Monday, April 26, 2010

DETIK PENENTUAN DI HULU SELANGOR

1. Esok adalah hari penentuan untuk BN dan PKR yang bersaing hebat di Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor. Mengikut Suruhanjaya Pilhanraya (SPR), keputusan dijangka akan diumumkan pada pukul 11.00 malam yang bakal melibatkan jumlah pengundi seramai 64,500 orang termasuk 799 orang pengundi pos.

2. PRK Hulu Selangor ini dilihat medan yang cukup penting bagi kedua-dua parti yang bertanding. Bagi BN ini adalah masa yang paling terbaik untuk menilai semula sokongan rakyat terhadap parti tersebut setelah pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan dengan penuh gigih dan efektif demi kemajuan rakyat pelbagai kaum sejak setahun yang lalu di bawah kepimpinan Datuk Sri Najib.

3. Bak kata Perdana Menteri yang turun padang ke Hulu Selangor kelmarin, Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor merupakan medan penting bagi menilai penerimaan rakyat terhadap pembaharuan dan transformasi yang diperkenalkan oleh beliau melalui gagasan 1Malaysia. Keseriusan beliau dalam hal ini jelas terbayang apabila Najib bergegas pulang dengan segera ke tanahair setelah tamat lawatan ke Jepun demi untuk membantu kempen BN di Hulu Selangor.

4. Sebarang keputusan yang bakal diterjemahkan melalui undi esok juga bakal mencerminkan sama ada segala program pembangunan baru yang telah Najib perkenalkan seperti Model Ekonomi Baru (MEB) serta NKRA melalui pendekatan 1Malaysia diterima atau tidak oleh rakyat.

5. Lantas PRK Hulu Selangor menjadi platform terbaik untuk mendapatkan maklum balas secara langsung dari rakyat melalui peti undi. 64,500 orang pengundi akan memberikan satu gambaran yang menyeluruh berkaitan dengan tanggapan dan persepsi mereka ke atas BN dan juga Najib apatah lagi Najib juga merupakan Pengerusi BN Selangor.

6. Walaupun agak tidak adil untuk menilai sama ada rakyat Malaysia secara keseluruhannya dapat menerima ataupun menolak segala dasar tersebut dengan hanya bersandarkan undi 64,500 orang pengundi namun ianya sedikit sebanyak bakal memberi isyarat yang jelas kepada pentadbiran Najib yang telah menjangkau usia setahun pada 3 April yang lalu.

7. Bagi BN juga boleh dikatakan ini adalah misi yang mesti menang dan kekalahan bukanlah suatu pilihan kerana implikasinya ternyata cukup besar terutamanya kepada imej dan reputasi BN di mata pengundi.

8. BN pastinya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Biarlah peristiwa tsunami 2008 dan siri kekalahan dalam beberapa PRK sebelum ini menjadi sejarah dan kalau boleh dipadamkan terus dari lanskap politik tanahair.

9. Ini kerana ternyata implikasinya cukup dasyat dan memberi impak yang tidak menguntungkan kedua-dua pihak iaitu BN dan juga para pengundi. Bukti yang jelas, kita boleh lihat apa yang berlaku di negeri-negeri yang dipimpin oleh pihak pakatan pembangkang.

10. Pelbagai masalah dan isu kedengaran dan dibangkitkan oleh rakyat yang tidak berpuas hati yang masih belum menampakkan jalan penyelesaiannya. Walaupun mereka mula menyuarakan kekesalan dengan pilihan dan keputusan yang telah mereka buat terutamanya pada tahun 2008 namun mereka terpaksa menerima hakikat bahawa nasi sudahpun menjadi bubur. Paling tidakpun mereka terpaksa menunggu sehingga ke Pilihanraya Umum yang akan datang untuk mengubah nasib dan keadaan tersebut.

11. Hulu Selangor juga menjadi pentas yang penting kepada parti MIC yang sedang melalui krisis keyakinan dari masyarakat India di negara kita. MIC perlu menang demi survival politik mereka dalam BN dan juga di negara ini. Mereka perlu bangkit membuktikan bahawa MIC masih relevan dan merupakan parti yang boleh menaungi kesejahteraan dan nasib kaum India di negara kita. Lebih menarik lagi apabila Presiden MIC sendiri dijangka akan mengumumkan persaraan yang lebih awal jika BN berjaya memenangi PRK ini.

12. Bagi PKR pula ini adalah misi hidup atau mati mereka. Jelas sekali hampir setiap hari sejak hari penamaan calon tempoh hari ada saja ahli dan juga pemimpin kanan mereka tampil mengisytihar keluar parti dan menyertai UMNO. Ini jelas satu lagi tamparan hebat kepada PKR untuk meneruskan survival politik mereka di negara ini.

13. Walaupun mereka tampil dengan calon yang mempunyai nama dan reputasi yang besar di mana pernah memegang jawatan dalam kerajaan BN sebelum ini berbanding calon muka baru yang ditampilkan oleh BN namun pendedahan demi pendedahan berkaitan pelbagai kepincangan dalaman parti tersebut yang dilakukan oleh bekas ahli parti itu sediri sudah cukup untuk meragut dan menjejaskan reputasi yang diwar-warkan.

14. Pakatan pembangkang juga kali ini kelihatan agak ketandusan isu untuk dijaja mahupun dipolitikkan sebagai modal bagi menarik perhatian pengundi di Hulu Selangor. Malah segala isu yang cuba dibangkitkan oleh mereka juga dapat dijawap dan ditangkis dengan baik oleh BN.

15. Mengambil kira senario ini, adalah jelas bahawa para pengundi telahpun disajikan dengan pelbagai isu menarik berkaitan dengan kedua-dua parti yang bertanding termasuklah isu calon tempatan dan calon luar. Ini diharapkan akan membantu para pengundi untuk menilai sendiri parti mana yang mereka ingin mengundi.

16. Bak kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut turun padang berkempen untuk calon BN, pada masa sekarang para pengundi perlu melihat kepada imej dan kemampuan parti yang bertanding dan bukannya kepada calon yang mewakili parti terbabit. Ini penting demi mewujudkan kesinambungan dalam pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan di kawasan tersebut. Tiada gunanya kita memiliki calon yang hebat jika partinya tidak mampu berbuat apa-apa.

17. Hal ini cukup signifikan kerana adanya perbezaan di antara parti yang memerintah di peringkat pusat dan di peringkat negeri. Misalnya segala projek dan infrastruktur yang hendak dibangunkan oleh kerajaan pusat di kawasan tersebut pastinya akan terjejas dan tergendala andai calon yang menang nanti bukan dari parti yang memerintah kerajaan pusat.

18. Justeru, ini adalah masa dan detik yang paling penting bagi penduduk Hulu Selangor untuk melakukan perubahan yang mereka kehendaki. Kepada para pengundi, anda diberi peluang kedua untuk menentukan nasib sendiri. Pilihan di tangan anda. Anda tidak dipaksa untuk mengundi mana-mana calon yang bertanding. Maka fikirlah semasak-masaknya dan nilailah sendiri kemampuan parti yang bertanding dan seterusnya buatlah keputusan dengan akal yang waras agar tidak lagi menyesal di kemudian hari. Undilah demi masa depan anak cucu anda. SELAMAT MENGUNDI.

No comments: