Wednesday, May 25, 2011

KAWAL PENJUALAN ASID

1.      Mutakhir ini kes jenayah melibatkan asid mula meningkat dan membimbangkan khalayak. Penyalahgunaan asid oleh pihak yang tidak bertanggungjawab atas pelbagai tujuan dan motif jenayah ini dilihat semakin hari semakin bertambah.

2.      Mengikut statistik terkini Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 23 laporan telah diterima melibatkan jenayah simbahan asid di Lembah Klang. Itu belum lagi kes seumpama ini di tempat-tempat lain di ibu kota apatah lagi di seluruh negara.

3.      Agak memeranjatkan apabila para penjenayah ini menukar modus operandi mereka dengan menjadikan asid sebagai senjata baru mereka. Walaupun penggunaan asid dalam jenayah bukanlah suatu perkara baru tetapi peningkatannya secara mendadak terutamanya di Lembah Klang dalam tempoh masa yang singkat ini cukup merisaukan dan mencetuskan rasa ketakutan dalam kalangan masyarakat.

4.      Kejadian ini sebenarnya menimbulkan dua persoalan utama yang perlu kita rungkai bersama iaitu apa yang menyebabkan penjenayah beralih kepada asid dan bagaimana pula mereka dengan mudah memiliki asid?

5.      Penulis yakin bahawa kedua-dua persoalan ini menjurus ke arah jawapan yang sama dan saling berkait di mana kita percaya mereka beralih kepada penggunaan asid kerana mereka mudah memperolehinya tanpa sebarang masalah dan sekatan dari mana-mana pihak.

6.      Justeru dalam hal ini kita sangat bersetuju dan menyokong cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mahukan satu peraturan baru digubal bagi memastikan asid tidak dijual sewenang-wenangnya bagi mengelak bahan ini disalahgunakan oleh penjenayah.

7.      Ternyata selama ini kita terlepas pandang ketirisan dalam aspek undang-undang berkaitan penjualan, penyimpanan dan penggunaan asid yang menyebabkan para penjenayah mengambil kesempatan dan menjadikannya sebagai senjata mereka.

8.      Situasi ini menyebabkan keselamatan orang ramai sentiasa berada dalam risiko yang tinggi di mana terdedah kepada simbahan asid oleh mana-mana pihak yang memilikinya dengan mudah. Bayangkan setiap hari apabila berada di luar rumah kita dibayangi rasa takut menjadi mangsa simbahan asid yang setersunya?

9.      Maka kita berharap sangat di samping pihak PDRM memberkas penjenayah ini dengan segera, kita juga memohon agar semua pihak yang berkaitan menyahut cadangan dan hasrat Shahrizat itu dengan berganding bahu bekerjasama memperketatkan undang-undang penjualan, penyimpanan dan penggunaan asid di negara kita.

10.  Sementara kita berharap agar cadangan itu dapat direalisasikan, kita memohon kepada para peniaga dan penjual yang mempunyai lesen penjualan asid ini lebih bertanggungjawab dan tidak menjual asid kepada mana-mana individu sewenang-wenangnya agar ianya tidak disalahgunakan kelak. Kita tidak mahu isteri mahupun anak kita menjadi mangsa yang seterusnya.

No comments: