Monday, April 26, 2010

TERIMA KASIH HULU SELANGOR, MASA UNTUK BN TUNAI JANJI

1. Akhirnya Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor yang ‘dipinjamkan’ sementara kepada pihak lawan selama hampir dua tahun sejak PRU12 pada tahun 2008. Tambahan pula ianya merupakan kerusi tradisi BN sejak dulu lagi.

2. Jumlah 24,997 undi yang diterima oleh P. Kamalanathan cukup besar nilai dan maknanya kepada BN terutamanya kepada Perdana Menteri, datuk Sri Najib. Walaupun peratusan yang keluar mengundi tidaklah begitu tinggi dan berbeza dengan jumlah yang keluar mengundi pada tahun 2008 namun jumlah majoriti sebanyak 1,725 undi adalah jauh lebih besar berbanding kemenangan calon PKR pada tahun 2008.

3. Setiap satu undi yang diterima oleh calon BN ini boleh diterjemahkan sebagai undi kepercayaan rakyat kepada Datuk Sri Najib dan kepimpinan beliau sejak satu tahun yang lalu. Ianya juga mencerminkan keyakinan rakyat terhadap segala inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh beliau.

4. Fenomena ini menunjukkan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan segala pembaharuan yang beliau lakukan. Kemenangan ini juga mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila buat pertama kali Najib selaku Pengerusi BN sendiri turun padang berkempen yang sekaligus membuka satu lagi dimensi baru dalam lanskap politik tanahair.

5. Tambahan pula buat pertama kali juga dalam pilihanraya kecil ini kita dipertontonkan gabungan tenaga tiga pemimpin utama negara iaitu Datuk Sri Najib, Tan Sri Muhyiddin dan juga Tun Dr. Mahathir, malah mereka telahpun berkongsi satu pentas yang sama pada malam kemuncak kempen.

6. Beberapa kejadian ‘luar biasa’ seperti ini yang jarang-jarang berlaku dikatakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan BN kali ini.

7. Kemenangan yang diidamkan sudahpun dirai, rakyat telah menunaikan janji mereka dengan memberi peluang kedua kepada BN maka tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak terutamanya rakyat Hulu Selangor iaitu sejauhmana BN akan menunaikan segala janji yang mereka berikan sepanjang kempen tempoh hari.

8. Rakyat menunggu dengan penuh harapan agar BN dapat tunaikan janji mereka dengan segera yang merangkumi pelbagai aspek seperti isu pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas, kebajikan, peluang pekerjaan, pendidikan, kemudahan kesihatan, peluang perniagaan serta jalan penyelesaian kepada masalah-masalah lapuk yang belum dapat diselesaikan sehingga kini.

9. Bak kata BN memang mereka tidak menjanjikan bulan dan bintang, maka begitu juga halnya harapan pengundi yang juga bukan mahukan bulan dan bintang, apa yang mereka mahu hanyalah perkara-perkara asas untuk hidup lebih selesa dan aman.

10. Kata perlu dikota, janji perlu ditunaikan. Kamalanathan hanya ada lebih kurang dua tahun sahaja lagi sebelum PRU13 untuk menunaikan segala janjinya dan meyakinkan para pengundi bahawa beliau adalah pilihan yang tepat. Tempoh masa dua tahun bukanlah suatu jangka masa yang panjang maka segala kerja yang perlu dilaksanakan wajar dimulakan dengan segera. Tiada lagi ruang untuk berbulan madu merai kemenangan.

11. Ini penting bagi Kamalanathan kerana walaupun berjaya memenangi kerusi tersebut namun beliau bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk terus kekal sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor.

12. Di samping cabaran untuk menunaikan segala janjinya semasa kempen, beliau juga perlu mengambilkira cabaran dari segi meyakinkan baki 23,272 orang pengundi yang masih menyokong parti lawan. Jumlah ini bukanlah suatu jumlah yang kecil dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja jika BN mahu kekalkan kerusi ini pada PRU13 kelak. Kamalanathan perlu buktikan bahawa beliau lebih baik dari lawannya untuk menarik sokongan pengundi tersebut.

13. Pada masa yang sama satu lagi cabaran beliau ialah hakikat bahawa Negeri Selangor berada di bawah pemerintahan pakatan rakyat maka beliau pastinya akan menhgadapi pelbagai kekangan, halangan dan rintangan untuk meneruskan khidmat beliau seperti yang dijanjikan. Oleh yang demikian, perkara ini juga perlu diperhalusi dan ditangani oleh Kamalanathan dengan penuh berhemah dan berhati-hati.

14. Harapan besar diletakkan oleh semua pihak di bahu Kamalanathan yang diharap bukan sahaja boleh menaikkan nama dan imej BN malah lebih penting lagi ialah mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap parti MIC yang perlu kekal relevan untuk memperjuangkan nasib kaum India di negara ini.
 
15. Kemenangan ini juga memberikan peluang kedua kepada MIC untuk membuktikan keikhlasan mereka dalam membela kedudukan kaum India agar maju ke hadapan seangkatan dengan kaum-kaum lain di negara kita.

16. Justeru diharapkan Kamalanathan tidak leka dan dibuai mimpi dengan kemenangan ini dan segera sedar akan tanggungjawab berat yang menantinya. Beliau perlu meyakinkan para pengundinya bahawa mereka membuat keputusan yang tepat dan bijak. Sekalung tahniah kepada Datuk Sri Najib, Tan Sri Muhyiddin dan seluruh jentera BN yang bertungkus lumus memastikan kejayaan calon BN. Selamat bertugas YB Kamalanathan.

No comments: