Monday, February 14, 2011

USAHA BERSEPADU PERLU TANGANI GEJALA BUANG BAYI
1. Amat mengejutkan apabila kita meneliti statistik yang dikeluarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelmarin berkaitan kes buang bayi di negara kita sejak tahun 2005 hingga Januari tahun ini.
2. Kelmarin Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin mendedahkan satu statistik yang cukup merisaukan khalayak. Menurut Mohd. Bakri, berdasarkan statistik PDRM sebanyak 517 kes buang bayi direkodkan dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini.
3. Dan statistik ini dilihat semakin bertambah dan belum menampakkan titik noktah yang kita harapkan. Buktinya bagi tahun ini sahaja, statistik menunjukkan sebanyak 19 kes telah dilaporkan untuk bulan Januari tahun ini yang jelas dilihat sebagai satu permulaan yang tidak sihat bagu tahun 2011 kepada kehidupan sosial masyarkat kita.
4. Berdasarkan rekod 517 orang bayi yang dibuang tersebut, 203 orang adalah bayi lelaki, 164 orang bayi perempuan dan lebih menyedijkan lagi apabila 150 orang lagi tidak diketahui jantina kerana dilahirkan ketika belum cukup sifatnya.
5. Manakala kes yang paling banyak dilaporkan adalah pada tahun 2008 dengan 102 kes dan diikuti dengan rekod kedua tertinggi sebanyak 91 kes pada tahun 2010. Sementara itu sepanjang enam tahun tersebut juga, hanya 37 orang suspek sahaja yang berjaya ditahan untuk membantu siasatan termasuk empat orang pada tahun ini. Ini menunjukkan ramai lagi pelaku jenayah ini yang masih bebas dan tidak dpat dibawa ke muka pengadilan di atas tindakan kejam mereka tersebut.

6. Pendedahan statistik ini membawa kita kepda beberapa persoalan yang cukup penting yang memerlukan perhatian semua pihak antaranya apakah hala tuju kehidupan sosial masyarakat kita? Adakah kita mahu terus membiarkan gejala ini berlarutan dan menghantui kita? Apakah punca yang membawa kepada berlakunya gejala ini? Sejauh mana pula masyarakat memainkan peranan dalam membantu menangani gejala ini?

7. Persoalan seperti ini sudah seringkali dilontarkan oleh pelbagai pihak sejak kes buang bayi menggemparkan masyarakat kita secara serius dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

8. Namun ternyata kita terpaksa menerima hakikat bahawa kita masih gagal untuk menangani gejala ini seperti yang diharapkan malah sebaliknya ramai yang meramalkan bahawa kes buang bayi ini akan terus meningkat pada tahun ini.

9. Walaupun pelbagai program dan kempen kesedaran telah dianjurkan oleh pihak kerajaan, NGO, agensi-agensi yang berkaitan serta masyarakat, namun hasilnya masih belum membanggakan. Malah pendedahan statistik ini menyebabkan kita terpaksa meragui keberkesanan program-program tersebut.

10. Masyarkat perlu sedar bahawa tanggungjawab menangani isu ini tidak terletak di bahu PDRM atau agensi kerajaan semata-mata. Tanggugjawab mencegah dan menangani kes ini perlu dipikul bersama oleh pihak kerajaan, ibu bapa dan juga masyarakat secara menyeluruh dan barulah kita dapat menyelesaikan kes ini secara holistik dan dari peringkat akar umbi lagi.

11. Buat masa sekarang peranan PDRM dan juga agensi kerajaan yang lain terutamanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah cukup jelas dan boleh dibanggakan. Mereka melaksanakan pelbagai program pencegahan dan juga penguatkuasaan yang mereka mampu dan terdaya untuk membantu mengurangkan kes pembuangan bayi.

12. Justeru timbul persoalan bagaimana pula dengan tanggungjawab para ibu bapa dan juga masyarakat dalam hal ini? Seperti kata Mohd. Bakri, peranan ibu bapa adalah cukup penting dalam hal membanteras kes ini di mana ibu bapa perlu mengukuhkan institusi kekeluargaan di samping menjadi contoh terbaik kepada anak-anak mereka serta mengawal semua pergerakan dan pergaulan mereka sepanjang masa.

13. Kenyataan ini cukup signifikan untuk kita renungi bersama. Kita perlu akui bahawa segalanya bermula dari rumah. Bukankah seorang bayi yang dilahirkan itu diumpamakan sebagai kain putih yang dicorakkkan warnanya mengikut acuan yang dikehendaki oleh ibu bapa mereka?

14. Maka ibu bapa perlu memainkan peranan hakiki mereka iaitu mendidik anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna dengan didikan ajaran agama dan disiplin diri yang kukuh dan kental sebagai perisai masa depan anak-anak mereka.

15. Kegagalan ibu bapa dalam menjalankan tanggungjawab ini dilihat sebagai antara punca berputiknya kes pembuangan bayi yang bermula dengan pergaulan bebas dan penglibatan dalam pelbagai salah laku yang membahayakan.

16. Dalam pada itu keggalan ibu bapa menguruskan institusi kekeluargaan dengan baik dengan menjadi contoh kepada anak-anak mereka juga dilihat sebagai satu lagi punca utama. Peningkatan kes perceraian dan perpisahan antara ibu dan bapa misalnya menyebabkan anak-anak mereka terbiar tanpa hala tuju serta keghairahan ibu bapa mengejar harta dan kemewahan dengan terlalu mengutamakan pekerjaan masing-masing sehingga tiada masa untuk bersama anak-anak di rumah juga adalah antara contoh kerapuhan institusi keluarga dalam masyarakat kita mutakhir ini yang juga turut menyumbang kepada pelbagai masalah disiplin, sosial dan salah laku dalam kalangan remaja kita termasuklah kes buang bayi.

17. Dalam pada itu kajian pihak PDRM mendapati antara lokasi yang sering menjadi tempat pembuangan bayi ialah kawasan perumahan, tempat pembuangan sampah, tepi jalan, masjid, sungai, semak dan tandas.

18. Ini menunjukkan lokasinya adalah di tempat umum dan juga di tempat yang ada pergerakan manusia. Maka keprihatinan masyarakat sekeliling seperti di kawasan perumahan pasti akan membantu mengurangkan gejala tersebut. Ternyata ianya tidak berlaku apabila kita meneliti hasil kajian dan statistik yang telah dibentangkan.

19. Maka peranan masyarakat perlu dipertingkatkan dan diperluaskan lagi jika kita mahu benar-benar isu ini ditangani secara menyeluruh. Masyarakat pada hari ini tidak boleh lagi berpegang kepada konsep tidak mahu menjaga tepi kain orang dengan sikap tidak peduli apa yang berlaku di sekitar mereka.
20. Dalam isu nasional seperti ini masyarakat perlu megambil tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka dan tiada salahnya untuk kita menjaga tepi kain orang dalam hal sebegini asalkan naitnya betul dan ikhlas hendak membantu.

21. Justeru apa yang diharapkan ialah tanggungjawab untuk menangani gejala buang bayi ini perlu dipikul secara bersama oleh PDRM, agensi kerajaan yang lain serta dibantu dan disokong sepenuhnya oleh para ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Semua pihak perlu berganding bahu secara bersepadu bagi merealisasikan hasrat kita untuk melahirkan sebuah masyarakat yang bertamadun dan bebas dari segi gejala sosial seperi ini. Ingat, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Sesungguhnya kita perlukan sebuah masyarakat yang bertamadun dan progresif untuk terus mara ke hadapan terutamanya menjelang Wawasan 2020 yang menjadi nadi dan kunci transformasi pembangunan negara kita.

No comments: