Wednesday, April 14, 2010

MASYARAKAT PERLU BERTINDAK

1. Isu buang bayi berulang lagi dan terkini satu lagi mayat bayi lelaki yang sempurna sifatnya dijumpai dalam timbunan sampah di Sungai Choh di Hulu Selangor dan hasil bedah siasat mengesahkan bahawa bayi malang itu mati akibat keguguran.

2. Sama ada ianya merupakan takdir ataupun kebetulan tetapi hakikatnya kes ini berlaku di kawasan yang sedang begitu sibuk dengan persiapan pilihanraya kecil tidak lama lagi. Ini membuktikan bahawa pelaku jenayah ini tidak takut untuk melakukan kesalahan tersebut walaupun di kawasan tumpuan ramai yang terdiri daripada ahli politik dan juga pihak berkuasa.

3. Apa yang nyata, kes terbaru ini sekali mencerminkan bahawa sehingga ke hari ini masalah pembuangan bayi masih tidak menampakkan tanda noktahnya. Walaupun pelbagai kempen dan program dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat namun ianya belum menunjukkan jalan penyelesaian kepada masalah ini.

4. Kita hanya mampu menggeleng kepala meratapi kematian seorang lagi bayi yang tidak berdosa. Saban hari senarainya semakin meningkat yang sekaligus mengundang kegelisahan di kalangan masyarakat dan juga pihak berkuasa.

5. Rata-rata semua pihak mengakui bahawa kita perlu melahirkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab, menjaga tepi kain orang dan prihatin jika mahu menangani gejala sosial ini. Memang betul kita perlu mendidik masyarakat supaya lebih prihatin dan peka dengan apa yang berlaku di sekitar mereka. Ini kerana kita tidak boleh membiarkan masalah sosial sebegini terus mencengkam kehidupan kita.

6. Kejadian sebegini memang sukar untuk diterima dek akal yang waras. Haiwan sekalipun belum tentu berkelakuan seperti ini pada anaknya. Maka ianya menimbulkan pelbagai persoalan yang dilihat cukup misteri dan aneh untuk dirungkai dan diselesaikan.

7. Di samping kita terpaksa mengakui bahawa nilai-nila kemanusiaan itu semakin pudar dari masyarakat kita yang dikatakan semakin cerdik dan bijak, kita juga perlu memperhalusi kembali peranan masyarakat yang sanggup prihatin dengan masalah seperti ini.

8. Apakah kita benar-benar memahami erti perkataan ‘prihatin’ dan sejauhmana kita boleh bertindak untuk membantu mengatasi masalah sosial ini? Kedua-dua isu ini perlu dijelaskan kepada umum agar masyarakat dapat memainkan peranan yang kita kehendaki.

9. Mengikut kamus dewan, prihatin bermaksud mengambil berat ataupun memberi perhatain terhadap sesuatu perkara. Kedua-dua aspek ini secara luarannya hanyalah setakat apa yang kita buat sekarang iaitu meluahkan rasa sedih dan marah kepada pelaku jenayah tersebut dan paling baikpun kita melaporkan kepada pihak berkuasa.

10. Apakah tindakan tersebut sudah memadai? Setelah mengambilkira rentetan kes buang bayi yang sedang berlaku, ternyata tindakan tersebut semata-mata belum memadai untuk menghentikan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini.

11. Maka adalah disyorkan agar pihak kerajaan tampil dengan pelan strategi yang lebih menyeluruh dengan menekankan aspek peranan sebenarnya yang perlu dimainkan oleh masyarakat. Hal ini cukup penting dan ianya perlu digariskan dengan jelas kerana rata-rata kita masih terpinga-pinga dengan konsep prihatin itu sendiri.

12. Ini kerana, percaya ataupun tidak masih ramai di kalangan kita yang beranggapan bahawa prihatin maksudnya hanyalah sekadar berkongsi rasa kesedihan tentang apa yang menimpa bayi ataupun kanak-kanak malang di negara kita selama ini. Maka masih ramai yang belum bermotivasi mahupun bersemangat untuk turun padang dan bertindak dengan lebih agresif bagi membendung wabak ini yang semakin merebak.

13. Justeru masyarakat perlu diperjelaskan tentang peranan mereka dalam menangani hal ini dan masyarakat perlu dilibatkan secara langsung dalam setiap tindakan yang bakal diambil oleh pihak yang berkuasa. Dalam keadaan sekarang kita perlukan masyarakat yang berani bertindak bukan hanya berkongsi emosi dan perasaan semata-mata.

14. Jika perlu penurunan kuasa perlu dilakukan kepada pemimpin masyarakat supaya mereka lebih sedar tentang tanggungjawab mereka. Kuasa yang diberikan boleh diterjemahkan dalam bentuk tindakan bagi membendung isu ini.

15. Misalnya apakah kuasa yang boleh kita diberikan kepada Ketua Kampung, Imam, AJK masjid dan surau, Pengerusi Rukun Tetangga serta pemimpin-pemimpin masyarakat yang lain termasuk ahli politik di peringkat cawangan mahupun bahagian tanpa mempedulikan fahaman dan idelogi politik masing-masing.

16. Mereka ini adalah sebahagian daripada ahli masyarakat di mana kejadian-kejadian sebegini berlaku di kawasan perumahan, kejiranan dan sekeliling mereka yang sepatutnya boleh dibendung jika kita mendidik masyarakat kita untuk lebih prihatin dalam erti kata yang sebenar. Ketika ini apa yang kita perlukan adalah tindakan dan bukannya rungutan ataupun hanya setakat meluahkan rasa kemarahan dan ketidakpuasan hati masing-masing.

17. Isu ini adalah isu nasional dan mangsa yang terlibat selama inipun tidak kenal usia, bangsa dan agama. Maka kerjasama dan pemuafakatan di kalangan ahli masyarakat dari pelbagai agama dan bangsa perlu digembeling supaya kita dapat bertindak sebagai satu pasukan dalam memerangi wabak ini.

18. Percayalah bahawa tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Pokok pangkalnya setiap seorang daripada kita perlu sedar tentang peranan masing-masing. Ini kerana setiap seorang daripada kita ada peranannya tersendiri dan kita perlu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku di sekitar kita. Hanya dengan cara ini kita mampu membendung gejala tersebut dari terus berleluasa dalam masyarakat kita.

No comments: