Tuesday, September 29, 2009

UBAH STRATEGI OPS SIKAP
(TELAH DISIARKAN DI UTUSAN MALAYSIA 29/9/2009)
1.Ops Sikap datang dan pergi bersama-sama dengan sejumlah nyawa yang terkorban dengan statistik nahas kemalangan yang terus meningkat dan menyayat hati semua pihak. Agensi kerajaan seperti PDRM, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya, MIROS dan sebagainya telahpun memainkan peranan mereka ditahap yang paling optimum yang mampu mereka lakukan untuk mengatasi ataupun mengurangkan kecelakaan ini.

2.Sekurang-kurangnya marilah terlebih dahulu kita panjangkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada kesemua agensi berkenaan yang berusaha keras demi menyelamatkan nyawa orang lain. Teruskanlah usaha murni anda dan semoga tidak putus asa dan kecewa dengan tingkahlaku dan sikap para pemandu yang semakin melampau.

3.Walaupun pelbagai program kesedaran baik secara bersemuka mahupun melalui media cetak dan elektronik telah dilaksanakan dan ianya dilipatgandakan pada musim perayaan namun masih belum menampakkan tanda-tanda penyelesaian kepada masalah ini yang sekaligus boleh mengurangkan bilangan nyawa yang melayang ataupun mengurangkan statistik kemalangan jalan raya yang berlaku di Negara kita.

4. Jika kita mengkaji secara mendalam, jumlah kemalangan jalan raya yang berlaku di seluruh Negara sebenarnya adalah jauh lebih banyak berbanding apa yang dilaporkan ataupun direkodkan secara rasmi. Ianya berlaku setiap detik dan waktu diseluruh Negara tanpa mengira sesuatu musim perayaan ataupun tanpa menunggu sesuatu Ops Sikap dilancarkan terlebih dahulu.

5.Semua pihak secara terus terang dan hampir sebulat suara membuat kesimpulan bahawa sikap pemandulah antara punca utama kemalangan yang berlaku. Memang benar sikaplah menjadi dalang utama di sebalik semua kejadian yang tidak diingini ini berlaku, namun sebagai manusia yang waras kita perlu juga mengkaji dan menyiasat kesemua kemalangan yang berlaku ini dari segenap aspek dan sudut supaya mendapat gambaran yang lebih menyeluruh. Kita perlu kaji kenapa sikap pemandu menjadi sebegini rupa dan apakah ianya tidak boleh diubah?

6.Lazimnya tiada siapa yang suka untuk mengharungi kesesakan jalan raya, tiada siapa yang suka pulang lewat ke rumah ataupun ke kampung halaman malah semua daripada kita mempunyai keinginan dan naluri yang sama iaitu sampai ke destinasi yang dituju dengan seberapa segera yang mungkin dalam keadaan yang selamat.

7.Malah tiada seorangpun yang ingin terlibat dalam kemalangan mahupun menggadai nyawa di atas jalan raya kerana sekurang-kurangnya semua orang pasti sayang nyawa masing-masing walaupun tidak mempedulikan nyawa orang lain. Malah tiada siapa juga di antara kita yang berhajat untuk pulang menaiki ambulans mahupun kereta jenazah.

8.Saban tahun program Ops Sikap dilancar mengikut keperluan semasa, program dan kempen kesedaran juga semakin rancak dilaksanakan, kajian demi kajian juga dilipatgandakan untuk mengatasi masalah ini namun apa hasilnya dan di mana silapnya? Apa yang pasti jutaan wang ringgit terpaksa dibelanjakan ataupun dibazirkan untuk tujuan tersebut kerana hampir semuannya seolah-olah berakhir dengan kegagalan.

9.Telah terbukti sehingga ke saat ini strategi mengadakan pelbagai kempen dan hukuman berat ternyata tidak dapat mengubah sikap pemandu kita. Sekarang mungkin bukan lagi zaman mendidik seseorang individu itu dengan cara hukuman ataupun denda. Ini kerana buktinya makin kita menghukum semakin bertambah jumlah kemalangan yang berlaku.

10.Maka kita perlu menukar strategi dengan mengolah pelan jangka panjang dan jangka pendek dengan menggunakan kaedah yang lebih sistematik dan berhemah agar gejala ini dapat dicantas dari peringkat akar umbi lagi. Pada masa yang sama kita juga perlu memikirkan dan melaksanakan tindakan-tindakan yang lebih drastik, berani dan “kejam” dalam usaha untuk menangani masalah ataupun fenomena besar ini.

11.Antara pelan jangka panjang yang boleh dipertimbangkan ialah peranan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan sekolah di mana pihak KPM boleh membantu dengan memperkenalkan matapelajaran “Etika Pemanduan” dan “Undang-Undang Jalanraya” di peringkat sekolah menengah ataupun seawal sekolah rendah lagi jika difikirkan sesuai.

12.Matapelajaran ini perlu diajar dalam bentuk teori dan juga amali supaya anak-anak muda ini diberi pendedahan yang secukupnya terutamanya dari aspek praktikal dalam dunia yang sebenar tentang etika pemanduan dan sikap yang betul semasa berada di atas jalan raya serta bahaya yang wujud semasa memandu jika berlaku kecuaian.

13.Pengaruh para guru terhadap anak murid juga dilihat cukup signifikan justeru ianya boleh banyak membantu dalam hal ini untuk memupuk nilai-nilai murni dan etika pemanduan yang betul kepada anak-anak kita sejak di bangku sekolah lagi supaya mereka sedar akan bahaya yang menanti mereka kelak jika tersalah langkah di atas jalan raya.

14.Justeru KPM perlu mempertimbangkan dengan sewajarnya tentang cadangan ini malah setelah mengambilkira situasai semasa pandemik kecelakaan jalan raya yang semakin parah, mungkin tidak keterlaluan untuk dicadangakan agar subjek-subjek sebegini dijadikan subjek wajib lulus untuk memperolehi sijil PMR mahupun SPM.

15.Pada masa yang sama ibu bapa juga tidak boleh lari dari tanggungjawab hakiki mereka iaitu mendidik dan membentuk anak-anak mereka. Jangan kita lupa bahawa anak yang baru lahir umpama kain putih yang bersih di mana kedua ibu bapalah yang mencorakkan masa depan dan halatuju anak kecil tersebut. Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

16.Ibu bapa perlu lebih tegas dan jangan terlalu manjakan anak-anak remaja mereka sehingga boleh mendatangkan kecelakaan pada diri sendiri dan orang lain. Perkara sebegini yang boleh membahayakan nyawa anak-anak mereka perlu diberi penekanan yang lebih serius dan ditangani dengan penuh berhemah.

17.Lumrahnya manusia perlu dididik seawal zaman kanak-kanak lagi supaya minda dan tingkahlaku mereka dapat dibentuk seperti yang kita hajatkan. Perubahan sikap pula tidak boleh berlaku dalam sekelip mata. Justeru sekolah dan rumah adalah tempat yang paling sesuai untuk tujuan tersebut. Pendidikan awal di sekolah dan rumah tentang aspek keselamatan ini pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam sanubari setiap remaja kita.

18.Selain daripada itu sebagai pelan jangka pendek yang boleh dilaksanakan dengan serta merta, pihak kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan lagi had umur bagi mendapatkan lesen memandu baik motosikal mahupun kereta misalnya kepada 21 tahun untuk motosikal dan 25 tahun untuk kereta. Memang perlu diakui ini merupakan satu cadangan yang agak “kejam” dan mungkin juga “zalim” bagi sesetengah pihak namun apa lagi pilihan yang kita ada dalam erti kata untuk mengawal kecelakaan ini dari peringkat akar umbi lagi.

19.Statistik menunjukkan golongan penunggang motosikal dan belia merupakan mangsa utama kemalangan jalan raya di Negara kita justeru merekalah yang perlu dikawal dan dibentuk supaya tidak membahayakan diri sendiri serta tidak membawa kecelakaan kepada orang lain atas kecuaian dan sikap pemanduan mereka. Umur 21 tahun ke atas dilihat lebih rasional dalam membentuk seorang pemandu yang lebih matang dan berdisiplin di atas jalan raya.

20.Tambahan pula, tindakan penguatkuasaan dan hukuman seperti mewajibkan pemakaian talipinggang keledar belakang serta menaikkan jumlah denda dan kompaun dilihat masih tidak mampu menyekat golongan ini dari terus menjadi mangsa di atas jalan raya. Sehinggakan Ketua Polis Negara merumuskan bahawa hukuman mati sekalipun tidak akan mengubah tabiat buruk pengguna jalan raya yang degil dan rakus.

21.Di samping itu, faktor lain seperti keadaan jalan raya di Negara kita juga perlu diberi perhatian secukupnya dan perlu dibaiki dan dinaiktaraf dengan sewajarnya mengikut keperluan semasa. Walaupun secara keseluruhunnya keadaan jalan raya di Negara kita boleh dibanggakan malah ada yang menyamakan dengan beberapa buah Negara maju namun masih terdapat beberapa buah jalan baik jalan persekutuan, jalan kampung mahupun lebuhraya yang dilihat mampu membahayakan pengguna.

22.Satu contoh yang boleh dikongsi bersama ialah, masih terdapat papan tanda amaran “Awas! Pandu perlahan jalan tidak rata” yang dipasang di beberapa buah lokasi tertentu. Peliknya pihak yang bertanggungjawab hanya bertindak memaklumkan masalah yang ada kepada pengguna jalan raya melalui papan tanda tersebut dan meminta mereka berhati-hati, tetapi kenapa pihak yang berkenaan yang telah mengetahui masalah tersebut serta musibah yang mungkin boleh berlaku masih tidak bertindak memperbaiki sahaja keadaan jalan berkenaan. Kita tidak perlu menunggu sehingga berlaku suatu kematian di kawasan tersebut untuk kita bertindak dan memperbaiki jalan yang jelas membahayakan pengguna jalan raya.

23.Ini mungkin satu kes yang terpencil dan kita juga tidak tergamak rasanya untuk terus menuding jari kepada pihak yang ketiga ataupun pihak berkuasa tempatan atas kesilapan kecil sebegini namun jika masing-masing tahu memainkan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan maka sekurang-kurangnya kemalangan yang berlaku dapat dikurangkan ataupun dielakkan.

24.Kemalangan jalan raya sudahpun menjadi satu masalah yang besar kepada kita, malah tidak hairan suatu hari nanti diisytihar darurat jalan raya ataupun penggunaan kenderaan terpaksa dicatu demi mengurangkan bilangan nyawa dari terus menjadi korban jalan raya. Keadaan itu tidak mustahil untuk menjadi realiti kerana trend semasa menunjukkan bilangan rakyat Malaysia yang membeli kenderaan semakin bertambah dan ini secara tidak langsung akan meningkatkan lagi peluang berlakunya lebih banyak lagi kemalangan jalan raya pada masa-masa akan datang.

25.Justeru semua pihak yang berkenaan terumatanya KPM, sekolah serta ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing bagi membendung masalah ini dari terus berleluasa. Hanya pendidikan awal di sekolah dan rumah sahaja yang dilihat mampu menyelamatkan nyawa anak-anak kita. Cukuplah sudah segala kepiluan dan ratapan yang menyelebungi keluarga yang kehilangan anak, kakak, abang, ibu bapa dan saudara mara akibat daripada kemalangan jalan raya. Pelan jangka panjang perlu dibentuk, dirancang dan dilaksanakan dengan segera sebagai tindakan untuk membanteras musibah ini dari peringkat akar umbi lagi. Sasaran kemalangan sifar masih boleh dicapai jika kita sedia bertindak dengan lebih bijak dan berhemah serta berani dan “kejam”.

2 comments:

MK Amin said...

Rajin hang blog skrg ni... Bagus!! Artikel ni pun aku ada baca dlm Utusan..

NOOR MOHAMAD said...

sekadar mengisi waktu terluang...yeake? ok tq....