Wednesday, May 25, 2011

PENGUATKUASAAN AKTA KAWALAN DAN ANTI PENCATUTAN 2010 PERLU DIMANTAPKAN

1.      Sebagai pengguna kita berasa lega apabila kerajaan menguatkuasakan Akta Kawalan dan Pencatutan 2010 mulai 1 April yang lalu. Akta ini membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bertindak dengan segera terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

2.      Mengikut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob syarikat korporat yang melakukan kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta.

3.      Bagi individu pula, mereka akan berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

4.      Agak menarik apabila kita meneliti bentuk hukuman yang digariskan dalam akta ini yang meliputi jumlah denda yang besar di samping hukuman penjara dan untuk kita wajar berterima kasih kepada pihak kerajaan terutamanya kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang mengambil inisiatif untuk memperkenalkan akta ini dalam usaha untuk melindungi hak kita sebagai pengguna.

5.      Kita percaya hukuman yang digariskan ini pasti akan mengundang rasa ketakutan dalam kalangan peniaga baik individu mahupun syarikat korporat yang berhasrat untuk menaikkan harag barangan ataupun yang selama ini memang degil dan terus menganiaya pengguna.

6.      Lebih menarik lagi mengenai akta ini ialah mengikut Ismail Sabri juga, kalau ada kenaikan harga sampai 10 sen (secawan) dalam harga secawan teh atau kopi, kita boleh mengambil tindakan di bawah akta baru ini.

7.      Ini menunjukkan betapa akta ini cukup terperinci dan menyediakan satu perlindungan yang komprehensif dan menyeluruh dari pelbagai sudut kepada pihak pengguna dan ternyata ianya hadir tepat pada masanya.

8.      Hal ini penting kerana mutakhir ini kita terus dikejutkan dengan kenaikan harga pelbagai jenis barangan dengan sewenang-wenangnya oleh peniaga tanpa mempedulikan hak dan kemampuan kuasa beli pengguna.

9.      Misalnya kenaikan harga gula menyebabkan para peniaga terus menaikkan harga makanan dan minuman walaupun kajian kementerian mendapati untuk secawan teh dan kopi kenaikan harga gula (20 sen sekilo) hanyalah 0.4 peratus sahaja tetapi apa yang berlaku ialah para peniaga menaikan terus harga makanan dan minuman pada kadar 20 sen secawan sekaligus. Ini jelas tidak adil, tidak berpatutan dan satu tindakan yang menganiaya para pengguna.

10.  Justeru dalam hal ini apa yang penting ialah kepentingan aspek penguatkuasaan pemantauan oleh pihak kementerian. Akta sudah diluluskan dan ianya memberi kuasa yang sungguh jelas, maka kementerian perlu mengambil inisiatif yang proaktif untuk menguatkuasakannya pada tahap yang paling optimum. Kita berasa lega apabila Ismail Sabri juga mengumumkan bahawa seramai 1,600 orang pegawai pemantau harga telah digerakkan untuk memantau keadaan kenaikan harga setiap hari terutamanya selepas kenaikan harga gula.

11.  Namun dua persoalan yang timbul ialah apakah jumla 1,600 orang ini mencukupi untuk memantau di seluruh pelusok negara dan sejauh mana pemantauan ini betul-betul dilaksanakan atau mengambil tempat.

12.  Kita perlu terima hakikat bahawa kita memang bijak dan pandai dalam merancang sesuatu perkara seperti penggubalan akta baru ini tetapi apa yang sering menjadi persoalan dan cabaran malah mengecewakan kita ialah aspek pelaksanaan. Kita sering berjaya merancang tetapi gagal untuk melaksanakannya dengan betul dan tepat.

13.  Justeru kita berharap sangat agar pihak kementerian akan memastikan elemen pemanataun ini dilaksanakan mengikut perancangan sama ada dengan 1,600 orang ini ataupun menambah lagi tenaga pekerja supaya ianya benar-benar memberi impak yang kita harapkan.

14.  Pada masa yang sama, sebagai pengguna kita juga wajar memainkan peranan kita terutamanya dalam melindungi hak kita sendiri. Seperti kata Ismail Sabri, orang ramai perlu memberi kerjasama dengan melaporkan kepada kementerian sekiranya terdapat peniaga yang menaikkan harga sesuka hati mereka.

15.  Perlu diingat bahawa tanggungjawab melindungi hak pengguna bukan terletak pada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan semata-mata sebaliknya pengguna juga perlu lebih proaktif dan bertanggungjawab kepada diri sendiri dan juga masyarakat sekeliling seterusnya membawa peniaga yang degil ke muka pengadilan.

No comments: