Wednesday, May 25, 2011

KAEDAH BARU KENAIKAN PANGKAT GURU: WAJAR DIPANJANGKAN KEPADA ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM YANG LAIN

1.      Isu tuntutan pelarasan gaji dan kenaikan pangkat anggota perkhidmatan awam tidak pernah reda, sunyi mahupun senyap. Ianya tidak pernah menemui titik noktah kerana saban tahun ada saja tuntutan baharu dari pelbagai pihak demi memartabatkan kebajikan dan hak penjawat awam.

2.      Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) misalnya yang menjadi sandaran dan harapan hampir 1.3 juta penjawat awam menjadi antara kesatuan pekerja yang cukup lantang memperjuangkan hak ahlinya di mana mereka tidak pernah sunyi daripada membuat pelbagai tuntutan secara berterusan kepada pihak kerajaan demi menjaga kebajikan anggota mereka dari pelbagi skim perkhidmatan.

3.      Tuntutan seperti peluang kenaikan pangkat yang lebih banyak dan telus, permohonan pelarasan gaji serta bonus adalah antara senarai utama dalam tuntutan mereka selama ini dan ternyata tuntutan-tuntutan ini ada asasnya apabila kita mengkaji kedudukan dan kemampuan para penjawat awam terutamanya kumpulan sokongan yang masih menikmati skim gaji yang terlalu rendah.

4.      Justeru kita cukup tertarik dengan kaedah kenaikan pangkat untuk guru yang diumumkan oleh kerajaan sempena sambutan Hari Guru kelmarin yang begitu menarik, fleksibel dan memberangsangkan.

5.      Kerajaan kelmarin mengumumkan lima (5) kaedah baharu untuk para guru menikmati peluang kenaikan pangkat iaitu kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan, kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP), kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan, kenaikan pangkat untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat guru cemerlang.

6.      Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru dengan mengkategorikan mereka mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

7.      Mengikut Najib, empat lapisan jawatan itu akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan dan melalui melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke Gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.
8.      Malah semua guru yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan juga berpeluang mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum mereka bersara.

9.      Najib juga mengumumkan, kerajaan bersetuju menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan dan semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 dan ini melibatkan 6,585 jawatan.

10.  Itu adalah antara imbuhan dan durian runtuh yang diraih oleh warga pendidik sempena Hari Guru tahun ini dan boleh diklasifikasikan sebagai antara hadiah hari guru yang paling menarik dan istimewa. Untuk itu kita berharap agar para guru akan bersyukur dan terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan mereka dalam mendidik anak bangsa menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

11.  Meneliti kaedah baharu peluang kenaikan pangkat para guru ini, penulis berpandangan jika kaedah baharu seperti ini boleh dilaksanakan untuk guru maka tiada sebab atau susahnya kaedah yang sama dilaksanakan ataupun dipanjangkan kepada anggota perkhidmatan awam yang lain. Tambahan pula pihak kerajaan sedang dalam usaha untuk memperkenalkan satu kaedah penilaian yang dikenali sebagai penilaian berbentuk 360 darjah kepada penjawat awam untuk pertimbangan kenaikan pangkat mulai 1 Julai ini sebagai menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang telah ditamatkan.

12.  Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini mengumumkan bahawa mulai 1 Julai depan, prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.

13.  Justeru apa salahnya kaedah penilaian 360 darjah ini digabungkan dengan kaedah baru kenaikan pangkat seperti untuk guru ini agar semua penjawat awam dapat merasai tempiasnya secara bersama ataupun menikmati peluang yang sama seperti guru.

14.  Dalam hal ini kita akui guru memang wajar menikmati imbuhan seperti ini atas segala jasa, keringat dan sumbangan mereka kepada pembagunan modal insan negara dan tiada siapa menafikan perkara ini ataupun mempunyai sebab untuk mencemburui faedah yang bakal mereka nikmati itu.
15.  Cuma apa yang diharapkan ialah disediakan peluang dan ruang yang adil, saksama dan setimpal kepada semua penjawat awam di negara kita tanpa mengira skim perkhidmatan. Ini kerana penjawat awam dalam skim perkhidmatan yang lain juga masing-masing memainkan peranan yang aktif dalam membangunkan negara dari pelbagai sudut dan aspek mengikut skop kerja mereka tersendiri. Mereka juga layak digelar sebagai pendeta mahupun mencapai status wibawa.

16.  Hal ini penting kerana, jika cadangan ini dapat dilaksanakan kita yakin tuntutan kenaikan pangkat dan gaji pada setiap tahun oleh penjawat awam dapat dikurangkan dan seterusnya mereka dapat bekerja dengan lebih bersemangat tanpa perlu terlalu memikirkan masa depan kerjaya mereka.

17.  Kita sedar bahawa cadangan ini boleh membebankan kerajaan terutamanya dari segi kewangan tetapi percayalah ianya merupakan satu pelaburan jangka panjang yang sangat berbaloi dan menguntungkan terutamanya kepada pelbagai aspek pembangunan negara melalui peningkatan produktiviti yang hebat oleh penjawat awam kelak.

18.  Oleh yang demikian kita berharap agar pihak kerajaan melalui JPA dapat mempertimbangkan untuk memanjangkan peluang kenaikan pangkat yang sama seperti guru kepada penjawat awam yang lain agar ianya mampu terus menyuntik semangat dan motivasi semua penjawat awam supaya dapat menjayakan agenda pembangunan dan transformasi negara secara berkesan.

No comments: