Wednesday, December 23, 2009

MEMBUDAYAKAN ASPEK PEMANTAUAN
(TELAH DISIARKAN DALAM UTUSAN MALAYSIA BERTARIKH 24 DISEMBER 2009)

1. Dewasa ini kita sering didedahkan dengan pelbagai kejadian salah laku, penyelewengan, kecuaian yang berlaku di dalam negara kita. Ada yang melibatkan pembaziran wang rakyat dan tidak kurang juga yang melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa.


2. Tidak dapat dinafikan bahawa kita memang kaya dengan pelbagai idea, perancangan dan kepakaran untuk melakukan sesuatu kerja. Namun aspek pemantauan dan pengawasan sering dikesampingkan ataupun tidak dititikberatkan.


3. Akibatnya seringkali rakyat menerima nasib yang malang dan menjadi mangsa keadaan. Bermacam malapetaka dan kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian kita sendiri. Statistik kecederaan dan kemalangan jiwa juga terus meningkat.



4. Tindakan kita selalunya adalah menuding jari menyalahkan orang lain sebagai punca segala kejadian yang berlaku di mana kita lupa bahawa empat lagi jari kita terarah kepada diri sendiri.


5. Runtuhan bumbung stadium dan Terminal Pengangkutan Awam di Terengganu, runtuhan jambatan gantung di Perak, kehilangan enjin pesawat dan penyelewengan dalam perolehan jabatan kerajaan adalah antara beberapa contoh kejadian yang mendapat perhatian ramai.



6. Tiada gunanya kita menyalahkan pihak kontraktor atau pembekal semata-mata kerana jika kita melakukan tugas pemantauan secara rapi maka kesalahan mereka pastinya dapat dikurangkan atau tidak berlaku langsung sebarang kecuaian. Jelas keadaan ini tidak berlaku. Ternyata budaya memantau dan mengawasi sesuatu tugasan atau kerja yang dilakukan oleh pihak yang telah dipertanggungjawabkan amat jarang sekali dibuat oleh kita.



7. Kita sudah terbiasa dengan budaya lepas tangan dan tidak peduli dengan apa yang dibuat oleh orang lain yang telah dipertanggungjawabkan. Akibatnya pihak berkenaan bebas untuk menjalankan tugasan yang diamanahkan mengikut kemahuan dan kehendak masing-masing dan juga sambil lewa asalkan ianya siap dilaksanakan mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Ada juga kerja-kerja yang dilakukan tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.



8. Seharusnya pihak yang telah dilantik untuk memantau perlu lebih bertanggungjawab dan amanah dalam menjalankan tugas pengawasan tersebut. Mereka perlu dipertanggungjawabkan jika berlaku apa-apa kesilapan atau insiden yang jelas berpunca daripada kecuaian manusia.



9. Dalam hal ini tanggungjawab pegawai pemantau dilihat cukup penting supaya dapat memastikan setiap projek yang dilaksanakan itu disiapkan bukan sahaja mengikut tempoh tetapi mengikut peraturan dan juga spesifikasi yang diperlukan.



10. Mahu tidak mahu perlu diakui bahawa kebanyakkan insiden yang dilaporkan adalah melibatkan jabatan-jabatan kerajaan justeru ketua-ketua jabatan perlu memainkan peranan yang lebih serius dan efektif dengan memilih dan melantik pegawai pemantau yang benar-benar berdedikasi untuk tugasan sebegini.



11. Cukuplah kemalangan jiwa yang sudahpun berlaku selama ini. Usahlah menyalahkan takdir lagi. Tindakan segera perlu diambil bagi membudayakan aspek pemantauan terutamanya di kalangan penjawat awam bagi mengatasi masalah ini.



12. Tiada gunanya kita membina bangunan yang tinggi, menyediakan kemudahan dan prasarana kelasa pertama, membeli peralatan yang canggih namun akhirnya kesemua itu runtuh, rosak ataupun hilang akibat kecuaian kita sendiri.



13. Untuk itu, mekanisma pemantauan dan pengawasan juga mungkin perlu dirombak secara total ataupun menyeluruh agar ianya berkesan dan memberikan hasil yang terbaik.



14. Justeru keberkesanan tugas pegawai pemantau dan pemantapan mekanisma dilihat jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini. Biarlah kita sediakan payung sebelum hujan daripada kita sudah terhantuk baru terngadah. Kita perlu memberi penekanan kepada tindakan pencegahan daripada asyik melaksanakan tindakan pembetulan.















No comments: