Wednesday, December 2, 2009

KAJI SEMULA HUKUMAN PERAGUT
(TELAH DISIARKAN DALAM UTUSAN MALAYSIA PADA 2/12/2009)
1.Hampir setiap hari kita disajikan dengan berita jenayah ragut di seluruh Negara dan ianya desawa ini seolah-olah semakin menjadi-jadi dan dilihat kesannya semakin serius dan mendalam.

2.Daripada kecederaan kecil dan biasa hinggalah sekarang sudah ada yang meragut nyawa mangsa ragut. Ternyata kaum wanita menjadi sasaran utama penjenayah ragut dan lebih malang lagi warga emas dan kanak-kanak juga turut menjadi sasaran mereka kerana golongan ini agak mudah untuk ditewaskan oleh mereka jika berlaku pergelutan.

3.Antara kes ragut yang mula mencuri tumpuan kita ialah kematian warga emas Fatimah Salleh dan kecederaan pelajar Nadirah Saerah Mohd. Zin di Kedah serta cubaan dua orang lelaki yang juga penagih dadah untuk meragut rantai leher seorang kanak-kanak perempuan di Kota Bharu kelmarin.

4.Jelas jenayah ini semakin berleluasa walaupun macam-macam kempen dan usaha telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk membendung jenayah ini dari terus bermaharajalela.

5.Hasilnya ternyata penjenayah ini masih tidak mampu disedarkan atau diinsafkan malah mereka seolah-olah tidak mengendahkan nasib dan rintihan mangsa mereka asalkan mereka dapat apa yang mereka mahukan.

6.Justeru sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa terutamanya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Dalam Negeri mencari jalan penyelesaian yang lebih tegas dan mungkin juga ‘ganas’ sebagai usaha untuk melindungi rakyat di samping mengajar penjenayah yang terlibat.

7.Kita akui pihak PDRM selama inipun telah bekerja keras untuk membanteras jenayah ini namun ternyata ianya masih belum mencukupi dan boleh dimantapkan di mana sudah sampai masanya untuk kita mengkaji semula modus operandi yang dilakukan serta hukuman yang sedia ada agar tindakan yang dilaksanakan benar-benar berkesan.


8.Cadangan Menteri Dalam Negeri untuk mengisytiharkan kawasan yang didapati tinggi berlaku jenayah ragut sebagai kawasan panas adalah suatu langkah yang wajar dipuji dan disokong oleh semua pihak. Diharap cadangan ini dapat dilaksanakan dengan segera.

9.Pada masa yang sama aspek hukuman yang sedia ada perlu dikaji semula kerana didapati ianya belum cukup gerun untuk menakutkan penjenayah ini. Denda ataupun penjara untuk beberapa bulan atau tahun masih dilihat ringan dan tidak menakutkan mereka.

10.Maka ianya perlu dikaji semula agar mungkin bentuk hukuman itu dipelbagaikan supaya di samping menghukum kita juga wajar menerapkan unsur-unsur kesedaran dan keinsafan agar mereka sedar apakah natijah daripada perbuatan mereka tersebut seterusnya tidak mengulangi perbuatan keji ini.

11.Antara cara yang boleh dilaksanakan ialah menggunakan kaedah psikologi yang melibatkan aspek perasaan dan emosi di mana mungkin mereka perlu didedahkan dengan kesengsaraan yang dilalui oleh mangsa mahupun keluarga mangsa ragut mereka tersebut.

12.Misalnya biarkan penjenayah ini tinggal bersama keluarga mangsa untuk suatu tempoh di bawah pengawasan pihak Polis supaya biar mereka merasai apa yang dirasai oleh keluarga tersebut lagi-lagi jika ianya melibatkan kematian.

13.Walaupun cadangan ini mungkin dilihat tidak praktikal mahupun tidak sesuai untuk dilaksanakan namun percayalah bahawa penjenayah ragut ini sudah lali dan terbiasa dengan hukuman yang sedia ada.

14.Mereka tidak hairan, risau mahupun takut dengan hukuman denda dan penjara. Oleh itu perubahan yang drastik perlu dilakukan dalam aspek hukuman yang sedia ada. Ini hanya satu cadangan semata-mata dan penulis percaya ramai lagi cerdik pandai yang boleh membantu memberikan pandangan dan pendapat untuk bersama-sama berganding bahu membanteras jenayah ragut ini dengan segera.

No comments: