Monday, February 14, 2011

ANTARA KACA DAN PERMATA
1. Antara intipati penting perutusan tahun baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah mengingatkan seluruh masyarakat bahawa ini bukanlah masa untuk bereksperimen tetapi waktu untuk memperbaharui kepercayaan dan mengukuhkan keyakinan kepada apa yang telah terbukti berkesan.

2. Mesej ini walaupun ringkas tetapi dilihat cukup padat dan membawa makna yang amat penting demi meneruskan kelangsungan kemajuan dan pembagunan negara kita. Najib juga menekankan bahawa kuasa membentuk adalah di tangan rakyat dan meminta rakyat menunaikan tanggungjawab ini sebaik yang mungkin.

3. Ini kerana kesilapan yang dibuat oleh generasi pada hari ini akan meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada generasi yang akan datang. Justeru Najib juga meminta agar rakyat tidak memperdagang atau mempertaruhkan nasib generasi akan datang dengan membuat keputusan yang salah.

4. Peringatan yang sarat dengan nasihat yang cukup signifikan seperti ini dilihat hadir tepat pada waktunya. Ianya sepatutnya menyedarkan segelintir rakyat kita yang masih lupa, leka dan tidak sedar dengan apa yang berlaku di sekeliling terutamanya perkembangan politik semasa tanah air.

5. Rakyat kita memang suka untuk melakukan eksperimen yang bahaya dan berisiko tinggi atas pelbagai alasan seperti marah, memberi peluang kepada orang lain dan juga kononnya untuk menilai kemampuan pihak lain.

6. Buktinya, eksperimen yang paling mahal harganya berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada tahun 2008. Rakyat yang dilihat marah dan tidak berpuas hati akibat pelbagai tuduhan dan tohmahan pihak yang tidak bertanggungjawab membuat satu keputusan beremosi yang cukup berisiko tinggi dengan mengalihkan sokongan mereka melalui peti undi. Akibatnya kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan sahaja hilang majoriti di Parlimen buat pertama kali malah lima buah negeri jatuh ke tangan pihak lawan.

7. Kesannya mula dirasai sekarang dan walaupun ada nada penyesalan namun nasi telapun menjadi bubur. Keputusan salah, beremosi dan terburu-buru yang dibuat pada masa itu mengundang pelbagai masalah pada hari ini terutamanya dalam proses melestarikan pembangunan negara secara keseluruhan.

8. Kita perlu akui bahawa rekod pemerintahan BN sebagai parti pemerintah sejak merdeka tidak boleh dipertikaikan lagi. Kemajuan demi kemajuan yang dicapai oleh negara dari Perdana Menteri pertama hingga kepada Najib sekarang cukup cemerlang, jelas, nyata dan berkesan. Ini adalah hakikat yang tidak boleh kita nafikan.

9. Walaupun kepimpinan berubah tetapi misi dan wawasan nasional tetap berada di landasan yang betul dan menjadi agenda nasional yang utama setiap pemimpin yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Justeru buat apa lagi perlu bereksperimen? Apakah bukti yang ada selama ini masih belum mencukupi? Kenapa kita perlu memperjudikan nasib anak cucu kita dek kerana kesilapan keputusan kita pada hari ini?

10. Kita perlu ingat bahawa apa yang ada pada hari ini adalah apa yang telah dipinjamkan kepada kita oleh generasi yang akan datang di mana kita perlu memulangkan semula kepada mereka bila sampai masanya. Justeru negara yang bagaimana yang hendak kita pulangkan atau wariskan kepada generasi yang akan datang?

11. Seperti kata Najib, sudah sampai masanya untuk rakyat benar-benar menilai yang mana kaca dan yang mana permata. Masyarakat perlu sedar bahawa semua program yang sedang dan hendak dilaksanakan oleh kerajaan tidak akan membawa sebarang hasil jika rakyat tidak menaruh kepercayaan yang penuh dan membantu melaksanakannya bersama-sama dengan kerajaan.

12. Program Transformasi Kerajaan (GTP) bersama enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan 12 NKEAnya, sebagai teras kepada Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia ke-10 dan Bajet 2011 yang merupakan peta laluan komprehensif untuk mengangkat taraf dan mutu hidup lebih tinggi kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah dilancarkan oleh Najib dan pihak kerajaan tidak akan berjaya jika rakyat membuat keputusan dan pilihan yang salah. Program-program ini adalah kunci utama dalam kita merealisasikan hasrat untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan seterusnya mencapai Wawasan 2020 yang hanya berbaki sembilan tahun sahaja lagi.

13. Justeru ini bukanlah masa untuk kita terus berkesperimen. Marilah kita berpaut dan berpegang teguh kepada kerajaan yang secara serius dan terus menerus melaksanakan pelbagai inisiatif dan pembaharuan demi kemajuan dan kebajikan rakyat secara keseluruhan. Gunakanlah kuasa yang ada sebijak yang mungkin tanpa dipengaruhi dengan emosi dan propaganda pihak yang tidak bertanggungjawab.

14. Tiada gunanya kita bertelagah memikirkan perkara-perkara yang remeh dan tidak menguntungkan hanya kerana perbezaan pendapat mahupun ideologi politik yang jelas merugikan kita. Ingat, adalah menjadi tanggungjawab kita pada hari ini untuk mencorakkan masa depan yang lebih baik dan cemerlang untuk generasi yang akan datang.

No comments: