Monday, February 14, 2011

HARGAI KEUNIKAN KITA, HORMATI PERBEZAAN AGAMA
1. Menghargai kepelbagaian budaya serta kepercayaan dan saling menghormati kepercayaan perbezaan agama adalah dua mesej yang jelas dan padat dari Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri yang disampaikan dalam perutusan sempena sambutan Thaipusam tahun ini.
2. Ternyata kedua-dua pemimpin utama negara begitu menitikberatkan dua elemen ini yang dilihat sebagai kunci utama ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu dalam menuju Wawasan 2020 dan juga mencapai status negara berpendapatan tinggi.
3. Persoalannya ialah kenapa kedua-dua pemimpin utama ini menyuarakan hasrat yang sama? Jika kita meneliti beberapa insiden yang berlaku mutakhir ini ternyata kerisauan mereka ada asasnya.

4. Kepelbagian rakyat Malaysia dari segi budaya dan agama telah menobatkan kita sebagai sebuah negara yang sangat unik. Ini kerana semua rakyat diberi kebebasan yang mutlak dalam mengamalkan ajaran agama dan kepercayaan masing-masing tanpa sebarang kekangan, batasan mahupun halangan walaupun agama Islam telah diisytihar sebagai agama rasmi negara kita.

5. Buktinya, bilangan ruma-rumah ibadat orang bukan Islam tumbuh bagaikan cendawan tanpa sebarang halangan daripada pihak kerajaan. Perayaan setiap agama juga dibenarkan disambut secara besar-besaran seperti Thaipusam baru-baru ini. Malah ada negeri yang memberikan cuti umum untuk menyambut Thaipusam sebagai satu hadiah dan kemudahan kepada penganut agama Hindu di negara ini. Begitu juga halnya dengan penganut agama Kristian dan juga Buddha yang turut disediakan ruang dan peluang yang secukupnya untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.

6. Selama ini kita hidup dalam keadaan yang aman dan damai serta harmoni dengan memegang kuat kepada sifat toleransi yang tinggi dan terpuji. Orang Melayu menghormati agama dan kepercayaan orang Cina dan India dan begitu juga di sebaliknya. Sifat terpuji sebeginilah yang telah menjadi tunjang dan tulang belakang kepada kemajuan kita sebagai sebuah bangsa yang berjaya.

7. Kebijaksanaan pemimpin-pemimpin kita selama ini dalam melihat persamaan dalam perbezaan yang wujud seterusnya memupuk budaya saling menghormati di antara kita membolehkan kita kekal aman dan harmoni seterusnya menjadi sebuah negara membangun yang disegani oleh semua pihak.

8. Buktinya pemimpin-pemimpin luar turut mengakui dan mengiktiraf kehebatan keunikan yang ada pada kita. Terbaru Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton semasa pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri di Jabatan Negara AS kagum dengan apa yang telah dicapai oleh Malaysia sehingga melabel Malaysia sebagai model negara membangun. Pengiktirafan ini adalah berdasarkan penilaian AS terhadap tiga (3) perkara asas dan utama yang dimiliki oleh Malaysia iaitu kesuburan sistem demokrasi, mempunyai kerajaan yang efektif dan mengalami pembangunan ekonomi yang baik.

9. Malah sebelum ini Mufti Syria, Sheikh Ahmad Badr al-Deen pernah menyifatkan Malaysia sebagai model masyarakat majmuk dengan kiasan bahawa ianya sebagai ‘bunga-bunga yang berkembang di dalam taman’.

10. Ini menunjukkan bahawa pemimpin dunia dan negara luar mengakui kehebatan negara kita dalam pelbagai aspek baik poltik, sosial mahupun ekonomi sehingga memberikan pengiktirafan seperti di atas. Masyarakat dunia melihat kemajmukan kita sebagai suatu yang pelik dan mustahil tetapi selama ini kita berjaya buktikan bahawa kita boleh maju dan membangun sebagai satu bangsa dan satu suara.

11. Keunikan yang kita ada pada hari adalah hasil kemuafakatan pemimpin terdahulu yang mewakili semua kaum berpaksikan kontrak sosial dan Perlembagaan yang menjadi asas kepada kejayaan kita selama ini. Bukan mudah untuk mempertahankan warisan turun temurun ini. Dewasa ini terlalu banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa kita tempuhi dalam mempertahankan perpaduan dan keharmonian kaum tersebut.

12. Justeru adalah menjadi tanggungjawab kita, generasi hari ini untuk terus mempertahankan keunikan tersebut dengan terus menyuburkan rasa saling menghormati dan memahami budaya dan kepecyaan semua kaum di Malaysia.

13. Untuk itu kita perlu menepis segala prejudis dan prasangka yang ada dengan melihat persamaan dalam perbezaan yang ada agar kita terus kekal harmoni. Kita perlu mengelak kejadian-kejadian yang boleh melebarkan lagi tembok prasangka dan prejudis yang boleh menjejaskan perpaduan kita.

14. Semua pihak perlu menhormati kepercayaan dan budaya agama lain. Insiden seperti membakar novel Interlok, mencemar Masjid dan mempersoalkan laungan azan serta hasutan berbentuk perkauman sewajarnya dielakkan kerana ianya boleh menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati pihak lain yang sekaligus akan menjejaskan jambatan perpaduan yang telah dibina selama ini.

15. Dalam hal seperti ini, kita sebagai rakyat Malaysia wajar bersyukur dengan nikmat keamanan yang kita lalui sekarang berbanding negara luar yang sering tegang dan dilanda konflik dengan bukan sahaja pergolakan sesama etnik mereka malah berlaku berbagai perbalahan di antara kaum imigran lain di negara masing-masing.

16. Wawasan 2020 dan impian untuk menjadi sebuah negara maju dan negara berpendapatan tinggi adalah cita-cita murni pihak kerajaan untuk manfaat generasi masa depan. Justeru kerajaan yang ada pada hari ini memerlukan sokongan, kepercayaan dan keyakinan dari segenap lapisan masyarakat yang perlu bersatu padu, bermuafakat dan bertolak ansur dalam konteks 1Malaysia agar impian dan cita-cita murni tersebut dapat direalisasikan

No comments: