Wednesday, May 25, 2011

ISU POCO-POCO PERLU DIPERJELASKAN

1.      Nampaknya umat Islam negara kita terus diuji secara bertalu-talu secara berterusan di mana satu demi satu perkara menjadi isu dan perlu dibuat perhitungan antara halal dan haram. Belumpun reda isu makanan halal di hotel yang kecoh seluruh negara, kini kita dikejutkan pula dengan isu pengharaman tarian poco-poco di negeri Perak.

2.      Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak (JFNP) dilaporkan membuat keputusan itu setelah melakukan kajian mendalam mengenai pelbagai aspek tarian itu daripada sudut hukum Islam di mana mengikut Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, keputusan JFNP itu bukan dibuat sesuka hati tetapi untuk menjaga akidah umat Islam di negeri tersebut selepas mendapati ianya mengandungi unsur agama lain selain berlaku percampuran jelas antara lelaki dan wanita bukan muhrim.

3.      Seperti biasa keputusan seperti ini terus mengundang pelbagai kontroversi di mana sehingga sekarang hanya negeri Perak sahaja yang menguatkuasakan pengharaman ini sebaliknya negeri-negeri lain belum mahu membuat sebarang keputusan yang muktamad dan lebih suka untuk mengambil jalan tunggu dan lihat serta dilaporkan akan membuat kajian yang mendalam selepas ini.

4.      Pada masa yang sama Majlis Fatwa Kebangsaan juga dilaporkan tidak mahu terburu-buru dan mengikut Pengerusinya, Prof. Tan Sri Dr. Abdul Shukor Hussin buat masa ini belum ada cadangan untuk mengharamkan tarian tersebut di peringkat nasional sebaliknya akan mengadakan kajian menyeluruh terlebih dahulu walaupun pengharaman telah dilaksanakan di negeri Perak.

5.      Situasi yang tidak menentu sebegini dilihat mula mencetuskan pelbagai tanda tanya dalam kalanagn umat Islam seluruh negara. Hal ini kerana tarian poco-poco yang berasala dari Filipina ini dilihat telahpun mencetuskan satu fenomena baru di negara kita.

6.      Sebut sahaja apa bentuk program kesihatan mahupun kecergasan baik di peringkat nasional mahupun di peringkat kampung tarian poco-poco dilihat sudah menjadi acara wajib sebagai platform senaman dan dengan mudahnya menarik minat para peserta program terbabit.

7.      Justeru pengharaman tarian ini sekali lagi menyebabkan umat Islam dilanda perasaan was-was dan tidak pasti sama seperti dalam kes makanan halal di hotel tempoh hari.

8.      Maka kita berharap sangat agar pihak yang bertanggungjawab seperti Majlis Fatwa Kebangsaan, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) segera membuat satu keputusan yang muktamad serta seragam dan seterusnya dihebahkan untuk pengetahuan seluruh umat Islam di negara ini agar isu tarian poco-poco ini dapat diperjelaskan dengan sewajarnya.

9.      Andai ianya jelas haram maka perkara ini perlu dimuktamadkan dan dilaksanakan secara tegas di seluruh negara dan sebaliknya jika ianay didapati tiada masalah dari segi hukum Islam maka ianya juga perlu diperjelaskan dan diseragamkan di semua negeri.

10.  Janganlah biarkan umat Islam terus tertanya-tanya dan was-was serta diselubungi misteri apatah lagi tarian ini semakin popular dan mendapat tempat dalam masyarakt kita atas nama program yang baik untuk senaman dan kesihatan.

No comments: