Tuesday, April 20, 2010

IBU BAPA PERLU SOKONG KEMPEN ‘MINGGU TIDAK MENONTON TELEVISYEN’
(Telah disiarkan dalam akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia pada 20/4/2010)

1. Dewasa ini pelbagai masalah sosial melibatkan anak-anak dan golongan remaja mula mencengkam masyarakat kita. Kes pembuangan bayi, merokok, merempit, menagih dadah, seks bebas, vandalisme, lari dari rumah dan macam-macam lagi salah laku jenayah sudah cukup untuk merisaukan semua pihak.

2. Ternyata Ibu bapa dilihat semakin hari semakin hilang kawalan ke atas anak-anak mereka yang semakin nakal dan liar. Mereka juga menghadapi masalah untuk mendidik dan membentuk anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna mengikut acuan yang mereka kehendaki.

3. Terkini pihak Polis Kuala Lumpur mendedahkan bahawa seramai 3,263 orang pelajar sekolah ditahan pada tahun lalu melibatkan 2003 kes. Pelajar berusia antara 13 dan 18 tahun dilaporkan turut terlibat dalam kes seks bebas, kehamilan, pembuangan bayi, rogol, samun dan juga mencuri motosikal.

4. Statistik ini yang dikatakan semakin meningkat setiap tahun sudah cukup untuk membuktikan dan mencerminkan tahap masalah sosial di kalangan remaja di negara kita. Golongan yang sepatutnya menjadi harapan masa depan negara ini dilihat semakin hanyut dek dunia yang bebas tanpa sempadan.

5. Antara punca kepada pelbagai masalah sosial yang melanda golongan belia negara kita pada hari ini ialah pengaruh negatif rancangan-rancangan televisyen yang boleh dikategorikan sebagai kurang sihat. Televisyen yang sentiasa menjadi medium panduan dan pendidikan anak-anak kita sudah mula menguasai minda dan pemikiran mereka dengan nilai-nilai yang jauh bertentangan dengan nilai dan adat ketimuran kita yang kemudiannya mempengaruhi segala tingkah laku mereka dalam kehidupan seharian.

6. Adengan pergaulan tanpa batasan dan seks bebas serta perlakuan ganas seperti gengsterime yang dipaparkan dalam televisyen kita baik melalui drama dan filem tempatan mahupun barat boleh diibaratkan telah menjadi guru kepada remaja kita.

7. Drama-drama sinetron yang berunsurkan tahyul dari seberang dan filem-filem yang ganas dari barat dilihat cukup mudah mempengaruhi minda para penonton dan itulah yang sedang menjadi gaya dan trend ikutan muda mudi zaman sekarang.

8. Mereka mencontohi kesemua perlakuan dan gelagat yang dipertonjolkan secara bulat-bulat dan sering menjadikannya sebagai panduan dalam hidup mereka. Perbuatan yang dimulakan atas dasar ingin mencuba sesuatu yang baru akhirnya menjadi ketagih dan budaya yang sukar untuk ditinggalkan.

9. Fenomena ini sebenarnya adalah selaras dengan pandangan para sarjana komunikasi yang bersetuju bahawa media seperti televisyen mempunyai pengaruh yang cukup kuat terhadap penonton dan ianya dibuktikan melalui beberapa teori komunikasi yang terkenal. Magic Bullet Theory yang telah diperkenalkan oleh Katz dan Lazarsfeld pada tahun 1955 misalnya menggandaikan bahawa televisyen memberikan kesan negatif kepada penonton secara langsung dan segera seperti peluru di mana para penonton cenderung untuk percaya kesemua perkara yang dilihat di kaca televisyen yang sekaligus boleh mempengaruhi tingkah laku mereka.

10. Maka jika kita mengkaji secara mendalam segala masalah sosial yang kita hadapi pada hari ini dengan pengaruh televisyen ke atas remaja kita, ternyata andaian teori komunikasi tersebut ada kebenarannya. Ini membuktikan bahawa menonton televisen pada hari ini boleh mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan jika ianya tidak dikawal dan dipantau dengan sewajarnya.

11. Mengambilkira senario yang membahayakan ini, adalah wajar untuk kita terutamanya para Ibu bapa menyokong kempen ‘Minggu Tidak Menonton Televisyen’ anjuran Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang akan berlangsung mulai 21 hingga 27 April ini.

12. FOMCA juga mendedahkan bahawa kajian yang dibuat pada tahun 2005 melibatkan penggunaan peralatan berskrin seperti televisyen, komputer dan telefon bimbit mendapati golongan muda menghabiskan 73% daripada masa lapang mereka untuk menonton televisyen dan dilaporkan juga bahawa kanak-kanak menghabiskan masa antara tiga hingga lima jam sehari di hadapan peti televisyen masing-masing.

13. Justeru Ibu bapa perlu mengawal dan memberi perhatian yang serius kepada jenis rancangan yang ditonton oleh anak-anak mereka di rumah supaya mereka tidak terdedah dengan rancangan-rancangan yang boleh meruntuhkan akhlak dan moral masing-masing.

14. Memang tidak dapat dinafikan kepentingan televisyen dalam hidup kita sebagai sumber maklumat tetapi ianya banyak bergantung kepada rancangan apa yang menjadi bahan tontonan kita seisi keluarga. Dalam hal ini, kita juga berharap agar pihak kementerian dan juga Lembaga Penapisan Filem (LPF) dapat memainkan peranan yang lebih efektif untuk membendung penularan filem dan drama yang kurang sihat ini ke dalam negara kita.

15. Selain keruntuhan moral, ketagihan menonton televisyen juga banyak mendatangkan kesan buruk pada tahap kesihatan di mana pelbagai penyakit seperti obesiti dan diabetes akan mula mengancam hidup kita kerana kita terlalu pasif dan tidak bergerak aktif untuk suatu tempoh masa yang lama di hadapan kaca televisyen.

16. Pembaziran masa yang begitu lama (tiga hingga lima jam sehari) di hadapan kaca televisyen juga sudah pastinya akan menjejaskan pelajaran anak-anak kita di mana ada yang terlalu asyik menonton televisyen hingga leka dan tidak mengulangkaji pelajaran mahupun menyiapkan kerja sekolah masing-masing. Akibatnya prestasi akademik mereka boleh menurun secara mendadak.

17. Keruntuhan moral, masalah kesihatan dan juga pelajaran adalah antara kesan negatif yang langsung yang muncul akibat daripada kelalaian kita mengawal anak-anak kita dari terus menjadi hamba televisyen.

18. Anak-anak hari ini adalah generasi pewaris masa depan negara kita. Justeru kelestarian pembangunan modal insan perlu dititikberatkan agar kita dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu tetapi juga kaya dari segi akhlak dan budi bahasanya.

19. Kita khuatir tabiat yang kurang sihat ini akan mula menjauhkan kita daripada anak-anak kita, merenggangkan hubungan kekeluargaan dan sekaligus menghancurkan keharmonian keluarga kita.

20. Maka gunakanlah peluang ini bersempena dengan kempen yang dianjurkan oleh FOMCA untuk membetulkan keadaan dengan mengubah secara total gaya hidup kita dan juga ahli keluara kita dengan memperbanyakkan aktiviti aktif yang lebih berfaedah secara bersama. Perkara ini sewajarnya berterusan sepanjang masa dan bukan hanya bertahan untuk tepoh masa kempen tersebut semata-mata.

21. Jika ini dapat dilakukan, pasti ianya akan merapatkan dan mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan kita sepanjang masa dan percayalah bahawa hubungan kekeluargaan yang rapat yang disulami dengan perasaan kasih dan sayang adalah merupakan ubat yang paling mujarab dalam membendung segala masalah sosial yang melibatkan remaja di negara kita.

No comments: