Friday, April 16, 2010

PELAJAR SEKARANG BERANI TAK BERTEMPAT
(TELAH DISIARKAN DALAM AKHBAR HARIAN METRO BERTARIKH 19/4/2010)

1. Masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah kembali menarik perhtian umum. Terkini, sekumpulan pelajar Tingkatan Dua dan Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Jalan Klang Lama dilaporkan menyembur cat ke atas sebelas buah kenderaan guru mereka dan juga memecahkan cermin beberapa buah kereta yang terbabit.


2. Kejadian ini boleh dikatakan cukup serius dan melampau malah mengejutkan ramai pihak kerana melibatkan pelajar yang rata-rata baru berusia 14 dan 15 tahun. Keberanian mereka cukup merisaukan semua pihak.



3. Insiden ini dilaporkan berpunca daripada rasa ketidakpuasan hati pelajar yang telah dikenakan tindakan disiplin oleh guru sekolah terbabit. Namun walau apapun alasan mereka, perbuatan ini tidak boleh diterima sama sekali dan sukar untuk kita mengambarkan perasaan guru terbabit yang kita yakin tindakan mereka adalah semata-mata untuk mendidik dan membentuk pelajar berkenaan.



4. Ternyata pelajar zaman sekarang cukup berani sehingga sanggup membalas dendam terhadap guru yang cuba membetulkan mereka. Kes ini boleh dikatakan rentetan daripada beberapa kes yang pernah dilaporkan sebelum ini malah kita percaya masih banyak lagi kejadian seumpama ini berlaku di sekolah di seluruh negara yang tidak dilaporkan ataupun dihebahkan untuk tatapan umum.



5. Masalah sosial yang melibatkan pelajar sekolah desawa ini semakin menjadi-jadi. Bermula dengan gejala merokok, penagihan dadah, mencuri hinggalah kepada pelbagai lagi perbuatan vandalisme yang menakutkan kita.



6. Maka institusi sekolahlah dilihat sebagai tempat harapan semua pihak terutamanya Ibu Bapa agar anak-anak mereka dapat dididik dan dibentuk menjadi manusia yang berguna tanpa terpengaruh dan tergolong dalam kategori pesalah juvana seperti di atas.



7. Tetapi kejadian membalas dendam terhadap guru seperti ini pastinya akan menjejaskan malah boleh menghancurkan harapan tersebut kerana para guru akan mula berfikir dua kali sebelum mengambil sesuatu tindakan ke atas anak murud mereka kerana takut pelajar terbabit akan membalas semula.



8. Apa yang jelas, dalam hal ini yang rugi ialah para pelajar itu sendiri dan ternyata keberanian mereka langsung tidak bertempat dan dilihat akan menghancurkan masa depan mereka sendiri.


9. Jika kita meneliti semula impak dan kesan akibat daripada kejadian ini, ianya boleh dibahagikan kepada dua aspek iaitu impak kepada guru dan satu lagi ialah impak kepada para pelajar. Bagi guru yang terbabit, kita percaya kejadian ini pastinya akan meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam pada diri masing-masing.



10. Mereka bukan sahaja akan kecewa malah ianya juga boleh memberi kesan dari segi psikologi dan motivasi guru berkenaan. Misalnya, ianya boleh menggangu perasaan dan emosi mereka di samping boleh juga mewujudkan rasa takut serta menjejaskan motivasi dan semangat untuk meneruskan aktiviti penjagaran mereka. Malah insiden ini juga akan dilihat sebagai kejadian yang boleh mengancam keselamatan diri mereka.



11. Akibatnya kita yakin dan pasti akan ada guru yang terbabit mula memikirkan secara serius untuk memohon pertukaran sekolah dan ini sekali algi akan merugikan dan menjejaskan aktiviti pembelajaran di sekolah tersebut. Maka perbuatan segelintir pelajar nakal ini menyebabkan kerugian kepada pelajar lain yang yang tidak bersalah.



12. Bagi pelajar yang terbabit pula, tindakan berani tak bertempat mereka ini pasti akan mengundang hukuman yang setimpal. Mereka bukan sahaja berhadapan tindakan disiplin dari pihak sekolah seperti digantung ataupun dibuang sekolah malah ia juga mula melibatkan pihak Polis apabila guru terbabit telahpun membuat laporan di Balai Polis Taman Medan.



13. Tindakan mereka akhirnya memakan diri sendiri dan sekarang berhadapan dengan tindakan undang-undang yang pastinya akan menghancurkan masa depan mereka. Akibatnya juga, para Ibu Bapa pelajar berkenaan perlu menanggung malu malah mereka mula risau apabila terkenang tindakan yang bakal dikenakan terhadap anak-anak mereka kelak.



14. Kesimpulannya, kejadian sebegini lebih banyak mendatangkan kerugian di pihak para pelajar itu sendiri. Misalnya, para guru boleh bertukar sekolah, boleh tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pelajar malah mereka juga boleh berdiam diri dan tidak mempedulikan masalah pelajar-pelajar seperti ini.


15. Tetapi apakah itu yang kita kehendaki? Maka kita perlu menyuntik kembali semangat para guru dengan membela nasib mereka di samping meyakinkan mereka bahawa keselamatan mereka sentiasa terjamin. Pokok pangkalnya, para guru perlu dibenarkan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi tanpa gangguan seperti ini.



16. Justeru kejadian ini sewajarnya membuka mata dan minda kita untuk merenung kembali masa depan anak-anak kita yang semakin liar, nakal dan sukar untuk dikawal baik oleh pihak sekolah mahupun oleh Ibu Bapa sendiri.



17. Kita berharap agar semua pihak yang terlibat secara langsung seperti pihak sekolah, PIBG, Kementerian Pelajaran dan juga pihak Polis dapat duduk semeja, bergabung idea dan tenaga bagi mencari jalan penyelesaian supaya gejala sebegini dapat dibendung dengan segera.



18. Anak-anak kita pada hari ini adalah generasi pelapis harapan agama dan bangsa kita. Maka kita tidak mahu mereka hanyut dek pelbagai masalah sosial yang boleh menghancurkan masa depan mereka dan juga masa depan negara kita.

No comments: