Wednesday, December 2, 2009

MASALAH BANJIR BILA NAK SELESAI?
1.Hujan adalah fenomena lumrah alam, ianya akan datang dan pergi mengikut kehendak Yang Maha Esa. Tiada siapa boleh menahan hujan daripada menimpa bumi yang dikehendakinya bak kata pepatah ‘bumi mana tak ditimpa hujan’.

2.Namun hujan yang berlebihan ataupun musim tengkujuh adalah suatu masa yang cukup ditakuti dan dirisaukan bukan sahaja oleh para petani malah seluruh rakyat Malaysia terutamanya yang sering menghadapai masalah banjir.

3.Saban tahun kita berhadapan dengan masalah banjir dan telahpun menjadi aktiviti tetap dalam kalendar hidup sebilangan besar rakyat negara ini seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang serta beberapa buah negeri di utara tanahair.

4.Senario ini membawa kita kepada satu persoalan dan kemusykilan yang cukup serius iaitu sampai bila masalah banjir ini akan terus menghantui penduduk negara ini terutamanya di negeri-negeri yang setiap tahun akan menerima bencana alam tersebut.

5.Negara kita semakin maju dan mengorak langkah ke hadapan sebagai sebua negara membangun menjelang tahun 2020 namun masalah asas seperti banjir ini masih belum dapat kita selesaikan dengan baik dan terus menghantui kita.

6.Memang kita tidak boleh menahan hujan atau mengagak dengan tepat walaupun Jabatan Meteorologi boleh membuat pelbagai ramalan, namun mustahil kita tidak mempunyai cara dan kaedah untuk mengenalpasti punca banjir dan seterusnya cuba mengatasinya sedikit demi sedikit.

7.Kenapa kita lebih rela meramalkan akan berlakunya gelombang pertama, kedua dan ketiga daripada memerah otak memikirkan cara untuk mengatasinya secara menyeluruh dan total.

8.Kita perlu akui bahawa antara punca utama masalah banjir di negara kita ialah aspek pembangunan fizikal yang tidak begitu terurus di mana sistem perparitan di kebanyakkan tempat yang dilanda banjir cukup mengecewakan. Sehinggakan ada yang mengelarnya bahawa itulah harga yang perlu kita bayar untuk menikmati pembangunan yang diidamkan.

9.Walau apapaun sekali lagi manusia tetap perlu dipersalahkan atas kejadian sebegini yang sebenarnya mungkin dapat kita minimakan sekiranya manusia yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga alam ini dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebaik yang mungkin.

10.Satu lagi punca utama ialah aspek pembangunan yang tidak seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar. Rata-rata kawasan yang terjejas adalah kawasan luar bandar ataupun pedalaman yang sering terlepas pandang untuk dibangunkan atau disalurkan kemudahan yang sewajarnya.

11.Kawasan rendah yang mudah terdedah kepada banjir di kawasan luar bandar sepatutnya dibantu agar kawasan mereka dinaiktaraf dengan baik dan sempurna supaya dapat menghalang air yang melimpah atau takungan air.

12.Itu adalah antara beberapa punca yang sangat jelas dan nyata yang tidak boleh kita nafikan dan kita masih tetap membiarkan perkara tersebut berlarutan sehingga kini.

13.Mungkin lebih elok kita membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk mengenalpasti dan menyelesaikan masalah yang membawa kepada banjir sebegini daripada asyik memikirkan apakah jenis bantuan yang hendak disalurkan kepada mangsa banjir setelah masalah itu berlaku.

14.Kita memang tidak boleh lawan takdir tetapi kita boleh berusaha untuk mengatasi kelemahan angkara kerakusan sekelompak manusia yang tidak bertanggungjawab.

15.Fikirlah sejenak kepayahan yang dilalui oleh mangsa banjir setiap tahun yang antara lain terpaksa berpindah rumah, mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda yang ditenggelami air serta kesusahan anak-anak kita yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM. Malah ada ketikanya banjir turut meragut nyawa anak-anak kita.

16.Justeru diharapkan semua pihak yang terlibat baik secara langsung mahupun tidak langsung dapat menggembling tenaga dan idea demi mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini yang saban tahun semakin serius dan menjadi satu ancaman yang besar. Belajarlah untuk melaksanakan tindakan pencegahan dan kurangkan budaya tindakan pembetulan.

No comments: