Thursday, April 22, 2010

MASYARAKAT WAJAR BERUBAH DARI SIKAP ‘LEBIH KURANG’ KEPADA ‘LEBIH TELITI’

1. Sekali lagi Datuk Sri Najib bercakap tentang perubahan sikap yang perlu ada pada masyarakat kita jika ingin mencapai taraf negara maju. Terkini Najib meminta agar masyarakat kita mengikis sikap ‘lebih kurang’ sebaliknya berubah menjadi masyarakat yang lebih teliti seperti di Jepun dan kali ini pentasnya ialah di negara Jepun itu sendiri iaitu salah sebuah negara yang telah kita jadikan sebagai panduan dan juga pengukuran untuk mencapai kemajuan di bawah Dasar Pandang ke Timur.

2. Permintaan ataupun nasihat Najib ini boleh dikatakan hadir tepat pada waktunya agar kita dapat menilai semula prestasi pembangunan negara kita dari segala aspek supaya landasan yang telah dibina untuk mencapai Wawasan 2020 masih kekal kukuh dan relevan.

3. Kita tidak boleh maju jika masih terus mengamalkan budaya ‘lebih kurang’ dalam segala aspek kerja yang kita laksanakan baik di peringkat individu mahupun organisasi.

4. Apabila kita meneliti secara mendalam makna sebenar sikap ‘lebih kurang’, ianya sebenarnya bukanlah suatu perkara mahupun sikap baru yang wujud dalam masyarakat kita. Ianya telahpun menular sekian lama dan sudahpun menjadi budaya ataupun wabak yang cukup serius di kalangan rakyat Malaysia.

5. Banyak contoh-contoh yang boleh kita senaraikan untuk membuktikan kewujudan dan amalan budaya ‘lebih kurang’ dalam masyarakat kita. Senarainya cukup panjang dan ianya perlu dikikis dengan segera.

6. Dalam konteks masyarakat secara umumnya, salah satu contoh yang cukup ketara pada masa sekarang ialah sikap ‘lebih kurang’ kita terhadap penyakit Influenza A (H1N1) di mana masih ramai daripada kita tidak menitikberatkan aspek pembendungan penularan wabak tersebut. Kita masih degil untuk memakai penutup mulut and hidung (mask) walaupun tergolong dalam kategori individu yang berisiko tinggi. Akibatnya jumlah kes ILI dan juga kes positif H1N1 dilaporkan semakin bertambah.

7. Begitu juga halnya dalam aspek pemakanan di mana sikap ‘lebih kurang’ jugalah menyebabkan kita tidak mempedulikan sangat kuantiti gula dan garam yang kita ambil setiap hari yang akhirnya membawa kepada pelbagai komplikasi penyakit kepada kita.

8. Kedua-dua isu kesihatan ini adalah contoh yang nyata yang sedang kita lalui pada setiap hari dan ianya membuktikan bahawa sekali lagi kita tidak peduli ataupun bersikap ‘lebih kurang’ terhadap semua kempen-kempen kesihatan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di samping pihak-pihak lain yang berkaitan.

9. Dari aspek sosial pula misalnya, sikap ‘lebih kurang’ kita terhadap apa yang berlaku di sekeliling menyebabkan masalah-masalah sosial seperti pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, vandalisme, seks bebas serta masalah-masalah disiplin yang melibatkan pelajar sekolah dan juga remaja semakin berleluasa dalam masyarakat kita.

10. Hampir setiap hari kita didedahkan dengan berita-berita seperti di atas yang sememanganya berlaku di kawasan perumahan dan kejiranan kita. Namun kita masih tidak mahu mengambil berat denagn apa yang berlaku selagi ianya tidak kena pada batang hidung kita sendiri. Sikap ‘lebih kurang’ sebeginilah menyebabkan bilangan bayi yang mati dibuang semaking meningkat di samping peningkatan statistik pelbagai salah laku dan masalah sosial di kalangan remaja kita. Percayalah bahawa jika kita masih bersikap seperti ini, masyarakat kita akan semakin parah dan boleh menghancurkan tamadun bangsa yang kita banggakan selama ini.

11. Sikap ‘lebih kurang’ ini juga selalunya dikaitkan dengan sesuatu kerja yang kita laksanakan. Perkhidmatan awam merupakan antara sektor yang sering menjadi sasaran apabila kita membicarakan soal kerja ‘lebih kurang’.

12. Sikap ini seolah-olah begitu sinonim dengan penjawat awam di negara kita. Buktinya kita masih mendengar rungutan dan aduan dari pelanggan bahawa penjawat awam melaksanakn sesuatu tugas secara sambil lewa, cuai dan juga tidak mematuhi tempoh masa yang telah ditetapkan.

13. Sikap dan tingkah laku ini adalah elemen-elemen budaya ‘lebih kurang’ yang ada pada segelintir penjawat awam yang perlu dikikis dengan segera. Sikap ini di kalangan penjawat awam cukup merugikan semua pihak dan akan menjejaskan pelaksanaan dan kejayaan segala program transformasi kerajaan seperti NKRA dan MEB.

14. Ini kerana budaya tersebut boleh mengakibatkan seseorang penjawat awam mahupun sesebuah jabatan kerajaan tersebut tidak dapat berfungsi dengan cekap dan efisyen. Keputusan-keputusan yang dibuat boleh jadi salah ataupun tidak berkesan malah ianya juga boleh menjurus ke arah pembaziran wang rakyat terutamanya apabila melibatkan urusan perolehan.

15. Untuk mengelak kejadian-kejadian seperti itu, penjawat awam yang tergolong dalam kumpulan yang suka mengamalkan budaya ‘lebih kurang’ ini perlu melakukan anjakan paradigma secara besar-besaran dan juga secara menyeluruh dengan segera agar mereka tidak lagi menjadi beban kepada sesebuah jabatan mahupun menjadi punca kegagalan sesuatu program kerajaan.

16. Hal ini penting kerana kejayaan dan kegagalan kesemua program dan inisiatif yang kerajaan lancarkan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat adalah terletak di tangan penjawat awam. Justeru perubahan sikap perlu dilakukan dengan segera.

17. Ketelitian selalunya dikaitkan dengan aspek cerewet. Dalam hal sebegini terutamanya apabila ianya melibatkan isu sosial masyarakat serta kepentingan rakyat maka tidak salahnya untuk kita lebih teliti mahupun cerewet asalkan niatnya adalah betul.

18. Pada masa yang sama, berbeza halnya isilah ‘lebih kurang’ dalam masyarakat perniagaan. Pengguna misalnya cukup seronok jika seseorang peniaga itu boleh mengamalkan budaya ‘lebih kurang’ dalam perniagaanya di mana jika peniaga memiliki sikap ‘lebih kurang’ maka pengguna boleh menikmati sedikit keuntungan terutamanya dari segi harga yang ditawarkan.

19. Para peniaga juga selalunya tidak terlalu berkira dengan pengguna kerana ianya merupakan satu strategi perniagaan yang cukup signifikan kerana sikap ini sekaligus akan membantu meningkatkan perniagaan peniaga tersebut kerana sikap ‘lebih kurang’ peniaga akan mewujudkan hubungan yang baik dengan para pelanggan untuk jangka masa yang panjang.

20. Justeru kesimpulannya ialah, isu ‘lebih kurang’ dan ‘teliti’ perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar dan ianya perlu diadaptasi mengikut keperluan dan senario semasa. Masyarakat dan penjawat awam wajar berubah sikap dari ‘lebih kurang’ kepada ‘lebih teliti’ demi kemajuan bangsa, agama dan negara. Sebaliknya para peniaga perlu terus kekal menyuburkan budaya ‘lebih kurang’ demi kemajuan sektor perniagaan yang boleh menguntungkan kedua-dua pihak yang terlibat iaitu peniaga dan juga pengguna.

No comments: