Tuesday, December 8, 2009

WAJAR KEKALKAN MODUL BTN

1.Isu kursus Biro Tata Negara (BTN) nampaknya semakin mendapat perhatian ramai. Terbaru mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengulas mengenai kursus ini di mana beliau berpandangan bahawa modul kurikulum BTN yang sedia ada adalah cukup baik dan tidak perlu dirombak.


2.Isu rombakan kurikulum BTN timbul apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan bahawa Kabinet bersetuju untuk untuk merombak kurikulum BTN supaya ia lebih sesuai untuk semua kaum sejajar dengan gagasan 1Malaysia.


3.Keputusan ini terus menimbulkan pelbagai reaksi dari pemerhati politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga di kalangan bekas peserta yang pernah mengikuti kursus tersebut.


4.Rata-rata kurang bersetuju dengan cadangan rombakan tersebut. Ini kerana cadangan tersebut menimbulkan beberapa persoalan yang perlu diteliti dan diperhalusi dengan serius.


5.Antara persoalan yang timbul ialah, jika kerajaan bersetuju rombak adakah itu bermaksud kurikulum tersebut selama ini tidak betul dan tidak sesuai untuk dilaksanakan?


6.Apakah modul yang sedia ada tidak berjaya mengeratkan perpaduan kaum di kalangan peserta yang mengikutinya dan apakah ianya selama ini hanya sesuai untuk satu kaum tertentu sahaja?


7.Itu adalah antara beberapa persoalan yang berlegar di pemikiran semua pihak apabila kita mendengar keputusan kabinet tersebut. Ia sekaligus seolah-olah membuka pekung di dada di mana kita mengaku bahawa modul yang digunapakai selama ini memang ada kelemahan seperti yang dituduh oleh pihak yang begitu bersungguh-sungguh untuk menghapuskan sama sekali kursus ini.


8.Apakah kita perlu tunduk dan mengaku kalah kepada desakan sebegini yang jelas mempunyai agenda politik tersendiri? Ingat, jika kita tunduk sekali maka selama-lamanya kita perlu tunduk kepada mereka.


9.Biarkan mereka dengan budaya mendesak mereka yang sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan kuasa dan meraih sokongan rakyat tanpa mempedulikan kemajuan agama, bangsa dan negara ini.


10.Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mengutamakan konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaiana Diutamakan, adalah wajar untuk bertindak dengan penuh waras, berhati-hati dan berhemah dalam menangani isu ini.


11.Tidak perlulah kita cepat melatah dan mengikut rentak mereka yang senantiasa menimbulkan pelbagai masalah dan tuntutan yang tidak masuk akal sama sekali. Buktikan bahawa kerajaan ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan soal perpaduan di kalangan kaum yang ada di negara kita.


12.Mungkin apa yang perlu dibuat adalah sedikit penambahbaikan kepada modul yang sedia ada agar ianya kekal relevan mengikut arus peredaran zaman. Modul-modul seperti kenegaraan dan sejarah negara ini wajib dikekalkan kerana ianya tak lapuk dek masa. Generasi sekarang dan juga masa hadapan perlu diajar tentang aspek tersebut supaya kemerdekaan dan kontrak sosial yang sedang kita nikmati ini akan dapat dipertahankan selama-lamanya.

No comments: