pesanan Dr. Mahathir itu tadi iaitu kita perlu mengutamakan perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air. Segala perjuangan untuk diri sendiri, kroni dan keluarga ataupun untuk pihak-pihak tertentu perlu diketepikan demi agenda pembangunan negara secara menyeluruh.

12.  Seluruh rakyat Malaysia perlu menerima hakikat bahawa agama Islam adalah agama rasmi persekutuan dan ianya wajar dihormati dan diterimapakai dengan semangat 1Malaysia di samping kita wajar bermuafakat dan bersatu hati memperjuangkan semangat bangsa Malaysia demi memperjuangkan tanah air ini.

13.  Baik individu, ahli mahupun parti politik secara keseluruhannya di samping memperjuangkan agenda parti masing-masing, perjuangan untuk tanah air wajib dijadikan sebagai agenda perjuangan utama mereka sama ada mewakili pihak kerajaan mahupun pembangkang. Justeru perlembagaan perlu dijunjung bersama-sama dan dihayati secara berterusan.

14.  Ini kerana rakyat mahukan kepentingan dan agenda nasional diutamakan dan dititikberatkan dalam apa jua keadaan sekalipun tanpa sebarang kompromi kerana hanya dengan cara itu sahaja keharmonian antara kaum, perpaduan nasional serta keamanan di negara kita dapat terus dipelihara dan dipertahankan.

15.  Hal ini penting kerana mutakhir ini terdapat golongan-golongan tertentu yang terlalu suka untuk bermain api dengan menyentuh dan mempersoalkan isu-isu sensitif tanpa segan dan silu malah memperdebatkannya di hadapan khalayak.

16.  Mereka lupa bahawa asas pencapaian kemerdekaan dan pembentukan negara ini adalah berdasarkan toleransi, muafakat dan pengorbanan generasi terdahulu yang mengetepikan agenda kaum masing-masing demi kemerdekaan dan perpaduan nasional atas tiket kontrak sosial.
17.  Jadi, kita khuatir jika keadaan ini tidak dibendung atau ditangani dengan segera secara berhemah, ianya boleh merebak menjadi wabak dan virus yang sukar diubati ataupun dikawal kelak.

18.  Maka apa yang diharapkan ialah, kita mahu generasi yang ada pada hari ini menghormati, menghayati dan seterusnya berpegang teguh kepada perlembagaan yang tercetus daripada kontrak sosial yang telah dimeterai oleh nenek moyang kita supaya kita dapat terus menikmati kehidupan yang aman dan harmoni dalam negara tercinta ini. Mereka perlu sedar tentang bahaya menyentuh dan mempertikaikan isu-isu seperti ini.

19.  Untuk itu seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan pegangan ideologi wajip menghayati pesanan Dr. Mahathir tersebut di mana kita mesti mengutamakan perjuangan untuk agama, bangsa dan paling penting untuk tanah air. Ingat kata-kata keramat yang sering dilaungkan, jangan tanya apa negara ini buat untuk kita tetapi tanyalah apa yang telah kita buat untuk negara ini.

No comments: