Monday, February 14, 2011

BERSATU MENCIPTA KEJAYAAN
1. Mengambil kira beberap insiden yang berlaku di negara kita mutakhir ini yang menyentuh sensitiviti kaum dan perpaduan nasional penulis cukup risau dan terfikir sejenak apakah peristiwa hitam 13 Mei bakal berulang kembali.
2. Mungkin agak keterlaluan untuk berfikiran begitu namun jika kita benar-benar meneliti dan mengkaji beberapa peristiwa yang berlaku maka bibit-bibit kemugkinan ke arah tercetusnya kembali peristiwa hitam tersebut tetap ada asasnya. Segalanya mengkin jika kita tidak mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menghalang mahupun menepis segala kejadian dan insiden yang boleh mencetuskan pergolakan dalam perpaduan kaum di negara kita.

3. Penulis yang merupakan generasi pasca 13 Mei hanya mampu menjiwai apa yang berlaku pada 13 Mei melalui bahan bacaan buku-buku sejarah semata-mata namun tetap dapat menyelami dan merasai kengerian tragedi berdarah tersebut di samping kesan-kesan yang berlaku akibat daripada peristiwa malang itu.

4. Justeru penulis tidak dapat bayangkan jika berlaku apa-apa lagi perselisihan mahupun pergaduhan antara kaum di negara kita pada hari ini. Cukup merisaukan dan tidak dapat membayangkan apa akan jadi kepada negara kita jika masing-masing orang Melayu, Cina dan India tidak bersefahaman, tidak boleh bersatu dan bertolak ansur ataupun bergaduh.

5. Namun beberapa peristiwa yang cukup sensitif yang berlaku mutakhir ini menguatkan lagi kebimbangan dan kerisauan kita. Antaranya ialah isu novel Interlok dan salah faham antara laungan azan dan kuliah Subuh.

6. Dalam kes novel Interlok misalnya, tindakan sekumpulan rakan-rakan kita yang berketurunan India yang tidak berpuas hati dengan kandungan novel tersebut bertindak membuat demonstrasi dengan membakar novel tersebut dan juga poster gambar penulis novel berkenaan.

7. Insiden ini sedikit sebanyak telah mencuit sensitiviti dan perasaan orang-orang Melayu dan pihak kerajaan pula akhirnya terpaksa membuat keputusan yang tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam situasi menang-menang dengan memutuskan untuk mengekalkan novel itu sebagai teks pengajaran tetapi bersetuju untuk mengubah kandungan yang dikatakan menghina kaum India.

8. Bagi orang Melayu mereka melihat senario ini sebagai satu lagi keadaan di mana orang Melayu seolah-olah ‘dipaksa’ untuk mengalah dan tunduk kepada tuntutan kaum lain tanpa memikirkan perasaan mereka.
9. Begitu juga halnya dalam isu laungan azan dan kuliah Subuh. Walaupun peguam yang terlibat telahpun memohon maaf secara terbuka dan mengaku bahawa terkeliru antara laungan azan dengan kuliah Subuh namun hati dan perasaan orang Melayu masih terus terguris. Itu belum lagi soal mencemari kesucian masjid seperti yang berlaku baru-baru ini.

10. Persoalannya sebagai rakyat Malaysia yang setiap hari terdedah kepada laungan azan di seluruh negara apakah kita masih boleh memberi alasan terkeliru dan tidak dapat membezakan antara laungan azan dengan kuliah Subuh? Cukup pelik dan tidak masuk akal.

11. Dalam pada itu, perdebatan hangat sebelum ini berkaitan isu perlembagaan di mana sudah ada pihak yang begitu berani mempertikaikan dan mempersoalkan hak-hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agama Islam sebagai agama rasmi masih terus menghantui dan mengecewakan orang Melayu.

12. Ia juga menunjukkan seolah-olah orang Melayu sahaja yang perlu terus mengalah dan bertolak ansur dalam segenap aspek walaupun ianya menyentuh hak keistimewaan mereka. Selama ini orang Melayu terus bersabar dan bertolak ansur atas semangat perpaduan dengan menghormati kontrak sosial yang telah dimeterai oleh pemimpin terdahulu dan juga berpaksikan kepada semangat 1Malaysia namun apakah kesabaran ini akan terus bertahan? Tidak mustahil satu hari ini kesabaran itu bertukar menjadi kemarahan jika keadaan seperti ini masih dibiarkan berterusan.

13. Kita tidak nafikan bahawa memang ada orang Cina dan India yang amat menghormati perpaduan nasional dan kontrak sosial serta sensitivi orang Melayu dan kaum lain namun tindakan segelintir rakan-rakan mereka yang cuba menjadi jaguh untuk mencari publisiti murahan terus mencemarkan nama baik kaum mereka.
14. Hal ini penting kerana kejadian-kejadian seperti ini cukup jelas menunjukkan betapa lemahnya tahap kefahaman, tolak ansur dan perpaduan antara kaum yang ada pada hari ini. Kita memang akui bahawa selama ini terutamanya selepas peristiwa 13 Mei kita bersatu padu dan bekerjasama namun tahap kualiti dan mutu perpaduan kita mutakhir ini boleh dikatakan semakin lemah dan membimbangkan.

15. Secara kasarnya perpaduan yang ada pada hari ini boleh disifatkan sebagai agak berat sebelah di mana satu pihak terpaksa terlalu mengalah dan pihak lain lupa yang mereka juga perlu mengalah dan bertolak ansur. Sehinggakan ada pihak yang menggelar tahap perpadun kita pda hari ini hanay senipis kulit bawang.

16. Adakalanya penulis cukup tersentuh dan terharu malah hampir menitiskan air mata apabila melihat beberapa iklan perpaduan 1Malaysia yang dipaparkan di kaca televisyen dewasa ini yang menonjolkan kerjasama dan penyatuan rakyat pelbagai kaum di negara kita. Namun persoalannya adakah senario seperti itu berlaku dalam dunia realiti atau sekadar fantasi pengarah iklan itu semata-mata?

17. Keikhlasan dalam bersatu dan bekerjasama perlu berputik dengan sendirinya. Ianya tidak boleh dipaksa atau diada-adakan. Dalam soal ini bahasa dilihat sebagai satu alat perpaduan yang penting dan signifikan. Bahasa Melayu yang telah diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan perlu dilihat sebagai alat penyatuan sesama kita.
18. Tapi malangnya sekali lagi kita disajikan dengan tahap kemahiran dan kefahaman yang sangat lemah dalam kalangan orang bukan Melayu dalam bahasa kebangsaan ini. Pada hari ini bilangan orang Melayu yang benar-benar mahir berkomunikasi dalam bahasa Melayu adalah sangat kecil dan hal ini cukup mendukacitakan.
19. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Kita diajar matapelajaran bahasa Melayu sejak dibangku sekolah rendah lagi. Setelah sekian lama kita mempelajari bahasa ini di bangku sekolah baik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah orang bukan Melayu masih lemah dan gagal untuk menguasainya.

20. Hal ini sepatutnya tidak berlaku kerana setiap hari kita berkomunikasi dalam bahasa ini sama ada dengan jiran, dengan rakan sepejabat mahupun semasa berjual beli di khalayak.

21. Keadaan ini berlaku kerana kita tidak melihat penguasaan bahasa kebangsaan sebagai satu kewajipan dan ketaatan kita kepada perlembagaan negara ini. Maka di mana nilai perpaduan yang kita banggakan selama ini?

22. Sayangnya kita tidak mempunyai satu alat pengukuran khas yang dicipta untuk mengukur tahap kualiti dan mutu perpadauan nasional yang boleh mengukur secara tepat tahap dan darjah perpaduan nasional pada satu-satu masa. Pun begitu penulis amat yakin jika pada hari ini kita ada sekalipun alat pengukuran sedemikain rupa maka keputusannya sudah pasti sangat mengecewakan kita semua. Namun kita tetap mengharapkan agar para penyelidik dan akademia akan mengambil inisiatif untuk mencipta alat seperti itu secepat yang mungkin.

23. Kita perlu menerima kenyataan dan hakikat bahawa walaupun seluruh dunia memuji, mengiktiraf dan mengakui kehebatan kepelbagaian dan kemajmukan masyarakat kita namun ianya dilihat semakin mencabar untuk terus dipelihara dan dipertahankan.

24. Kontrak sosial yang dimeterai oleh generasi terdahulu semakin tercabar dan mula menampakkan keretakan. Jika keadaan ini berterusan bagaimana kita hendak mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020?

25. Justeru sebagai rakyat Malaysia marilah kita bermuhasabah diri masing-masing dengan menilai semula tahap, kualiti dan darjah perpaduan yang kita miliki dan amalkan selama ini.

26. Seperti kata Perdana Menteri dalam perutusan Tahun Baru Cina baru-baru ini kita boleh mencipta kejayaan jika kita bersatu. Perpaduan yang telah diwariskan kepada kita perlu terus dipertahankan dan kontrak sosial perlu dihormati. Belajarlah untuk bertolak ansur, memahami perasaan orang lain dan sekali sekala mengalah dan bukan hanya mengharapkan agar orang lain akan terus mengalah dan bersabar. Bukankah memberi lebih baik dari menerima?

27. Kita yakin dan percaya bahawa jika kita mampu bersatu dengan penuh ikhlas kita boleh terus mencipta dan melakar kejayaan demi kejayaan secara bersama. Justeru penulis ingin menyeru dan merayu kepada semua kaum di negara ini agar ketepikan segala perbezaan dan terus mempertahankan perpaduan nasional yang telah diwariskan kepada kita. Usah benarkan peristiwa 13 Mei kembali menggoncang negara kita.

No comments: