Friday, October 30, 2009

LAKSANAKAN SEGERA SEKOLAH SATU ALIRAN
(TELAH DISIARKAN DALAM UTUSAN MALAYSIA RUANGAN FORUM BERTARIKH 30/10/2009)
1.Pelaksanaan sekolah satu aliran kembali menjadi perbualan hangat. Pelbagai pihak baik dari kalangan ahli akademik, tokoh sejarah mahupun orang politik mula memandang memandang serius cadangan ini malah ramai juga secara terrus terang mengutarakan sokongan mereka untuk melaksanakan cadangan tersebut dengan segera. Ternyata isu ini turut mendapat perhatian malah persetujuan Ahli Parlimen baik pihak kerajaan dan juga pembangkang.

2.Semuanya bermula apabila isu perpaduan mula mewarnai dada-dada akhbar dan televisyen yang sekaligus mula merisaukan semua pihak. Jambatan perpaduan yang kita banggakan selama ini seolah-olah mula mengalami keretakan akibat daripada goncangan dan ‘tsunami’ yang melanda terutamanya selepas beberapa insiden yang tercetus rentetan daripada keputusan Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) tahun lepas.

3.Mempersoalkan apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan, mengadakan demonstrasi haram, mencabar pihak berkuasa dengan sengaja, menyebar pelbagai fitnah dan khabar angin yang boleh merobek perpaduan kaum serta meniup api kemarahan terhadap pihak kerajaan telah menjadi intipati dan agenda tetap perjuangan sesetengah golongan rakyat di negara ini.

4.Negara ini dianggap unik selama ini kerana kejituan dalam perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum. Ianya jarang sekali berlaku di Negara luar. Nenek moyang kita telah bekerja keras dan melakukan pelbagi pengorbanan untuk mencapai keharmonian kaum yang kita nikmati sekarang. Namun apa yang dikhuatiri adalah semangat perpaduan ini semakin lama semakin merudum menyembah bumi.

5.Untuk itu kerajaan perlu bertindak segera dan kembali kepada fitrah pembentukan semangat perpaduan seperti yang dilakukan oleh generasi terdahulu yang ternyata telah membauhkan hasil selama ini.

6.Anak-anak kita yang bakal mewarisi negara ini perlu dididik dan dibentuk dari sekarang supaya mereka benara-benar dapat menghayati konsep dan erti sebenar perpaduan di antara pelbagai kaum yang telah terbina sekian lama.

7.Apakah kita lupa bahawa anak-anak yang dilahirkan umpama sehelai kain putih, justeru kita percaya ibu bapa dan para guru yang rapat dengan mereka saban hari dapat membantu memupuk nilai dan semangat perpaduan yang kita kehendaki.

8.Hanya sekolah dilihat sebagai tempat yang terbaik untuk membentuk anak-anak kita. Namun malangnya apa yang berlaku sekarang ialah anak-anak kita jelas terpisah dengan sekolah aliran masing-masing. Melayu di sekolah kebangsaan manakala Cina dan India masing-masing di sekolah jenis kebangsaan.

9.Kita percaya sekolah satu aliran ini tidak akan menafiklan hak kaum masing-masing yang mahu bahasa ibunda mereka dipelajari oleh anak-anak mereka. Ia juga pastinya tidak sama sekali menghilangkan identiti kaum tersebut. Bahasa ibunda masing-masing boleh terus diajar di sekolah satu aliran sebagai satu matapelajaran wajib mengikut kaum masing-masing.

10.Pokok pangkalnya adalah bak kata peribahasa ‘hendak seribu daya, tak hendak seriibu dalih’. Memang ada golongan yang menentang keras cadangan mewujudkan sekolah satu aliran. Mereka mengutarakan pelbagai alasan mengikut perspektif dan logik akal masing-masing yang jelas mempunyai agenda tersendiri dan dipengaruhi oleh emosi dan rasa tidak puas hati.

11.Dalam hal ini kerajaan sewajarnya bertindak dengan lebih bijak dan berhemah dengan mengambilkira pandangan dan pendapat majoriti penduduk negara ini yang rata-rata menyokong cadangan penubuhan sekolah satu aliran. Pedulikan golongan yang sering menjadi pengacau kepada pelbagai program yang hendak dilaksanakan.

12.Pihak kerajaan perlu melihat secara lebih menyeluruh kepada manfaat yang bakal diperolehi hasil daripada pelaksanaan cadangan ini yang boleh membantu ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang dicita-citakan. Usah endahkan golongan yang sememangnya sinonim dengan budaya ‘tidak setuju’. Mereka tidak pernah menyokong apa saja program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan sudah lali dengan budaya menentang dan membangkang.

13.Percayalah bahawa jika kita mahu mencapai Wawasan 2020, Misi Nasional dan terkini gagasan 1Malaysia, maka kewujudan sekolah satu aliran adalah jawapan dan jalan penyelesaiannya. Hanya dengan sekolah satu aliran sahaja kita lihat anak-anak kita yang bakal mewarisi kepimpinan masa depan akan meneruskan hasrat dan cita-cita yang telah kita bangunkan. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, anak-anak kita masih belum terlambat untuk dilentur atau dibentuk. Jangan sampai kita menyesal dikemudian hari.

2 comments:

ABU FAIQ said...

Salam dari saya, tuan,

"Anak-anak dilahirkan persis kain putih. Ibu bapa yang mencoraknya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi" - mafhum sabda Nabi SAW. Disebut tiga puak itu kerana ia membawa maksud khusus iaitu: agar sesudah sempurna Islam diturunkan-Nya - yang di dalamnya mencakup aspek tarbiah/pendidikan -sehingga diperintahkan-Nya supaya agama-agama wahyu yang sebelumnya (Yahudi, Nasrani) dimansuhkan, jangan ada lagi generasi di kemudian hari diwariskan dengan segala sifat jelik dan keji yang menjadi ciri ketiga-tiga golongan itu. Itulah matlamat pembinaan insan mengikut acuan Islam - acuan yang menepati firtah manusia, sama ada Muslim atau non-Muslim. Tidak kiralah sekalipun kita melihatnya terlalu ideal, tetapi yakinlah bahawa Allah pasti tidak akan memerintahkan manusia melakukan sesuatu yang Dia Mahatahu manusia tidak berupaya melaksanakannya. Jadi, ketika merangka-rangka ke arah sekolah satu aliran, yang paling utama diberi perkiraan mendalam ialah; apakah yang dijadikan teras pendidikan negara; tsaqafah Islan atau apa yang ada sekarang? Sekolah satu aliran hanya wadah; seperti yang sudah bergenerasi dijalankan di banyak negara spt. AS,UK, Australia dan banyak lagi - sistem yang diciptareka oleh pemikiran Yahudi dan Nasrani yang matlamatnya tdak lain hanya manfaat material. Akibatnya, di negara dengan sistem pendidikan satu aliran ini, peratus jenayah dan ketidaksejahteraan hidup paling tinggi dicatatkan. Jika isi kandungan pendidikan kita masih berfalsafahkan pendidikan yang kita ciplak dari mereka, (seperti yang ada sekarang), kita pun akan jadi seperti mereka, sekalipun dengan sekolah satu aliran.

NOOR MOHAMAD said...

Salam Tuan Abu faiq,

Terima kasih diatas komen dan pandangan tersebut. Impian kita adalah untuk melahirkan insan / warga Malaysia yang kamil dan seberapa sempurna yang boleh dalam konteks rakyat pelbagai kaum supaya boleh hidup aman dan damai serta saling hormat menghormati. Memang perlu diakui kepincangan sistem pendidikan kita namun usaha berterusan perlu dilakukan untuk mencapai ciri dan ktiteria yang tuan gariskan dalam komen tersebut. Sekurang-kurangnya kita perlu terus berusaha tanpa putus asa.

Wasalam.