Monday, February 14, 2011

PERKUKUH PERPADUAN SEMPENA TAHUN ARNAB
1. Musim perayaan kembali menjenguk kita. Sebagai sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai latar belakang lapisan rakyat kita berasa cukup bertuah kerana disajikan dengan berbagai jenis sambutan perayaan sepanjang tahun. Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, Deepavali, Hari Natal dan juga perayaan lain secara bergilir terus mewarnai kehidupan rakyat Malaysia sepanjang tahun.
2. Sebagai pembuka dan permulaan kita akan mulakan sambutan perayaan yang besar bagi tahun 2011 dengan sambutan Tahun Baru Cina pada 3 dan 4 Februari 2011 ini. Sekali lagi tahun ini rakyat kita yang berketurunan Tionghua akan menyambut tahun baru dalam susana yang cukup aman, makmur dan meriah.
3. Untungnya kita di Malaysia ialah rakyat diberi kebebasan yang mutlak untuk mengamalkan dan merayakan sambutan keagamaan dan perayaan masing-masing tanpa sebarang halangan mahupun sekatan selagi ianya tidak mengganggu orang lain mahupun menyentuh sensitiviti kaum lain.

4. Kita juga sudah terlalu terbiasa dengan budaya kunjung mengunjung dan tradisi rumah terbuka bagi merayakan sesuatu perayaan secara bersama dalam konteks 1Malaysia di mana semua kaum akan mengambil peluang untuk menziarahi rakan daripada kaum lain bagi memperkukuh dan mempereratkan lagi perpaduan dan tali persaudaraan sesama kita.

5. Pada tahun ini Tahun baru cina jatuh pada Tahun Arnab iaitu daripada jenis ‘arnab logam’ yang disifatkan sebagai akan membawa berita baik kepada ekonomi dunia yang boleh dikatakan sebagai satu berita gembira kepada seluruh masyarakat perniagaan.

6. Harapan kita ialah perkembangan yang baik dalam dunia perniagaan akan menjurus ke arah pemulihan dan pencapaian ekonomi negara kita dan juga dunia yang lebih positif dan meyakinkan.

7. Hal ini penting kerana kita memerlukan pertumbuhan ekonomi yang mapan, meyakinkan dan berterusan mulai tahun ini untuk mencapai Wawasan 2020 yang hanya berbaki 9 tahun di samping mencapai impian untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

8. Ekonomi yang makmur dan maju juga akan menjadi nadi kemakmuran sesebuah negara. Justeru kita percaya jika ekonomi kita terus pulih dan mengalami pertumbuhan yang positif akan membolehkan pihak kerajaan menyediakan lebih banyak lagi kemudahan dan keperluan rakyat jelata demi menjaga kebajikan semua lapisan masyarkat.

9. Justeru kedatangan Tahun Arnab ini perlu disambut oleh semua lapisan masyarakat dalam konteks 1Malaysia agar kita dapat terus menyuburkan perpaduan dan kemesraan sesama kita yang sedia terjalin selama ini.

10. Keunikan kita adalah kepelbagaian yang kita miliki. Maka kita perlu hargai kelebihan tersebut dengan cara menjaga dan mempertahankan perpaduan yang ada melalui menghormati kontrak sosial yang telah dimuktmadkan oleh pemimpin terdahulu.
11. Hanya perpaduan mampu membawa kejayaan kepada negara kita secara menyeluruh. Kita tidak mampu pergi lebih jauh apatah lagi menjadi negara maju menjelang tahun 2020 jika orang Melayu, Cina, India dan kaum minoriti yang lain tidak bersatu hati dan bergabung tenaga dalam segenap aspek tanpa mengira latar belakang agama, keturunan dan warna kulit.

12. Jadikanlah Tahun Baru Cina 2011 ini sebagai platform yang terbaik untuk memperkukuh kembali mutu dan kualiti perpaduan kita. Hal ini penting kerana memang selama ini kita bersatu padu dan bekerjasama namun pelbagai insiden dan peristiwa yang berlaku mutakhir ini yang menyentuh sensitiviti sesuatu kaum sudah mula mempersoalkan keikhlasan, kualiti serta mutu dalam perpaduan yang kita miliki dan yang dibanggakan selama ini.

13. Oleh yang demikian musim perayaan wajar dilihat sebagai peluang terbaik untuk kita kembali bersatu, mengetepikan segala persengketaan dan perbezaan pandangan mahupun pendapat demi kemajuan bersama.

14. Hanya keikhlasan di antara satu sama lain dan kesungguhan kita dalam menghormati kontrak sosial mampu menterjemahkan mutu dan kualiti perpaduan yang kita harapkan. Tiada gunanya kita membicarakan tentang penyatuan dan perpaduan jika sering kali mempersoalkan dan membangkitkan isu-isu sensitif yang menyentuh sensitiviti rakan kita dari kaum lain tanpa memikirkan perasaan mereka.

15. Perpaduan dan kemajuan yang kita nikmati pada hari ini adalah hasil pengorbanan nenek moyang kita yang berjuang tanpa mengira kaum dan agama, justeru apakah kita mahu menghancurkannya dalam sekelip mata hanya kerana keangkuhan dan kepentingan diri sendiri? Tidak perlulah kita cuba menjadi jaguh sesuatu kaum hanya kerana mahu meraih sokongan peribadi yang jelas tidak membawa sebarang kebaikan untuk negara secara keseluruhannya.

16. Ayuh rakyat Malaysia marilah kita raikan bersama kehadiran Tahun Arnab ini bersama-sama dengan rakan-rakan daripada keturunan Tionghua dengan penuh kesyukuran dan keinsafan agar negara kita akan terus kekal aman dan makmur sepanjang masa. Selamat Tahun Baru Cina 1Malaysia.

No comments: