Friday, April 30, 2010

MASYARAKAT PERLU YAKIN PADA POLIS

1. Insiden seorang remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak polis di Shah Alam baru-baru ini sekali lagi menjadikan pihak polis sebagai sasaran utama kemarahan pelbagai pihak.

2. Sehingga ke saat ini kita masih belum dapat gambaran yang sebenarnya tentang kejadian tersebut untuk membolehkan kita membuat kesimpulan bahawa siapa yang benar dan siapa yang bersalah.

3. Namun pelbagai andaian dan tuduhan sudah mula kedengaran yang kesemuanya menuding jari menyalahkan pihak polis lantaran bermacam-macam tuduhan mula dilemparkan kepada mereka seperti kononya pihak polis zalim, menganiaya remaja yang tidak bersalah dan cuba menyembunyikan fakta sebenar sekaligus menutup kes terbabit.

4. Penulis berpendapat adalah tidak wajar dan adil untuk kita membuat tuduhan melulu sebegitu dengan terlalu cepat dan tanpa asas yang kukuh. Kita perlu memberi ruang yang secukupnya kepada panel khas yang telah ditubuhkan yang akan diketuai oleh Datuk Wira Abu Seman Yusop untuk menjalankan siasatan mereka secara terperinci.

5. Apa yang berlaku sekarang ialah terdapat beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan oprtunis yang dilihat mula mengambil peluang dan kesempatan ini untuk menjadikan ianya isu politik dan mula menanamkan rasa benci di kalangan rakyat terhadap pihak polis.

6. Golongan sebegini sememangnya pandai memutar belitkan sesuatu kejadian untuk kepentingan dan agenda peribadi mereka. Ironiknya apa yang pelik adalah mereka begitu mudah memujuk dan mempengaruhi sebilangan masyarakat yang taksub dan percaya dengan mereka.

7. Kita memang simpati dengan keluarga mangsa terbabit serta nasib yang menimpa remaja tersebut apatah lagi pada usia yang begitu muda dan masih bersekolah namun kita perlu yakin dan percaya dengan undang-undang yang ada di negara kita.

8. Ketidakpercayaan dan ketidakyakinan kita terhadap pihak polis seolah-olah menunjukkan kita tidak yakin dan tidak percaya dengan sistem undang-undang dan keadilan negara kita.

9. Sewajarnya kita puji pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis yang telahpun mengambil tindakan susulan yang segera dengan menubuhkan pasukan khas di samping merehatkan anggota polis yang terbabit dari menjalankan tugas rondaan kepada tugas pentadbiran di pejabat. Tambahan pula Kabinet sendiri kelmarin telah membincangkan hal ini dan melahirkan rasa sedih dan simpati dengan apa yang telah berlaku.

10. Ini membuktikan bahawa pihak polis dan juga kerajaan memandang serius insiden ini dan telahpun memulakan langkah yang sepatutnya untuk mencari kebenaran di sebalik kejadian tersebut.

11. Maka adalah elok untuk kita sama-sama bersabar dan memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada pasukan khas tersebut menjalankan siasatan. Tindakan sesetengah pihak yang cuba mengapi-apikan baik pihak keluarga mangsa mahupun masyarakat pastinya akan menggangu tugas penyiasatan pasukan khas ini.

12. Pada masa yang sama masyarakat juga perlu sedar tentang pengorbanan dan sumbangan anggota-anggota Polis kita. Penurunan kadar jenayah, penjagaan keselamatan diri dan negara kita selama ini dijaga dan dipelihara oleh mereka dengan sebaik yang mungkin. Pada hari ini kita masih selamat untuk berada di jalanan di mana-mama sahaja dalam negara kita berbanding apa yang berlaku di negara-negara jiran seperti di Thailand misalnya yang sedang bergolak dan tidak selamat.

13. Jangan kita mudah lupa di mana ramai anggota polis turut cedera malah ada yang mati semasa menjalankan tugas untuk mempertahankan keamanan dan keselamatan negara kita. Mereka bertugas siang dan malam demi keselamatan kita. Mereka tidak pernah meminta balasan untuk apa yang telah mereka lakukan selama ini.

14. Walaupun kita masih berat mulut dan kedekut untuk berterima kasih kepada mereka sekurang-kurangya jangalah mencaci mereka hanya disebabkan insiden seperti ini. Tiada gunanya kita berkelakuan seperti itu yang akhirnya akan merugikan semua pihak. Siapa lagi yang boleh menjga keselamatan kita jika bukan polis? Andai kata anggota tersebut bersalah sekalipun biarlah ianya mereka diadili dengan sebaik yang mungkin berlandaskan undang-undang yang sedia ada.

15. Justeru kita berharap agar pihak polis tidak putus asa dan kecewa dengan apa yang sedang menimpa mereka dan diharapkan peristiwa ini menjadi satu pengajaran dan pengalaman yang berguna sekaligus menaikkan lagi semangat mereka untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara. Ingatlah bahawa tidak semua orang marah dan benci kepada polis, masih ramai yang yakin dengan kemampuan dan kebolehan polis Malaysia.

No comments: