Tuesday, December 22, 2009

BUKTIKAN KETELUSAN PIHAK KERAJAAN

1. Insiden kehilangan dua enjin peswat tempur, F-5E, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang masing-masing berharga RM50 juta adalah cukup serius dan menarik perhatian orang ramai.



2. Di kala pihak kerajaan begitu komited untuk memerangi rasuah, salah laku dan juga penyelewengan yang berlaku kita dikejutkaan dengan pendedahan sebegini yang jelas sedikit sebanyak merobek dan menjejaskan imej kerajaan.



3. Ia juga seolah-olah kembali membuka ruang dan peluang yang seluasnya kepada pihak pembangkang yang sentiasa mencari kesalahan dan kesilapan pihak kerajaan. Mereka pastinya akan memggunakan kejadian ini untuk menghentam pihak kerajaan seterusnya cuba meraih simpati politik dari orang ramai.



4. Tambahan pula ianya telah menjadi modal yang cukup penting kepada pihak pembangkang untuk memburuk-burukkan nama dan imej YAB Perdana Menteri sendiri secara peribadi kerana insiden ini berlaku semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan.



5. Keterbukaan pihak kerajaan dalam membentangkan hasil pencapaian NKRA dan KPI serta memohon maklum balas rakyat untuk memantapkan lagi sistem perkhidmatan kerajaan juga sedikit sebanyak terjejas dengan pendedahan insiden ini.



6. RM100 juta bukanlah satu angka yang kecil. Rakyat sudah pastinya mahukan penjelasan yang terperinci dan telus. Kehilangan wang rakyat tidak boleh diambil mudah atau dibiarkan begitu sahaja.



7. Apatah lagi ianya berlaku angkara salah laku pegawai yang telah dipertanggungjawabkan ataupun orang dalam yang dikhabarkan bekerjasama dengan pegawai dari syarikat penyelenggara dengan membuat perancangan yang rapi dan teliti.



8. Kejadian ini juga menimbulkan beberapa persoalan yang perlu dirungkai dengan segera dan berhati-hati. Antaranya kenapa begitu lewat kita menyedari akan kehilangan tersebut? Ini kerana kita hanya sedar akan kehilangan tersebut pada bulan Mei 2008 tetapi kedua-dua enjin tersebut telah dihantar masing-masing pada bulan Jun dan November 2007.



9. Aspek pemantauan juga menjadi satu lagi persoalan yang perlu dijawab oleh pihak yang berkenaan. Siapakah yang telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan penghantaran tersebut dan seterusnya memantau dan juga membuat pengesahan agar ianya selamat sampai ke destinasi.



10. Ini adalah di antara beberapa persoalan yang perlu dirungkai dengan segera supaya imej kerajaan dapat dipertahankan. Pihak yang terlibat perlu segera diambil tindakan yang sewajarnya dan dihadapkan ke muka pengadilan.



11. Walau apapun kita berasa lega sedikit dengan tindakan pantas TUDM yang membuat laporan polis dan juga adanya jaminan dari Perdana Menteri sendiri bahawa kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak atau cuba menutup sebarang bentuk penyelewengan yang telah berlaku dalam kes ini.



12. Maka besarlah harapan rakyat agar pihak kerajaan dapat membuktikan keseriusan dan keikhlasan mereka dalam membanteras rasuah dan salah laku di kalangan penjawat awam. Kejadian ini mungkin ada hikmahnya tersendiri dan anggaplah ini sebagai satu peluang untuk pihak kerajaan buktikan ketelusan mereka. Ingat, rakyat sedang menantikan dan memerhatikan segala tindak tanduk pihak kerajaan dalam menangani kes ini.

No comments: