Monday, February 14, 2011

HARGAI USAHA KERAJAAN, BELAJAR UNTUK BERSYUKUR
1. Akhirnya Ops Piramid yang dilancarkan oleh pihak kerajaan untuk menyelamatkan dan membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir menampakkan hasil yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak terutamanya para ibu bapa pelajar dan rakyat Malaysia.
2. Kelmarin kumpulan pertama rakyat Malaysia seramai 778 orang kembali ke tanah air melalui pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia dari Jeddah dan lebih manis lagi kepulangan mereka disambut oleh Perdana Menteri sendiri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kumpulan pertama ini terdiri daripada 459 orang penumpang MAS manakala 319 lagi penumpang AirAsia.

3. Pada masa yang sama operasi membawa keluar rakyat kita dari Mesir juga ditamatkan secara rasminya kelmarin dengan dua penerbangan terakhir berlepas dari negara bergolak itu menuju ke Jeddah, Arab Saudi. Dua penerbangan tersebut membabitkan pesawat Charlie C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan AirAsia melalui Kaherah serta Iskandariah.
4. Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail, dari Iskandariah seramai 151 pelajar diterbangkan ke Jeddah dengan menaiki AirAsia manakala pesawat Charlie pula mengangkut 110 pelajar melalui Kaherah.

5. Kejayaan menyelamatkan rakyat Malaysia dengan membawa keluar dari mesir ini sewajarnya dilihat dari sudut yang lebih positif dan sebagai suatu kejayaaan yang cukup membanggakan. Tetapi penulis rasa cukup kecewa dengan beberapa tuduhan liar yang dilemparkan terhadap usaha murni kerajaan tersebut.

6. Tuduhan bahawa misi ini ada agenda politik tersembunyi, kerajaan lambat bertindak, kononnya pelajar terpaksa membayar tambang perjalanan, keadaan pelajar di Jeddah terbiar tanpa perhatian pegawai yang berkenaan dan lebih menyedihkan apabila ada pihak yang tergamak mengeluarkan kata-kata yang cukup menyakitkan hati seperti 'dicampak ke Jeddah macam binatang'.

7. Kita rasa cukup tidak selesa apabila isu nasional dan keselamatan rakyat seperti ini dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan polemik oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan yang sentiasa bersikap oportunis dengan cuba mencari kesalahan pihak kerajaan dan menghentam kerajaan demi survival politik dan kepentingan diri.

8. Apakah golongan yang lupa daratan dan tidak tahu untuk bersyukur ini sedar betapa susahnya untuk menguruskan operasi menyelamat ini melalui Ops Piramid? Bukan mudah untuk kita memasuki sebuah negara yang sedang hebat bergolak dengan pelbagai karenah birokrasi dan keselamatan dan seterusnya mengeluarkan rakyat kita dan dibawa pula ke sebuah negara lain untuk penempatan sementara dan kemudiannya membawa pulang ke tanah air. Adakah golongan ini sedar akan kesusahan dan kepayahan dalam melaksanakan misi tersebut?

9. Dalam pada itu kita juga rasa agak kecewa apabila masih ada segelintir rakyat kita terutamanya pelajar yang berjaya diselamatkan tetapi masih tidak bersyukur yang nyawa mereka berjaya diselamatkan tetapi lebih memberi tekanan kepada pihak kerajaan untuk mengatasi isu pengajian mereka di Mesir.

10. Kita akui bahawa kerisauan mereka tentang aspek pengajian masing-masing memang ada asasnya terutamanya bagi mereka yang sedang dan bakal menduduki peperiksaan serta pelajar tahun akhir namun dalam keadaan getir sebegini di mana nyawa menjadi pertaruhan, adakah peperiksan lebih penting daripada nyawa masing-masing? Sudah semestinya sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab ke atas aspek keselamatan rakyatnya, nyawa dan keselamatan rakyat menjadi pilihan utama pihak kerajaan kita.

11. Dalam hal ini mereka juga wajar berterima kasih sekali lagi kepada pihak kerajaan kerana pihak Kementerian Pengajian Tinggi sedang berusaha dan berjanji akan membantu mereka dalam soal pengajian mereka dengan pilihan terkini para pelajar diberi pilihan untuk menyambung pengajian di dalam negara.

12. Ini menunjukkan betapa pihak kerajaan mengambil berat dan tidak sama sekali melepaskan tanggungjawab sekadar membawa mereka pulang sahaja. Sebaliknya kerajaan terus berusaha untuk membantu mereka dari segi penginapan sementara di sini sehingga keadaan reda di Mesir serta membantu dalam urusan pengajian mereka.

13. Jadi kita berharap sangat agar semua pihak terutamanya yang terlibat secara langsung seperti rakyat Malaysia yang diselamatkan dan juga ahli keluarga mereka agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak menuduh sebarangan mahupun terpengaruh dengan dakyah pihak yang tidak bertanggungjawab.

14. Kita perlu sedar bahawa dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu sihat seperti sekarang, kos operasi menyelamat ini menjadi cukup tinggi di mana di samping pihak kerajaan terpaksa menanggung sebahagian kos yang terlibat, pihak kerajaan juga terpaksa meminta ihsan syarikat-syarikat korporat melalui tanggungjawab sosial mereka seperti yang telah dilaksanakan oleh MAS dan AirAsia di samping Lembaga Tabung Haji. Percayalah bahawa bukan mudah untuk melaksanakan operasi besar seperti ini yang merentasi sempadan dan kuasa beberapa buah negara.

15. Justeru belajarlah untuk menghargai usaha murni pihak kerajaan seperti ini. Tanggungjawab dan keprihatinan pihak kerajaan ini wajar dihargai dan disanjung tinggi. Syukurilah peluang yang diberikan dengan mengambil iktibar daripada pergolakan yang berlaku di negara luar seperti Mesir sekarang. Tahniah kepada pihak kerajaan dan juga semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Ops Piramid ini.

No comments: