Monday, December 7, 2009

PROGRAM “JUARA RAKYAT” MESTI SAMPAI KE AKAR UMBI
(TELAH DISIARKAN DALAM UTUSAN MALAYSIA BERTARIKH 30/12/2009)


1. Kita wajar merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada YAB Datuk Seri Najib Tun Razak yang secara terus menerus memperkenalkan pelbagai program untuk mendekatkan diri dengan rakyat sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

2.Jelas beliau tidak mudah patah semangat dan putus asa dalam melipatgandakan usaha beliau demi meraih kembali sokongan rakyat kepada kerajaan terutamanya selepas PRU-12 serta beberapa insiden yang sedikt sebanyak mencemarkannama baik dan imej kerajaan.

3.Terkini kerajaan tampil dengan program ‘Juara Rakyat’ yang akan dilaksanakan oleh UMNO tetapi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) juga dikatakan akan diajak bersama bagi menjayakan program ini di peringkat bahagian.

4.Program ini dilaporkan akan meliputi pelbagai jenis aktiviti seperti aktiviti pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawanan, perekonomian, bidang sosial dan aktiviti berkaitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

5.Jika diperhalusi konsep program ini, ianya nampak menyeluruh dan boleh memberi impak yang besar kepada rakyat terutamanya kepada masyarakat luar bandar.

6.Niatnya betul dan ikhlas manakala cadangannya pula dilihat hebat namun yang menjadi persoalan utama adalah bagaimanakah pula aspek pelaksanaannya. Rakyat mahu tahu bagaimana pihak kerajaan akan menjayakan program ini.

7. Niat yang ikhlas dan program yang hebat tidak akan membawa sebarang makna jika hasil pelaksanaanya kelak tidak dirasai atau dinikmati oleh rakyat akar umbi.

8.Rakyat sudah terbiasa malah semakin bosan dengan pelbagai janji manis orang politik yang hangat-hangat tahi ayam dan tidak memberi apa-apa manfaat kepada mereka.

9.Apa yang sering dipertontonkan ialah hanya kroni dan kawan-kawan orang politik sahaja yang meraih pelbagai keuntungan hasil pelaksanaan sesuatu program mahupun projek. Keadaan inilah yang selalunya membuatkan rakyat semakin marah dan benci. Apabila rakyat merasa teraniaya maka tindakan mereka kelak yang dikuasai oleh emosi akan merugikan semua pihak.

10.Justeru kita harap program ‘Juara Rakyat’ ini yang akan menggabungkan semua parti komponen BN ataupun kita boleh katakan gabungan 1Malaysia mampu menterjemahkan hasrat Perdana Menteri yang mahu mewujudkan suasana yang mesra rakyat dapat dicapai.

11.Hebahkanlah kepada rakyat intipati program ini dengan jelas dan telus dan seterusnya laksanakan programnya dengan berkesan supaya rakyat sedar tentang niat ikhlas pihak kerajaan. Buktikan bahawa kerajaan ini adalah kerajaan yang utamakan rakyat selaras dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’.

12.Semua pihak terutamanya wakil parti komponen perlu rajin turun padang memantau pelaksanaan program tersebut secara serius dan setiap program yang dilaksanakan juga perlu ada KPInya sendiri agar dapat dipantau dan dinilai keberkesanannya kelak.

13.Semuga program yang dijadualkan bermula pada bulan Januari tahun depan ini akan mencapai sasaran dan matlamat yang telah digariskan demi membantu rakyat yang semakin terhimpit dengan pelbagai masalah sosial dan ekonomi.

No comments: