Wednesday, April 14, 2010

AWAS! H1N1 MASIH BERSAMA KITA
(Telah disiarkan dlam akhbar harian Metro bertarikh 12/4/2010)

1. Secara tiba-tiba kita dikejutkan dengan dua kes kematian melibatkan dua beranak dari satu keluarga akibat jangkitan H1N1 di Hospital Melaka. Lebih tragis lagi ianya melibatkan seorang wanita yang sedang mengandung 36 minggu yang tidak sempat menatap wajah bayinya yang baru dilahirkan.

2. Kes kematian ini menyusul selepas satu lagi kes kematian yang dicatatkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada 28 Februari 2010 melibatkan seorang wanita muda berusia 22 tahun. Dalam pada itu jumlah kes seakan Influenza (ILI) juga dilaporkan mula meningkat kembali setelah agak reda untuk seketika.

3. Di peringkat antarabangsa, penularan jangkitan influenza A(H1N1) masih lagi aktif khususnya di Asia Tenggara, Afrika Barat dan Afrika Timur serta negara-negara beriklim sederhana di Hemisfera Utara seperti di Eropah Timur dan Selatan, Asia Selatan dan Timur. Sehingga 21 Mac 2010, jumlah kematian akibat jangkitan influenza A(H1N1) di seluruh dunia adalah melebihi 16,931 kes.

4. Ketika ini jumlah kes kematian di negara kita telahpun mencecah angka 80 orang dengan bilangan pesakit yang positif wabak berjumlah 12,715 orang. Di samping itu, mengikut laporan terkini, jumlah kes ILI yang masih dirawat ialah 401 kes di 49 hospital kerajaan dan swasta dan daripada jumlah tersebut 26 pesakit atau 6.5% dilaporkan adalah positif virus H1N1.

5. Statistik dan kes kematian di atas tersebut membuktikan bahawa Influenza A(H1N1) masih aktif di negara kita dan seolah-olah memberi petanda kepada gelombang kedua penularan wabak tersebut. Walaupun situasinya dikatakan agak terkawal namun tiga kematian tersebut sudah cukup untuk mencetuskan kembali kerisauan dalam kalangan masyarakat kita.

6. Ternyata jangkaan kita bahawa wabak ini sudah tidak merebak lagi dalam masyarakat kita meleset sama sekali. Ianya dilihat terus merebak secara senyap dan juga secara berterusan.

7. Dalam konteks ini, tiada gunanya kita menuding jari menyalahkan pihak lain terutamannya KKM akibat daripada penularan kembali wabak ini. Ini Kerana, dewasa ini semakin kurang kita melihat rakyat kita memakai penutup mulut dan hidung ataupun mask untuk menghindari jangkitan wabak tersebut.

8. Ianya berbeza sama sekali bila kita imbas apa yang berlaku pada pertengahan tahun lepas semasa wabak ini menular dengan pantas di negara kita yang membawa kepada penutupan beberapa buah sekolah dan juga IPTA di mana tahap kesedaran rakyat kita pada ketika itu untuk memakai mask cukup tinggi sehinggakan harga mask melambung tinggi malah kita juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan mask di pasaran.

9. Namun tahap kesedaran ini semakin hari dilihat semakin merudum dan pada hari ini kita amat sukar untuk melihat rakyat kita memakai mask di khalayak ramai sama seperti tahun lepas. Kenapa perkara ini boleh berlaku dan apakah hanya setakat itu sahaja tahap kesedaran kita tentang bahaya wabak ini?. Setiap seorang daripada kita wajar merenung persoalan tersebut secara serius kerana jawapannya terletak pada diri kita sendiri.

10. Walau apapun jawapannya, kelekaan kita telah membuka ruang dan peluang yang seluas-luasnya kepada wabak ini untuk kembali mengganas di negara kita. Walaupun KKM tidak putus-putus melancarkan pelbagai kempen kesedaran untuk terus mengingatkan masyarakat tentang panduan penjagaan kesihatan diri dan keluarga namun tahap kesedaran kita boleh dikatakan masih rendah.

11. Kita masih leka dalam menjaga kebersihan diri, kita masih gagal untuk mematuhi etika batuk yang disarankan dan kita juga masih gagal untuk segera mendapatkan rawatan di hospital apabila adanya tanda ataupun gejala ILI.

12. Kelekaan dan kegagalan kita akhirnya mula menimbulkan masalah kepada kita sendiri. Kes-kes kematian yang berlaku di negara kita sewajarnya mampu dielak atau sekurang-kurangnya dapat dikurangkan andai kita mematuhi nasihat yang diberikan oleh KKM.

13. Peningkatan kes yang dilaporkan juga menunjukkan betapa pentingnya mereka-mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko seperti penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit asma, kanak-kanak dan ibu mengandung perlu segera mendapatkan rawatan jika menunjukakn tanda-tanda ILI iaitu demam yang tinggi (38ยบ C) yang disertai dengan batuk dan lain-lain tanda seperti selsema dan batuk.

14. Rawatan awal dengan ubat Tamiflu dilihat sangat berkesan dan dapat mengelakkan dari berlakunya komplikasi yang lebih memudaratkan. Kelewatan kita dalam menerima rawatan khusus akan menjejaskan keberkesanan ubat tersebut dan boleh mengundang pelbagai komplikasi lain.

15. Percayalah bahawa KKM sendiri tidak mampu untuk membendung penularan wabak ini tanpa kerjasama masyarakat. Masyarakat juga perlu memainkan peranan yang aktif agar kita dapat mengekang penularan wabak ini daripada terus menjadi tidak terkawal.

16. Masyarakat perlu sedar dengan segera. Kita tidak boleh lagi terus hidup dengan budaya di mana selagi ianya tidak kena pada batang hidung sendiri tidak mengapa. Kita akan mengelabah dan panik hanya apabila sesuatu musibah itu berlaku ke atas diri kita ataupun ahli keluarga kita. Budaya ini perlu dibendung dengan segera.

17. Sebenarnya pilihan adalah di tangan kita sendiri. Kita perlu mengelak dari mementingkan diri sendiri dalam keadaan sebegini. Andai kita ada simptom ILI adalah wajar untuk kita memakai mask dan kurangkan aktiviti di khalayak ramai serta menjaga etika batuk seterusnya segera mendapatkan rawatan di hospital.

18. Sebagai masyarakat yang bertamadun dan progresif kita perlu mengubah sikap kita. Hanya perubahan sikap dilihat mampu membendung penularan wabak ini. Selagi kita degil, tidak peduli, tidak mahu ambil tahu, tidak mahu mematuhi arahan KKM, adalah sukar untuk kita mengekang mahupun membendung wabak ini dalam masyarakat kita.

19. Justeru marilah kita bersama-sama mengambil ikhtibar dengan kes-kes kematian yang berlaku sebelum ini seterusnya berganding bahu, saling ingat-meningatkan ahli keluarga, rakan, jiran dan anggota masyarakat yang lain supaya kita dapat berganding bahu mengekang penularan wabak ini secara menyeluruh. Ingatlah bahawa mencegah lebih baik dari mengubatinya.

No comments: