Wednesday, December 16, 2009

HARAPAN RAKYAT MENJELANG TAHUN BARU
(TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR UTUSAN MALAYSIA BERTARIKH 17 DISEMBER 2009)

1. Selang beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan meraikan Awal Muharam menandakan bermulanya tahun baru dalam kalendar Islam dan ianya akan disusuli pula dengan sambutan tahun baru 2010 masihi yang sekaligus akan melabuhkan tirai 2009.


2. Seribu satu kenangan menjadi saksi sepanjang tahun 2009 yang diselang seli dengan pelbagai peristiwa suka dan duka yang kita harungi bersama sebagai warga bumi bertuah bernama Malaysia.



3. Isu politik, sosial dan ekonomi terus mewarnai kenangan tahun 2009 yang telahpun membuka pelbagai lembaran baru yang seterusnya merintis jalan kepada harapan yang tinggi bagi tahun 2010 kelak.



4. Perubahan tampuk pemerintahan dari Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah titik permulaan era baru lanskap politik negara ini. Memulakan zaman pemerintahannya dengan memperkenalkan konsep ‘1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, Dato’ Seri Najib terus melangkah ke hadapan dengan penuh bersemangat dan yakin. Rakyat pula diajak bersama untuk berganding bahu menjayakan pelbagai agenda pembangunan negara yang telah beliau ilhamkan.



5. Perubahan demi perubahan yang telah diperkenalkan dan dilaksanakan oleh beliau telah mula menampakkan hasilnya dan rakyat sudah mula kembali menaruh harapan yang besar kepada kepimpinan beliau dan kerajaan yang sedia ada.



6. Namun segala usaha tersebut nampaknya bukan mudah untuk dilaksanakan. Pelbagai rintangan terutamanya isu-isu perpaduan, sentimen perkauman dan pelbagai tuntutan politik yang tidak munasabah dari pihak yang tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda politik tersendiri sedikit sebanyak merencatkan agenda keharmonian politik negara kita.



7. Isu-isu yang dibangkitkan jelas mempunyai pengaruh dan pengikutnya tersendiri. Pengikut yang begitu taksub dan dipengaruhi emosi mula menimbulkan pelbagai masalah dan tindakan yang mencabar pihak keselamatan serta undang-undang yang sedia ada.



8. Akibatnya rakyat mula kebingungan manakala kontrak sosial yang dibanggakan selama ini juga dilihat mengalami sedikit keretakan. Perasaan prejudis dan curiga sudah mula mengambil tempat di dalam masyarakat kita.



9. Ini ditambah pula dengan pelbagai masalah sosial yang terus menghantui rakyat negara ini. Jenayah ragut, bunuh dan rogol misalnya semakin menjadi-jadi dan mula meragut nyawa mangsa yang tidak berdosa. Isu pembangunan dan kemiskinan masyarakat luar bandar juga terus diperkatakan walaupun kerajaan sedang dan telah melaksanakan bermacam-macam program untuk membantu mereka.



10. Pada masa yang sama, ekonomi global yang tidak menentu juga terus mencengkam pertumbuhan dan kerancakan ekonomi negara kita. Masalah kenaikan harga barang, harga minyak dan ditambah pula dengan kesukaran untuk mendapatkan peluang pekerjaan terus menghimpit majoriti penduduk negara ini.



11. Maka sinar tahun baru dinantikan dengan penuh harapan dan debaran oleh setiap rakyat negara ini agar ianya akan membawa khabar gembira untuk kita semua.



12. Ini kerana dalam hal politik misalnya, rakyat semakin bosan dengan semua polemik dan retorik politik yang semakin tidak menentu dan bercelaru. Politik yang mementingkan agenda peribadi jelas menaikkan rasa benci rakyat kepada golongan sebegini. Rakyat mengharapkan agar orang politik menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dengan meletak kepentingan rakyat dan pengundi sebagai keutamaan dan bukannya agenda politik masing-masing.



13. Percayalah bahawa sesungguhnya rakyat sangat mendambakan sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan mengutamakan rakyat tanpa propaganda politik yang boleh menghancurkan perpaduan kaum serta keamanan dan keselamatan negara ini. Untuk mencapai tahap itu, institusi politik negara ini memerlukan suatu anjakan paradigma yang besar-besaran dan menyeluruh dengan segera.



14. Kita juga menaruh harapan yang tinggi kepada pihak keselamatan terutamanya PDRM agar terus memainkan peranan yang efektif dalam membendung semua jenis jenayah yang menggangu gugat kententeraman awam. Ini penting kerana senario semasa menunjukkan seolah-olah rakyat kita semakin takut untuk keluar rumah ataupun berada di jalanan kerana jenayah ragut dan kemalangan jalan raya yang semakin menghantui mereka.



15. Dan yang pastinya rakyat juga mengharapkan agar pihak kerajaan dapat melaksanakan semua program dan projek yang telah dibentangkan dalam Bajet 2010 untuk merangsang kembali dan terus memacu pertumbuhan ekonomi negara kita.



16. Ianya diharap dapat mengurangkan kadar pengangguran seminima yang mungkin di samping membuka lebih banyak peluang-peluang perniagaan untuk diterokai. Kenaikan harga barangan juga perlu dikawal sepenuhnya agar nilai matawang dapat dipertingkatkan sebaik yang mungkin.



17. Menjelang tahun baru ini, marilah kita seluruh rakyat Malaysia berganding bahu bersama-sama lupakan segala persengketaan dengan buang yang keruh dan ambil yang jernih seterusnya berhijrah ke arah membentuk sebuah negara yang aman dan terus mekar di persada antarabangsa.



18. Untuk itu, kita mengharapkan agar formula 1Malaysia akan terus melestari agenda membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu, maju dan makmur pada tahun baru kelak. Itulah harapan rakyat menjelang fajar tahun baru dan sama-samalah kita berdoa agar harapan itu menjadi kenyataan.

No comments: