Sunday, December 20, 2009

SYABAS KONTIJEN MALAYSIA
(TELAH DISIAR DALAM UTUSAN MALAYSIA RUANGAN FORUM BERTARIKH 23 DISEMBER 2009)

1. Sekalung tahniah kepada semua atlet dan pegawai kontijen Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara di Sukan SEA edisi ke-25 baru sahaja melabuhkan tirainya.


2. Pencapaian 40 pingat emas melepasi sasaran 30-35 pingat emas tetap boleh dikategorikan sebagai hebat dan cemerlang walaupun ini bukanlah pencapaian terbaik kita di luar Kuala Lumpur.


3. Tambahan pula kejayaan ini hadir tatkala kita menghantar jumlah kontijen yang paling kecil dalam sejarah di samping bilangan acara yang disertai juga amat sedikit berbanding temasya-temasya yang lepas.


4. Temasya kali ini juga berjaya mengukir beberapa sejarah yang sukar kita lupakan. Antaranya kejayaan pasukan bola sepak dan pasukan badminton wanita yang masing-masing berjaya menamatkan kemarau 20 tahun dan 34 tahun.


5. Kedua-dua pencapaian luar biasa ini ternyata meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati dan sanubari setiap peminat sukan tanahair. Ini kerana kita menang selepas menewaskan lawan yang cukup hebat dan menjadi pilihan utama untuk merangkul emas bagi kedua-dua acara tersebut.


6. Ramai daripada kita mengalirkan air mata melihat lagu Negaraku berkumandang selepas pasukan bola sepak dikalung pingat emas walaupun ianya berlaku di hadapan kaca televisyen kita.


7. Penulis sendiri terkenang akan nostalgia final bola sepak pada tahun 1989 apabila pasukan kita berjaya menewaskan Singapura untuk merangkul pingat emas di Stadium Merdeka. Seolah-olah semangat tahun 1989 kembali ditayang semula di depan mata kita.


8. Kejayaan pasukan bola sepak dan badminton ini sekurang-kurangnya menjadi penawar kepada prestasi sukan negara yang dewasa ini tidak begitu menentu. Prestasi turun naik dan tidak konsisten atlet negara dalam kebanyakkan kejohanan sukan yang disertai sering mengecewakan peminat sukan tanahair selama ini.


9. Semoga kejayaan ini bukan bersifat bermusim seperti yang diingatkan oleh YAB Perdana Menteri kita dan diharap ianya menjadi titik tolak kepada kejayaan yang lebih besar di peringkat antarabangsa.


10. Kejayaan ini juga membuktikan bahawa jika kita miliki semangat perjuangan yang tinggi tanpa mengenal erti putus asa bersama-sama dengan kerjasama pasukan yang erat dan kesungguhan untuk menaikkan nama dan imej negara maka hasil yang bakal dituai pastinya menakjubkan.


11. Namun diharapkan agar kejayaan ini tidak melalaikan para atlet kita. Jangan mudah berpuas hati dan leka dengan apa yang telah kita peroleh. Perjuangan kita masih jauh dan belum selesai.


12. Selepas ini kita perlu buktikan bahawa apa yang dicapai di Laos bukan kerana nasib semata-mata. Buktikan kemampuan kita di peringkat yang lebih tinggi seperti di Sukan Asia, Sukan Komanwel dan yang pastinya jangan kita lupa impian untuk membawa pulang emas pertama Sukan Olimpik pada tahun 2012 kelak.


13. Justeru para atlet, jurulatih dan juga persatuan sukan perlu segera bermuhasabah diri, merenung kembali pencapaian masing-masing di Sukan SEA ini supaya ianya menjadi landasan terbaik untuk memperbaiki kelemahan yang ada, memantapkan prestasi semasa dan terus mara ke hadapan di persada antarabangsa.


14. Syabas dan tahniah kepada semua atlet dan pegawai yang berjaya mengharumkan nama Negara di Sukan SEA kali ini.

No comments: