Monday, December 7, 2009

CONTOHI LANGKAH PDRM
(DISIARKAN DALAM RUANGAN PENDAPAT AKHBAR UTUSAN MALAYSIA BERTARIKH 8HB DISEMBER 2009 DAN RUANGAN FORUM PADA 15 DISEMBER 2009)


1.Walaupun Negara kita diramalkan akan menikmati sedikit pertumbuhan ekonomi yang positif pada tahun 2010 namun senario ekonomi global masih tidak menentu dan terus menghantui dan mencengkam ekomoni semua Negara di seantero dunia.

2.Bagi jabatan dan agensi kerajaan topik perbualan utama pada hujung tahun sebegini adalah berapakah peruntukan bajet yang akan diperolehi ataupun telah diluluskan bagi tahun 2010.

3.Rata-rata semua jabatan dan agensi kerajaan terpaksa menerima hakikat bahawa bagi tahun 2010 kerajaan telah mengambil langkah yang drastik dengan mengurangkan kos perbelanjaan atau dalam erti kata lain bajet semua jabatan dan agensi kerajaan telah dipotong ataupun dikurangkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

4.Justeru semua jabatan dan agensi kerajaan telah disarankan untuk mengambil langkah-langkah penjimatan yang sewajarnya agar dapat mengelakkan pembaziran serta mengurangkan perbelanjaan yang sedia ada.

5.Salah satu jabatan yang dilihat telahpun mengambil tindakan proaktif dan menyahut saranan kerajaan itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilaporkan telah mengeluarkan arahan agar semua pegawai polis tidak kira apa pangkat sekalipun hanya dibenarkan menggunakan pesawat kelas ekonomi ketika melakukan tugas rasmi.

6. Penjimatan kos ini dikatakan boleh digunakan untuk kerja-kerja pengoperasian yang lebih penting. Jelas PDRM berjaya membuat keputusan yang bijak dan rasional mengambilkira keadaan senario ekonomi semasa. Mereka dapat memilih dan menentukan yang mana menjadi keutamaan dalam menguruskan bajet mereka.

7.Langkah-langkah penjimatan sebegini amat penting kerana walaupun ianya mungkin melibatkan satu jumlah perbelanjaan yang kecil namun impaknya tetap besar dan akan mempengaruhi kos operasi keseluruhan sesuatu jabatan.

8.Ketua-ketua jabatan sewajarnya memainkan peranan yang lebih proaktif seperti ini dan jadikan langkah PDRM ini sebagai contoh teladan yang baik. Sebagai ketua mereka harus bijak menguruskan peruntukan yang diperolehi. Hentikan rungutan bajet tidak mencukupi, gunakanlah kebijaksanaan masing-masing untuk menagihkan peruntukan yang diperolehi mengikut keutamaan.

9.Dalam hal ini soal perancangan memainkan peranan yang penting. Ketua jabatan sepatutnya tahu projek, program mahupun perolehan mana yang perlu diutamakan dan yang mana boleh dikemudiankan mengikut sasaran dan matlamat jabatan masing-maisng demi menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

10.Perbelanjaan yang membazir ataupun merugikan perlu dielakkan supaya bajet yang disalurkan dimanfaatkan sepenuhnya mengikut perancangan yang telah dikenalpasti.

11.Kita masih segar dengan Laporan Ketua Audit Negara tempoh hari berkaitan pelbagai jenis pembaziran dan penyelewengan yang berlaku di jabatan dan agensi kerajaan tertentu. Apakah kita mahu pisang berbuah dua kali?

12.Ingat, rakyat sedang memerhatikan kita. Laporan audit tersebut telah membuka mata banyak pihak terutamanya rakyat yang mahukan penjelasan yang telus dan mengharapkan jabatan dan agensi kerajaan dapat memikul amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sebaik yang mungkin terutamanya yang melibatkan soal wang rakyat.

13.Sebagai pembayar cukai, rakyat mempunyai hak tersebut dan sebagai pengundi pula rakyat juga menuntut kerajaan yang mereka pilih dapat menguruskan sumber ekonomi dengan penuh berhemah dan amanah tanpa pembaziran dan penyelewengan.

14.Pendedahan pelbagai jenis salah laku dan penyelewengan desawa ini adalah sesuatu yang kurang memberangsangkan dan sedikit sebanyak menjejaskan imej dan nama baik kerajaan. Justeru kita harap ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan dapat memainkan peranan yang sewajarnya dengan mengurus bajet yang bakal diperolehi secermat yang mungkin demi menjaga imej kerajaan dan yang lebih penting demi menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, efisyen dan mesra pelanggan kepada rakyat.

No comments: