Wednesday, February 23, 2011

BANTUAN PASCA BANJIR PERLU DIPERTINGKATKAN, AKTIVITI KESUKARELAWAN PERLU DISUBURKAN
1. Tanggal 19 Februari yang lepas penulis berpeluang untuk melalui satu pengalaman yang cukup bermakna dan berharga apabila menyertai sepasukan 30 orang sukarelawan pasca banjir yang terdiri daripada staf Pusat Kesihatan Universiti, UPM Serdang dalam program bantuan pasca banjir di Segamat, Johor.
2. Ini adalah program kedua seumpamanya selepas bantuan pertama di Kedah tempoh hari di mana penulis tidak berkesempatan untuk menyertainya. Maka peluang kali ini tidak dilepaskan begitu sahaja malah disahut dengan penuh bersemangat bersama-sama dengan rakan-rakan penulis yang lain.
3. Program kali ini melibatkan proses pembersihan dan pencucian beberapa buah rumah yang rosak teruk akibat banjir besar tempoh hari di Kampung Batu Badak Seberang, Segamat yang boleh dikategorikan sebagai antara kampung yang mengalami kemusnahan yang teruk.

4. Apa yang openulis ingin kongsi bersama disini ialah sebuah realiti kehidupan mangsa banjir yang amat mengharapkan bantuan dari pelbagai aspek pada ketika waktu selepas banjir surut atau lebih dikenali sebagai bantuan pasca banjir.

5. Program bantuan kami yang diselaraskan melalui kerjasama Majlis Daerah Segamat ini berjaya menghasilkan beberapa penemuan dan kisah sedih yang cukup menyayat hati penulis dan juga rakan-rakan sukarelawan yang lain.
6. Apa yang nyata masih ada sebilangan mangsa banjir yang belum mendapat perhatian dan bantuan yang sewajarnya. Ini menyebabkan keadaan mereka cukup susah dan daif.
7. Malah ada ketika penulis hampir menitiskan air mata mengenangkan nasib beberapa orang mangsa banjir di kampung tersebut antaranya seorang mangsa banjir yang hanya mahu dikenali sebagai Makcik Timah yang hidup bersama suaminya dalam sebuah rumah papan yang sangat daif, rosak, kotor dan usang.
8. Lebih malang lagi Makcik Timah mengalami masalah pendengaran dan pasangan warga emas ini menyara kehidupan mereka melalui hasil tangkapan sungai suaminya. Keadaan rumah yang begitu usang dan rosak tersebut menjadi bertambah rosak dan usang angkara banjir besar tersebut yang menurut Ketua Kampung dan beberapa orang penduduk lain bahawa banjir kali ini adalah yang paling besar yang mereka alami dalam sejarah 30 tahun yang lepas.
9. Akibatnya Makcik Timah yang uzur ternyata tidak mampu dan terdaya untuk membersihkan segala kerosakan, sampah dan lumpur yang disebabkan oleh banjir tersebut namun raut wajahnya tidak pernah menunjukkan kesedihan sebaliknya sentiasa mengukir senyuman tatkala menyambut ketibaan kami sehinggalah kami selesai membersihkan rumah beliau.
10. Malah kami juga begitu teruja apabila dikejutkan dengan kemahiran dan kebolehan berpantun Makcik Timah yang begitu mencuit hati dan juga mengharukan.
11. Dalam pada itu seorang lagi mangsa banjir yang dikenali sebagai Makcik Besar yang tinggal sebatang kara juga melalui pengalaman yang cukup mengerikan di mana air bah yang melanda rumah beliau telah mencecah ke paras bumbung rumah beliau yang sekaligus merosakkan sama sekali segala jenis peralatan dan perkakasan rumah beliau.
12. Pakaian, bantal, tilam dan pelbagai jenis barangan rumah termasuk perabot terdampar di sekeliling luar rumah beliau tanpa sebarang bantuan pembersihan dari mana-mana pihak.
13. Itu adalah antara dua kisah mangsa banjir di Kampung Batu Badak Seberang yang meruntun hati dan perasaan penulis dan rakan-rakan yang lain. Hal ini menunujukakn betapa pentingnya keprihatinan dan bantuan pasca banjir kepada mangsa banjir.
14. Golongan seperti ini sangat mengharapkan bantuan untuk membantu mencuci, membersih dan mengemas rumah mereka selain bantuan bekalan makanan yang biasa disalurkan oleh pelbagai pihak.
15. Dalam erti kata lain, mereka memerlukan bantuan sumber tenaga manusia atas nama sukarelawan untuk membantu mereka. Ternyata sekali lagi terbukti bahawa walaupun pelbagai pihak menjalankan aktiviti kesukarelawan namun ianya masih belum mencukupi.
16. Justeru anggota masyarakat perlu disedarkan tentang kepentingan aktiviti kesukarelawan dan ianya perlu terus disuburkan secara berterusan kerana bencana boleh berlaku pada bila-bila masa dan juga dalam pelbagai bentuk. Jika kesedarapan dapat disuburkan kita percaya ianya boleh melahirkan lebih ramai lagi sukarelawan yang sanggup mengorbankan tenaga dan masa bagi membantu mangsa yang dilanda bencana dan musibah seperti ini.
17. Dalam pada itu pengamatan penulis di kampung tersebut juga menunjukkan bahawa kita juga perlu memberi perhatain yang khusus kepada satu lagi aspek iaitu jenis bantuan yang hendak disalurkan semasa bantuan pasca banjir.
18. Pengalaman penulis mendapati mangsa banjir menghadapi masalah kerosakan dan kemusnahan harta benda yang teruk seperti pakaian, perkakasan rumah seperti perabot, barang elektrik, dapur serta tilam dan bantal.

19. Tetapi malangnya kebanyakkan daripada kita lebih menitikberatkan kepada bantuan makanan semata-mata sehingga beras, gula, susu dan sardin berlonggok di rumah mereka namun mereka tiada kerusi untuk duduk mahupun tilam dan bantal untuk tidur mahupun perakakasan dapur untuk masak. Kita lupa yang mereka juga memerlukan barangan seperti itu untuk meneruskan kehidupan mereka selepas banjir. Hal ini penting kerana tidak semua daripada mereka berkemampuan untuk membeli barang-barang yang rosak tersebut.
20. Justeru dalam hal ini apa yang ingin penulis syorkan kepada semua pihak yang ingin menyalurkan bantuan pasca banjir agar terlebih dahulu melaksanakan satu proses penilaian ke atas keperluan mereka ataupun dikenali sebagai penilaian pasca banjir sebelum membeli barangan yang hendak disalurkan.
21. Melalui proses penilaian ini kita boleh mendapatkan maklumat terperinci jenis bantuan yang mereka perlukan dan seterusnya boleh kita beli dan salurkan kepada mereka yang jelas akan banyak membantu mengurangkan beban mereka. Biarlah kita dapat memberikan apa yang mereka kehedaki dan bukannya beri apa yang hendak kita berikan.
22. Semoga Makcik Timah dan Makcik Besar tabah menghadapi dugaan ini dan diharapkan bantuan pasca banjir dapat dipertingkatkan dan diperluaskan dengan segera kerana masih ramai lagi yang memerlukan bantuan kita.
23. Terima kasih UiTM Segamat kerana menyediakan penginapan kepada kami. Terima kasih Majlis Daerah Segamat kerana menyelaraskan misi bantuan kali ini. Terima kasih Makcik Timah, Makcik Besar, Ketua Kampung dan seluruh penduduk Kampung Batu Badak Seberang kerana memberikan kami satu pengalaman yang sangat bermakna dalam hidup kami. Ianya memberi semangat dan kekuatan kepada kami semua untuk meneruskan lagi aktiviti kesukarelawan seperti ini pada masa-masa akan datang.

No comments: