Monday, February 14, 2011

TRANSFORMASI POLITIK NAJIB MAMPU RAIH KEMBALI SOKONGAN PENGUNDI
1. Transformasi politik cara Najib. Itulah ungkapan yang paling sesuai kita gunakan untuk menggambarkan pendekatan politik terbaru Najib yang mengadakan pertemuan secara bersemuka dan bertentang mata dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kelmarin.
2. Perjumpaan yang berlangsung hampir lapan jam bersama 105 Ahli Parlimen dari seluruh negara ini dilihat membuka satu lagi lembaran baru dalam dunia politik tanah air umumnya dan kepada BN khususunya.

3. Pertemuan sebegini yang diadakan pertama kali dalam sejarah mencerminkan kesungguhan dan keikhlasan Najib dalam melakukan satu transformasi politik di bawah Pelan Transformasi Politik (PTP) yang menyeluruh mengikut cara, gaya dan acuan beliau tersendiri.

4. Apa yang lebih menarik ialah pertemuan ini juga dikatakan sebagai persediaan awal untuk menghadapai Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

5. Walau apapun spekulasinya yang dikaitkan dengan pertemuan ini, penulis percaya program perjumpaan ini berjaya mencatatkan dua sejarah penting baik kepada Najib, Ahli Parlimen yang hadir mahupun kepada parti BN secara keseluruhannya.

6. Pertama, melalui program ini para Ahli Parlimen dari BN diberi peluang untuk berjumpa dan bertentang mata secara langsung dengan Najib. Hal ini cukup signifikan kerana tidak semua Ahli Parlimen mendapat peluang keemasan seperti ini.

7. Kebiasaannya mereka haya berkesempatan untuk berjumpa dengan Perdana Menteri dalam sesuatu majlis keramaian ataupun di Parlimen sahaja yang tidak menyediakan ruang dan peluang secara tertutup yang secukupnya kepada mereka untuk bersemuka dengan pemimpin nombor satu negara ini.

8. Maka peluang yang disediakan oleh Najib ini membolehkan mereka berjumpa dengan Najib secara bersantai dan tidak begitu formal tanpa sebarang tekanan bagi membincangkan hal-hal berbangkit di kawasan masing-masing yang sebelum ini tidak dapat disampaikan secara terus kepada Najib.

9. Kedua, pertemuan ini juga memberi peluang kepada kedua-dua pihak iaitu Najib dan juga Ahli Parlimen untuk membincangkan dan sekaligus merungkai masalah rakyat terutamanya di kawasan luar bandar yang selama ini mungkin terlepas pandang ataupun terpinggir mengikut kawasan masing-masing di seluruh negara.

10. Justeru, melalui pendekatan ini Najib berpeluang mengetahui dan mendengar sendiri masalah rakyat secara terus dan langsung dari wakil rakyat yang mewakili kawasan masing-masing tanpa sebarang karenah birokrasi.

11. Keadaan ini membolehkan Najib memberi maklum balas dan cadangan penyelesaian secara langsung kepada masalah-masalah yang muncul di sesuatu kawasan Parlimen.

 
12. Bagi ahli parlimen pula, ini adalah pentas terbaik untuk mereka menyampaikan amanat dan harapan rakyat kepada Najib di samping mendapatkan pandangan, cadangan dan nasihat dari Najib tentang sesuatu permasalahan yang wujud.

13. Dengan mengambil kira spekulasi PRU13 yang mungkin akan diadakan lebih awal dan dalam masa yang terdekat, pendekatan mesra rakyat dalam konteks ‘rakyat didahulukan’ seperti ini diyakini boleh memulihkan kembali keyakinan rakyat kepada pihak kerajaan dan BN.

14. Melalui program sperti ini juga, rakyat dapat menilai pihak mana yang mengambil berat dan mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat dan pihak mana pula yang mementingkan agenda peribadi masing-masing. Bak kata Najib rakyat boleh menilai yang mana permata dan yang mana kaca.

15. Seperti kata Najib juga dalam perutusan tahun baru 2011 baru-baru ini, program seperti ini mampu menambahkan keyakinan rakyat kepada parti pemerintah. Keyakinan dan kepercayaan rakyat pastinya meningkat dan menjadi lebih kukuh selepas ini apabila mendapati Najib sendiri mengambil inisiatif untuk mendengar setiap masalah rakyat atau dalam erti kata lain mendengar denyut nadi rakyat di seluruh negara melalui wakil mereka. Walaupun setiap Ahli Parlimen hanya diperuntukkan lima minit untuk berbincang dengan Najib namun ianya dilihat sebagai satu permulaan yang cukup signifikan dan memberi impak yang besar.

16. Dalam meneruskan kesinambungan PTP Najib, program seperti ini juga wajar dipanjangkan dan disuburkan di peringkat Parlimen masing-masing di mana Ahli Parlimen juga wajar menyediakan lebih banyak ruang dan peluang yang lebih terbuka seperti ini untuk rakyat berjumpa dan meluahkan masalah, harapan dan kehendak mereka. Ahli Parlimen perlu lebih bermesra rakyat dan mendekati rakyat sepanjang masa dan bukannya hanya pada musin Pilihanraya semata-mata.

17. Jika ini dapat direalisasikan, penulis percaya BN di bawah kepimpinan Najib akan mencapai satu kemenangan yang luar biasa dalam PRU13 kelak. Semoga program perjumpaan seperti ini akan diadakan dengan lebih kerap agar dapat terus melestarikan PTP yang telah dicetuskan oleh Najib demi kelangsungan pemerintahan BN dalam mengemudi kejayaan dan pembangunan negara menuju Wawasan 2020.

No comments: