Monday, December 14, 2009

BUKTI RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN
(TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR BERITA HARIAN RUANGAN SURAT PEMBACA PADA 15 DISEMBER 2009)

1.Pengumuman hasil pelaksanaan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kelmarin cukup signifikan dan menjadi bukti kukuh kepada slogan keramat ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri kita.


2.Tambahan pula Perdana Menteri sendiri telah menyatakan rasa puas hatinya ke atas semua hasil pencapaiaan semasa yang telah dibentangkan oleh Menteri yang telah dipertanggungjawabkan mengikut bidang keutamaan masing-masing.


3.Sesungguhnya merancang atau mengutarakan sesuatu idea mahupun program baharu adalah cukup mudah berbanding tahap pelaksanaan dan pemantauannya. Kebanyakkan organisasi mahupun kerajaan selalunya memang gah dengan pelbagai idea baharu tetapi mutu pelaksanaan dan pemantauan sering mengecewakan semua pihak.


4.Namun dalam hal ini ternyata pihak kerajaan dapat membuktikan kesungguhan mereka di mana ketiga-tiga aspek itu iaitu perancangan, pelaksanaan dan pemantauan dapat bergerak secara bersama dan telahpun menunjukkan hasil awal yang mula meyakinkan rakyat.


5.Untuk itu kita wajar merakamkan sekalung tahniah kepada Perdana Menteri dan juga para Menteri kabinetnya yang dapat menjalankan tugas dengan dedikasi dan cemerlang. Ternyata dalam tempoh enam bulan sahaja semua pegawai yang terlibat dapat menggembeling tenaga dan masa bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.


6.Keterbukaan pihak kerajaan juga terbukti apabila rakyat diajak bersama menilai sendiri hasil pencapaian tersebut dan juga disediakan ruang untuk memberi maklum balas, ulasan dan pandangan kepada kerajaan.


7.Rakyat seharusnya menyahut saranan ini sekaligus mengambil peluang dan kesempatan untuk sama-sama membantu pihak kerajaan menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.


8.Ini kerana, seperti kata Perdana Menteri, masih terdapat ruang dan peluang untuk dibuat penambahbaikan kepada usaha-usaha yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan.


9.Pihak kerajaan telah membuktikan keikhlasan mereka dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Kerajaan juga telah membuktikan bahawa apa yang telah dicanang selama ini bukan omong-omong kosong mahupun ‘hangat-hangat tahi ayam’. Buktinya telahpun dibentangkan secara fakta dan nyata untuk makluman semua pihak.


10.Rakyat sendiri dapat menilai secara telus segala pencapaian kerajaan selama ini. Maka sekarang tibalah masanya untuk rakyat sendiri menunaikan tanggungjawab dan peranan masing-masing.


11.Adalah menjadi tanggungjawab setiap seorang dari kita untuk memberi maklum balas sama ada dalam bentuk ulasan, cadangan, pendapat mahupun komen ke atas prestasi yang telah dibentangkan oleh pihak kerajaan tersebut.


12.Kita wajar merebut peluang keemasan ini untuk mengutarakan pandangan kita demi kesejahteraan, keamanan dan keharmonian negara Malaysia yang kita cintai ini. Tiada gunanya kita mengkritik mahupun memprotes di platform yang salah dan tidak betul kononnya atas alasan ingin menegur salah laku pihak kerajaan. Sekarang, kerajaan sendiri telah membuka ruang dan menyediakan platform yang baik untuk kita maka gunakanlah ianya sebaik yang mungkin untuk kebahagiaan kita bersama.

 

13.Ini kerana enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang telah diwujudkan adalah cukup lengkap, total dan komprehensif. Ianya merangkumi semua aspek dari kesejahteraan rakyat, perpaduan kaum hinggalah kepada aspek tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

 

14.Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama berganding bahu dengan pihak kerajaan agar dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa, selamat dan harmoni.






No comments: